SKMM agih hampir 400,000 komputer riba 1Malaysia – Bernama


SKMM agih hampir 400,000 komputer riba 1Malaysia

23/07/2011 8:53pm

 

TAMPIN 23 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengagihkan 382,950 unit komputer riba 1Malaysia kepada pelajar terpilih di seluruh negara, termasuk 123,500 unit yang diagihkan menerusi fasa pertama program itu.

Menerusi fasa 2 pula, SKMM menyasarkan mengagih 349,400 lagi unit komputer, kata SKMM dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sejumlah sejuta komputer riba akan diagihkan kepada para pelajar sekolah menengah yang layak bagi membolehkan mereka mengakses Internet seperti rakan mereka yang berkemampuan, yang tinggal di bandar.

Menurut SKMM program pengagihan komputer riba dengan jalur lebar itu akan meningkatkan kadar penembusan jalur lebar ke seluruh negara.

Kadar penembusan jalur lebar di seluruh negara kini mencapai 60.3 peratus, berbanding 23 peratus dua tahun lepas, dan Negeri Sembilan merupakan antara negeri yang paling tinggi pencapaian kadar penembusan jalur lebarnya iaitu 73.3 peratus. – Bernama