45,000 murid cemerlang UPSR gagal ke asrama penuh – Harian Metro


45,000 murid cemerlang UPSR gagal ke asrama penuh

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh negara menjadikan sekolah berhampiran kawasan masing-masing sebagai anak angkat bagi menyelesaikan masalah murid cemerlang yang tidak mendapat tempat di sekolah berasrama penuh.

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, ketika ini terdapat kira-kira 45,000 murid cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), namun malangnya mereka tidak dapat memasuki sekolah berasrama penuh berikutan tempat terhad.
Beliau berkata, keadaan itu sudah pasti tidak adil kepada pelajar berkenaan yang tidak dapat memasuki asrama penuh sedangkan rakan mereka yang sama cemerlang diterima ke sekolah berasrama.

Katanya, sebagai alternatif, PPD boleh mengambil langkah dengan menjadikan sekolah sedia ada di daerah mereka sebagai sekolah angkat dan menyediakan kualiti pendidikan setaraf asrama penuh kepada pelajar cemerlang UPSR, tanpa pelajar terbabit perlu tinggal di asrama, sebaliknya duduk bersama keluarga masing-masing.
“Cadangan terbaik bagi memberi tempat kepada semua pelajar cemerlang ini adalah setiap PPD di seluruh negara perlu mengambil pendekatan mengambil sekolah sedia ada sebagai sekolah angkat dan menjadikan kualiti pendidikannya sama seperti asrama penuh,” katanya.
Hashim berkata, sekiranya di sesuatu daerah terdapat jumlah pelajar cemerlang yang ramai, pihak kementerian boleh menyediakan blok khas menempatkan kumpulan pelajar berkenaan di sekolah yang dipilih manakala bagi jumlah yang kecil, hanya kelas di blok sedia ada boleh disediakan.

Beliau berkata, langkah yang diambil itu bukan saja memberi peluang kepada semua pelajar cemerlang menerima kualiti pendidikan berasrama penuh, malah ia dapat menjimatkan kos kementerian kerana tidak perlu menyediakan bajet bagi membangunkan sekolah baru atau memproses semula pengambilan guru.
“Ia juga boleh diwujudkan dalam tempoh singkat kerana bangunan baru tidak perlu dibina sebaliknya hanya menggunakan prasarana sedia ada termasuk guru yang sama di sekolah angkat berkenaan.

“Secara tidak langsung, penempatan pelajar cemerlang di sekolah biasa terbabit akan mewujudkan persaingan sihat serta menjadi model kepada pelajar lain untuk turut sama berjaya,” katanya.
Keputusan UPSR pada November 2010 adalah yang terbaik dalam sejarah peperiksaan kerana pertama kali melebihi 10 peratus apabila 48,327 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.
Daripada jumlah itu, calon memperoleh keputusan cemerlang semua A meningkat kepada 10.02 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.
Seramai 482,334 calon menduduki peperiksaan UPSR tahun ini di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara dari 21 September hingga 23 September tahun lalu.
Sebelum ini, Kementerian Pelajaran tidak bercadang menambah tempat di 54 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) walaupun 48,400 calon UPSR mendapat keputusan 5A, sebaliknya Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata, jumlah 6,000 tempat di SBP kekal dan pihaknya mahu ibu bapa dan murid menukar tanggapan pencapaian cemerlang dalam UPSR adalah tiket ke SBP.