TM Kelantan sumbang peralatan sekolah RM18,000 – Bernama


TM Kelantan sumbang peralatan sekolah RM18,000
22 Disember 2013

KOTA BHARU – Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan kerjasama Badan Kebajikan Islam TM hari ini memberi sumbangan berupa peralatan sekolah bernilai RM18,000 kepada 100 pelajar miskin di Kelantan.

“Sumbangan yang diberi termasuk beg, alat tulis dan wang untuk membeli keperluan persekolahan yang lain,” kata Pengurus Besar TM Kelantan Ab Rashid Che Othman kepada pemberita selepas program penyampaian bantuan itu di sini.

Sementara itu, beliau berkata kemudahan dan peralatan milik TM Kelantan tidak mengalami sebarang kerosakan ketika banjir gelombang pertama baru-baru ini.

“Kita sebenarnya belajar sejak banjir besar 2004. Kedudukan semua peralatan telah kita tinggikan, jadi dalam banjir baru-baru ini (peralatan kami) tak terlibat,” jelasnya. – Bernama

Guru wanita rugi RM15,000 – Sinar Harian


Guru wanita rugi RM15,000
RAIHAM MOHD SANUSI
7 November 2013
  • Guru wanita rugi RM15,000Che Suza
< 1 / 1 >

KEMAMAN – Kegembiraan seorang guru wanita menyertai lawatan sekolah ke Kuala Lumpur bertukar duka kerana terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM15,000 selepas rumahnya di Kampung Baru Kerteh yang ditinggalkan selama tiga hari dipecah masuk pencuri.

Mangsa yang berusia 41 tahun berputih mata apabila seutas gelang tangan berlian, seutas rantai leher, empat bentuk cincin dan dua utas jam tangan lelaki masing-masing berjenama Tissot dan Tag Heuer lesap.

Kejadian disedari mangsa ketika tiba di rumahnya kira-kira jam 4.30 pagi, kelmarin, selepas mendapati tingkap bilik tidur anaknya diumpil.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mangsa mula meninggalkan rumahnya kira-kira jam 10.30 malam, pada 3 November lalu dalam keadaan pintu dan tingkap berkunci.

“Selepas mendapati tingkap bilik tidur anak diumpil, mangsa segera memeriksa rumah dan mendapati beberapa barang kemas dan jam tangan berjenama hilang yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM15,000.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kerteh. Hasil siasatan awal, polis dapati suspek memecah masuk dengan membengkokkan kunci jeriji tingkap bilik tidur anak mangsa,” katanya.

Menurutnya, polis percaya suspek menceroboh rumah mangsa antara jam 10.30 malam, pada 3 November hingga awal pagi kelmarin.

Sehubungan itu katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh hingga 14 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Guru terpedaya janji sindiket rugi RM20,000 – Berita Harian


Guru terpedaya janji sindiket rugi RM20,000

2013/07/26 – 05:41:18 AMCetakEmel Kawan
Guru terpedaya janji  sindiket rugi RM20,000Tan (kiri) menunjukkan laporan polis kepada Tay di pejabat Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, semalam.

Johor Bahru: Seorang guru kerugian RM20,490 selepas terpedaya dengan helah sindiket penipuan antarabangsa yang menjanjikan habuan lumayan.

Mangsa, Tan Peck Hiang, 28, berkata kejadian bermula sejak Mei lalu, apabila beliau dihubungi seorang lelaki tidak dikenali menggunakan nombor telefon negara asing yang menjemputnya ke sebuah majlis makan amal di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menghadiri majlis terbabit kerana faktor jarak selain kesibukannya bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di pinggir bandar raya ini.

Tipu pakej melancong

“Sebulan selepas itu, saya sekali lagi mendapat panggilan telefon daripada nombor sama yang memberitahu saya berjaya memenangi pakej percutian ke Dubai, bernilai RM120,000.

“Malah, beliau turut memberitahu, sekiranya saya tidak dapat pergi ke Dubai, tawaran itu boleh digantikan dengan wang tunai RM120,000, namun saya perlu membuat pembayaran terhadap urusan berkaitan tuntutan terbabit yang berjumlah RM20,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru di sini, semalam. Hadir sama ialah Ketua Bironya, Michael Tay.
Peck Hiang berkata, beliau pada mulanya tidak percaya dengan kata-kata lelaki itu, namun mula terpedaya dengan janji manis lelaki terbabit selain turut memeriksa kesahihannya disebuah laman web.

‘Justeru, pada 8 Julai lalu, saya memindahkan sejumlah RM5,800 daripada akaun bank saya ke akaun lelaki terbabit yang menggunakan nama Lo Chen Hwa,” katanya.

Mula curiga

Katanya, pada 9 Julai lalu, beliau sekali lagi dihubungi lelaki terbabit yang memberitahu beliau berpeluang memenangi RM369,000 dan perlu memasukkan sejumlah wang untuk pemprosesan wang dari Hong Kong ke Malaysia.

“Sekali lagi saya terpedaya dan memindahkan RM9,690 keesokan harinya, saya diberitahu wang berjumlah RM369,000 sudah dimasukkan ke dalam akaun bank saya.

“Namun, wang itu didakwanya disekat bank di Malaysia kerana membabitkan jumlah besar dan perlu membuka dua akaun bank,” katanya.

Katanya, curiga dengan lelaki terbabit, beliau akhirnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya pada 11 Julai lalu.

RM1,000, iPad untuk 13 pelajar Orang Asli cemerlang – Metro


RM1,000, iPad untuk 13 pelajar Orang Asli cemerlang

 0  0 Google +0  0  0

Pekan: Kerajaan melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad memberi cenderahati wang tunai RM1,000 dan sebuah iPad kepada semua 13 pelajar Orang Asli di Pahang yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012.

Sumbangan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Orang Asli dan Pelancaran Bekalan Elektrik Luar Bandar Kampung Orang Asli Gumum di sini, semalam. Najib dalam ucapannya berkata, antara sebab kehadiran beliau ke Kampung Gumum adalah kerana mahu bertemu sendiri seorang daripada anak Orang Asli di kampung berkenaan yang mendapat keputusan 8A dalam SPM iaitu, Juliana Zaszira Ismail, 18.
“Kejayaan Juliana boleh dijadikan contoh dan diketengahkan atau ikon masyarakat Orang Asli seluruh negara.

 

“Ini juga bukti melalui peluang disediakan kerajaan, anak Orang Asli boleh berjaya seperti kaum lain,” katanya yang sempat meluangkan masa 15 minit beramah mesra dengan Juliana dan keluarganya di rumah mereka.
Sementara itu, Juliana ketika ditemui berkata dia tidak menyangka keputusan cemerlang diperoleh dalam SPM membuatkan Perdana Menteri sanggup datang ke rumahnya untuk bertemu dengan mereka sekeluarga.
“Saya rasa gembira kerana selama ini hanya dapat melihat beliau dari jauh atau di televisyen saja, tapi hari ini (semalam) kami dapat bertemu muka.

 

“Dengan penghormatan diberikan Perdana Menteri ini, saya harap dapat menguatkan lagi semangat untuk terus cemerlang dalam pelajaran, sekali gus memajukan diri dan keluarga serta masyarakat Orang Asli,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Juliana berkata dia mahu menjadi peguam atau pendidik dan sudah membuat permohonan melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

 

Bagi bapanya, Ismail Muhammad, 50, kejayaan anak kelima daripada tujuh beradik itu diharap dapat diteruskan kerana Juliana kini menjadi antara ikon masyarakat Orang Asli di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Guru Besar didakwa minta pengusaha kantin RM3,000 – Bernama


Guru Besar didakwa minta pengusaha kantin RM3,000

SHAH ALAM 8 Feb. – Seorang guru besar sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan memperoleh suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang pengusaha kantin, dua tahun lalu.

Abdul Samad Abdul Ghani, 49, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Guru besar Sekolah Kebangsaan Kajang Utama itu didakwa meminta untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun Hussain sebagai dorongan untuk menyambung kontrak kantin sekolah bagi tahun 2013.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis sekolah di Kajang, Hulu Langat dekat sini, kira-kira pukul 11.30 pagi pada 8 November 2011.

Abdul Samad juga didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun sebagai dorongan untuk melakukan perkara sama kira-kira pukul 11 pagi, 14 November 2011 di tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mat Ghani membenarkan Abdul Samad dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 19 April ini untuk perbicaraan.

Beliau juga menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130208/ma_09/Guru-Besar-didakwa-minta-pengusaha-kantin-RM3000#ixzz2KJZk3Anx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Guru Besar Didakwa Minta & Peroleh Suapan RM3,000 – Bernama


Guru Besar Didakwa Minta & Peroleh Suapan RM3,000

SHAH ALAM: Seorang guru besar sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan memperoleh suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang pengusaha kantin, dua tahun lepas.

Abdul Samad Abdul Ghani, 49, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Guru besar Sekolah Kebangsaan Kajang Utama itu didakwa meminta untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun Hussain sebagai dorongan untuk menyambung kontrak kantin sekolah bagi tahun 2013.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis sekolah di Kajang, Hulu Langat dekat sini, kira-kira pukul 11.30 pagi pada 8 November 2011.

Abdul Samad juga didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun sebagai dorongan untuk melakukan perkara sama kira-kira pukul 11 pagi, 14 November 2011 di tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.Mat Ghani membenarkan Abdul Samad dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 19 April ini untuk perbicaraan.

Beliau juga menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes. –BERNAMA

Guru tampar bekas isteri kena bayar RM30,000 – Sinar Harian


Guru tampar bekas isteri kena bayar RM30,000

ADILA SHARINNI WAHID & NORHASRAM MOHAMAD
15 Januari 2013
Guru tampar bekas isteri kena bayar RM30,000
Arifin menunjukkan kecederaan di telinga kiri Aida yang masih memerlukan rawatan susulan, semalam.

KOTA BHARU – Mahkamah Sesyen Pasir Mas semalam memerintahkan seorang guru membayar ganti rugi am RM30,000 kepada bekas isterinya selepas dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada wanita itu.

Keputusan dibuat Hakim Irwan Suainbon selepas mendengar keseluruhan kes tuntutan saman oleh Aida Rohani Mohamad, 39, terhadap bekas suaminya, Shakri Latif.

Aida, penjawat awam, yang berkhidmat di sebuah jabatan di sini mengemukakan saman menuntut ganti rugi selepas cedera dalam satu pergaduhan di rumah mereka di Taman Seri Neting, Pengkalan Kubor, Tumpat pada 9 Mei 2007.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 1997 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Dalam pergaduhan jam 6.30 pagi itu, defendan bertindak memukul serta menampar plaintif beberapa kali di bahagian badan dan kepala hingga menyebabkan dia cedera parah di telinga kiri serta lebam di bahagian muka sebelah kanan.

Aida yang ketika itu masih isteri kepada defendan kemudian membuat laporan di Balai Polis Kok Lanas sebelum menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Tumpat dan disahkan mengalami pendarahan di telinga kirinya.

Sementara itu, plaintif yang ditemui di rumahnya di Alor Hijau, Selising, Pasir Puteh, semalam nyata gembira dengan keputusan terbabit.

Katanya, kejayaan itu juga menjawab reaksi serong masyarakat terhadap dia sejak kejadian itu berlaku selain mengharapkan perkara tersebut menjadi pengajaran kepada defendan dan orang ramai.

“Akibat kejadian itu, dua kali saya menjalani pembedahan di telinga dan kini pendengaran masih terganggu. Menurut doktor, telinga ini akan sembuh tetapi memerlukan penjagaan rumit selain bersin dan batuk yang akan memberi kesan lebih buruk,” katanya.

Selepas kejadian itu, bekas suami plaintif melafazkan cerai melalui tuntutan berpisah yang dibuat Aida sebelum dia mengambil keputusan mendirikan rumah tangga bersama Arifin Abdullah, 38, dan dikurniakan seorang anak berusia dua tahun.

* Dapatkan Sinar Harian edisi hari ini untuk laporan-laporan menarik

Cabul anak jiran: Kontraktor didenda RM7,000 – Sinar Harian


Cabul anak jiran: Kontraktor didenda RM7,000

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2013
Cabul anak jiran: Kontraktor didenda RM7,000
Tertuduh dikawal ketat anggota polis keluar dari mahkamah selepas denda diputuskan, semalam.

KOTA BHARU – Seorang kontraktor didenda RM7,000 selepas mengaku bersalah mencabul anak jirannya dalam bilik tidur sebuah rumah di Jalan Pengkalan Chepa di sini, tahun lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly terhadap Hussni Hussain, 47, dari kampung sama.

Hussni didakwa pada pertuduhan pindaan menggunakan kekerasan jenayah ke atas remaja berusia 13 tahun itu dengan niat mencabul kehormatannya pada jam 3 pagi, 13 Mac di rumah mangsa.

Dalam kejadian itu, mangsa sedang bermain komputer di ruang tamu didatangi tertuduh dan berpura-pura bertanya tentang mancis yang didakwa tertinggal.

Mangsa yang curiga dengan tertuduh kemudian berlari ke dalam bilik tetapi diekori sebelum lelaki itu memegang bahu dan cuba membaringkannya.

Dia bagaimanapun sempat menepis dan berlari ke arah bilik air serta bersembunyi selama 15 minit sebelum menjerit memberitahu abangnya yang sedang menjual burger di luar rumah.

Pada prosiding semalam, Mohd Fazaly Ali turut mengarahkan tertuduh membayar pampasan berjumlah RM3,000 kepada tertuduh selain RM500 dikenakan untuk kos pendakwaan.

Tertuduh dilihat meninggalkan mahkamah setelah denda dan pampasan itu dijelaskan.

Tak sempat joli RM700,000 – Metro


Tak sempat joli RM700,000

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Hasrat sekumpulan enam penculik untuk ‘joli sakan’ dengan wang tebusan RM700,000 selepas menculik seorang remaja lelaki berusia 15 tahun lebur apabila empat daripada mereka ditahan di sebuah flat di Butterworth, Pulau Pinang, Jumaat lalu.

Kumpulan penculik terbabit ditahan pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) antara jam 9 hingga 11 malam ketika urusan pembayaran wang tebusan dilakukan bapa mangsa berusia 40-an.
Menurut sumber, remaja lelaki terbabit diculik dua lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta di hadapan restoran bapanya di Taman Midah, Cheras, di sini, seminggu lalu.

 

“Remaja terbabit dibawa ke sebuah flat di Butterworth sebelum dikurung di situ. Kumpulan penculik itu menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang tebusan lebih RM1 juta.
“Bagaimanapun, bapa mangsa melaporkan kejadian kepada polis,” katanya.
Menurutnya, sebaik menerima laporan, satu pasukan khas ditubuh bagi mengesan dan menyelamatkan remaja berkenaan.

 

 

“Kumpulan penculik itu dilapor beberapa kali menghubungi bapa mangsa meminta wang tebusan sebelum berlaku tawar-menawar antara kedua-dua pihak.
“Akhirnya, kedua-dua pihak bersetuju dengan bayaran RM700,000 sebelum kumpulan penculik mengarahkan wang diserahkan di sebuah flat di Butterworth,” katanya.

 

Sumber itu berkata, selepas memastikan remaja terbabit selamat ketika sesi pertukaran dilakukan, polis melakukan serbuan sebelum menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia 25 hingga 30 tahun.
“Semua yang ditahan dibawa ke IPKKL untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya sambil memberitahu remaja terbabit tidak cedera, namun masih trauma dengan kejadian menimpanya itu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15

Dua beradik milik mercun RM10,000 – Sinar Harian


Dua beradik milik mercun RM10,000
NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
7 Ogos 2012

Harun menunjukkan mercun dan bunga api yang berjaya dirampas oleh anggota polis IPD Ledang dalam sebuan sebuah rumah di Kampung Serom 6, Sungai Mati, Ahad lalu
LEDANG – Dua beradik berputih mata setelah angan-angannya untuk memiliki wang lebih sebagai persiapan menyambut Aidilfitri dengan hasil menjual mercun tidak kesampaian apabila ditahan polis, Ahad lalu.

Dalam serbuan jam 5.30 pagi itu, remaja berusia 17 dan 19 tahun itu ditahan dalam sebuah rumah di Sungai Mati, dekat sini.

Ketika ditahan, polis merampas 200 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM10,000 dan wang tunai RM219 dipercayai hasil penjualan mercun itu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, suspek yang juga anak yatim piatu dipercayai baru sahaja terbabit dalam kegiatan itu, kira-kira seminggu lalu.

Menurutnya, kegiatan mereka berjaya dikesan pihak polis beberapa hari lalu, melalui risikan yang dijalankan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, yang diketuai oleh Inspektor Mohd Nor Mohd Isa, sebelum menyerbu rumah berkenaan.

“Rumah itu dipercayai merupakan tempat tinggal suspek dan menjadi stor menyimpan bahan terlarang sebelum dijual kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

“Siasatan awal mendapati, remaja berkenaan memperoleh bekalan mercun daripada orang tengah yang dibeli dengan harga RM6,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini, semalam.

Harun berkata, mercun tersebut dipercayai untuk kegunaan Aidilfitri dan diedarkan kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual mercun untuk sara hidup selepas kematian ibu bapanya.

“Mereka ditahan reman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut bagi mengetahui pembekal mercun ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Harun menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan aktiviti menjual dan membakar mercun.

“Pihak polis akan giat menjalankan operasi untuk membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.