15,000 guru berijazah masih tunggu naik gred – Utusan


15,000 guru berijazah masih tunggu naik gred

SEREMBAN 12 Feb. – Hampir 15,000 guru berijazah masih belum ditawarkan kenaikan gred DG41 walaupun sebahagian besar daripada mereka telah ditemuduga untuk tujuan itu.

Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, ada antara mereka telah menunggu tawaran tersebut selama dua tahun dan jumlahnya pasti akan bertambah tahun ini.

Beliau berkata, sekiranya situasi itu tidak ditangani segera, keadaan akan bertambah buruk kerana semakin ramai guru yang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah akan menamatkan pengajian setiap tahun.

“Kita tidak mahu mereka berasa tidak puas hati selepas tertunggu-tunggu kerana tidak ada maklum balas daripada kerajaan mengenai perkara ini.

“Mereka patut ditawarkan gred itu kerana sudah menjalani temuduga tetapi sehingga kini kami tidak tahu mengapa ia tidak dapat dilakukan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurutnya, peruntukan bagi menawarkan para guru berkenaan gred lebih tinggi telah ada dan NUTP amat berharap tindakan segera diambil bagi menangani masalah tersebut.

Yim Pheng berkata, NUTP merayu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kelonggaran kepada guru yang lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk menikmati kenaikan pangkat walaupun sistem penilaian itu telah dihapuskan awal tahun lalu.

Beliau berkata, ia penting kerana mereka telah berhempas pulas untuk lulus dalam peperiksaan tersebut dan berhak ditawarkan kenaikan gaji seperti yang dilakukan sebelum ini.

Katanya, kelulusan mereka dalam peperiksaan itu tidak sepatutnya terhapus begitu saja dengan pemansuhan PTK sebaliknya, satu tempoh yang lebih munasabah perlu diberikan bagi mengelakkan penganiayaan.

“Ribuan lulusan PTK dalam kalangan guru yang belum menikmati kenaikan gaji kini menagih simpati kerajaan bagi menyelesaikannya,” ujar beliau.

Menjawab satu pertanyaan, Yim Pheng memberitahu, NUTP telah mengumpul semua maklum balas daripada para guru mengenai Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Katanya, ia telah dibahaskan oleh ahli majlis NUTP dan akan diserahkan kepada pasukan petugas khas SBPA tidak lama lagi.

Jelasnya, NUTP juga sudah membuat pendirian mengenai skim saraan baru itu tetapi enggan mendedahkannya kepada umum pada masa ini.