20,000 murid tak sekolah agama – Sinar Harian


20,000 murid tak sekolah agama

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 November 2012
 Datuk Yaakub Amin
Datuk Yaakub Amin

JASIN – Ibu bapa digesa menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) berikutan jumlah murid yang belajar di sekolah itu masih berkurangan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Yaakub Amin berkata, daripada 60,000 murid sekolah rendah yang berbangsa Melayu di negeri ini, hanya kira-kira 41,000 sahaja yang dihantar ke sekolah itu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 20,000 murid tidak menghadiri sekolah agama.

“Perkara ini tidak seharusnya timbul kerana majoriti ibu bapa mampu menghantar anak-anaknya ke sekolah kebangsaan, namun sekolah agama sering kali dipandang sepi sedangkan ia penting dalam melahirkan generasi cemerlang.

“Satu kerugian kerana kebanyakan sekolah agama berada berdekatan rumah penduduk dan kosnya juga tidak mahal,” katanya.

Katanya, oleh itu, ibu bapa perlu mengambil peluang menghantar anak-anak mereka menimba ilmu agama di sekolah agama ini.

“Saya harap ibu bapa akan lebih peka dan memandang positif sekolah agama Jaim ini dengan mendaftarkan anak-anak mereka sama ada pada sesi pagi ataupun petang,” katanya.