Gaji Nazmi sebulan RM300,000? – Sinar Harian


Gaji Nazmi sebulan RM300,000?

NORASHIKIN LEMAN
29 Mei 2012
Nazmi Faiz Mansor
Nazmi Faiz Mansor

JIKA Safee Sali menerima gaji bulanan berjumlah Rupiah 350 juta (RM118,000) sebulan, wonderkid Malaysia yang baru sahaja mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab Portugal, Beira-Mar, Nazmi Faiz pula dikhabarkan bakal menerima gaji bulanan sebanyak RM 300,000.

Mencetus fenomena dalam bola sepak negara selepas terpilih sebagai pemain untuk kelab liga divisyen satu Portugal sehingga Jun 2015 nanti, gaji pemain tengah Harimau Muda itu kini menjadi topik perbualan hangat penyokong serta pemerhati bola sepak tempatan.

Meskipun khabar angin mengenai gaji yang bakal diterima oleh Nazmi masih belum dapat disahkan, namun, sekiranya benar, pemain muda yang bakal mencecah 18 tahun 16 Ogos nanti akan bergelar pemain termuda Malaysia berstatus jutawan selain Safee Sali.

Sementara itu, ejen Nazmi, Marco Guimaraes, mengakui jumlah gaji yang bakal ditawarkan kepada tonggak skuad bawah 22 tahun itu adalah sangat lumayan bagi seorang pemain muda dari Asia Tenggara, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar yang akan diterima oleh anak buah Ong Kim Swee itu.

“Terpulang kepadanya (Nazmi) sama ada untuk mendedahkannya atau tidak, katanya.

Dalam perkembangan lain, akan mula menyertai latihan bersama Beira-Mar selepas pusingan kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun yang akan bermula 21 Jun sehingga 4 Julai nanti, Nazmi akan turut ditemani pengendali Harimau Muda, Ong kim Swee.

Selain menguruskan soal kontrak dengan kelab tersebut, Kim Swee yang berada di sana selama seminggu akan turut membantu anak buahnya menyesuaikan diri sebagai pemain professional di kelab Eropah itu.

Pencabul kena RM6,000 – Metro


Pencabul kena RM6,000

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu van ‘prebet sapu’ didenda RM6,000 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencabul penumpangnya yang juga pelajar tingkatan empat pada 2 April tahun lalu.

Majistret Noradila Ab Latif membuat keputusan itu selepas Mohd Sahabuddin Razali, 27, dari Kampung Baru, Pusu 3, di sini, mengaku salah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan pelajar perempuan berusia 16 tahun itu dengan meraba buah dada dan paha mangsa di tempat letak kereta berhampiran Stadium Gong Badak di sini, antara jam 1.30 hingga 1.45 tengah hari pada 2 April 2011.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.

 

Mengikut fakta kes, mangsa yang mahu pulang ke asrama sekolahnya di daerah ini, menaiki van sapu dipandu tertuduh di hadapan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, di sini.
Bagaimanapun, tertuduh tidak menghantar mangsa ke sekolah sebaliknya membawa pelajar itu ke arah jalan Stadium Sultan Mizan Gong Badak dan memberhentikan kenderaannya di depan Stadium Tertutup Gong Badak kira-kira jam 1.30 petang.
Ketika itu, mangsa dipaksa memegang kemaluannya dan pada masa sama tertuduh meraba mangsa.

Peruntukan pelajar miskin sebanyak RM110,000 – Sinar Harian


Peruntukan pelajar miskin sebanyak RM110,000

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2012
Peruntukan pelajar miskin sebanyak RM110,000

PETASEH – Sebanyak RM110,000 diperuntukkan oleh Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan untuk diberikan kepada pelajar kurang berkemampuan di negeri ini.

Yayasan Taqwa dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung ­(GP­MS) Negeri Sembilan menyumbangkan bantuan pakaian beragam sekolah dan ­kelengkapan belajar di mana di Jelebu sekitar RM10,000 hingga RM12,000 diperuntukkan.

Pengerusi GPMS Negeri Sembilan, Mohd Zain Abu berkata, penyerahan bantuan itu bermula sejak Januari ­tahun ini.

“Misi bantuan ini sudah dilancarkan pada Januari lalu bagi peringkat negeri kemudian penyerahan ini diteruskan di Gemas, Kuala Pilah dan Jelebu adalah siri terakhir,” ­katanya semasa menyampaikan kata-kata aluan pada Majlis Mesyuarat Agung Persatuan

Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Petaseh Berasrama (B), dekat sini, petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Jelebu, Datuk Jalaludin Alias; Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Petaseh B, Latifah Kedah dan Pengerusi PIBG SK Petaseh, Abdul Rani Abu.

Dalam pada itu, Mohd Zain berkata, pihaknya turut memberi sokongan terhadap pembangunan pelajaran pelajar di seluruh Negeri Sembilan.

“Kita turut bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran bagi membantu melonjakkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi program motivasi yang diadakan secara usaha sama.

“Bermula minggu hadapan kita akan menjayakan program bersama pelajar ­sekolah menengah di mana 10 sekolah akan mengambil ­bahagian,” katanya.

Terbaru katanya, mereka turut menjayakan Program Kembara Ilmu di mana pelajar-pelajar terpilih akan menaiki kereta api dari Negeri Sembilan ke Pulau Pinang.

“Kemudiannya pelajar akan dibawa ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi untuk membuat kajian persekitaran di mana program seumpama ini dapat membawa pelajar mendekati kehidupan pelajar di asrama penuh,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 40 pelajar kurang berkemampuan di SK Petaseh menerima sumbangan pakaian sekolah, kasut sekolah dan peralatan belajar yang disampaikan oleh Mohd Zain.

SAR terima RM132,000 – Sinar Harian


SAR terima RM132,000

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mac 2012

KUALA KUBU BHARU – Kementerian Pelajaran Malaysia memperuntukkan sejumlah RM131,847.24 kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) Integrasi di daerah ini bagi 2012.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Bernam, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar berkata, peruntukan itu disalurkan khas untuk pembangunan infrastruktur sekolah.

“Sumbangan Kerajaan Pusat akan dapat membantu meningkatkan prestasi SAR, ia juga sebagai tanda keprihatinan kerajaan yang mengambil berat pembangunan pendidikan nasional, sesuai dengan keperluan masa kini,” katanya pada majlis Penyampaian Bantuan Pembangunan SAR, di sini.

Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Selangor, Zainal Abidin Mohd Yusof dan Penyelia Kanan Pembangunan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor, Kamal Ma’arof Sairun.

Pada majlis itu, enam wakil dan Ketua Guru dari Kafa Integrasi Sungai Tengi Selatan, Seri Keledang, Kampung Serigala, Kampung Kuantan, Kampung Batu 30 dan Bukit Sentosa 3, menerima cek masing-masing bernilai RM21,974.54.

Mohamed Idris yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor berkata, kerajaan tidak pernah mengetepikan keperluan pembangunan sekolah, malah sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan semua institusi.

Penerima, Salina Zainol, 43, berkata, sumbangan khas yang diberikan itu diperlukan bagi membaik pulih bangunan­ yang mengalami beberapa kerosakan.

Katanya, usaha murni kerajaan sangat dihargai demi memberi keselesaan kepada warga sekolah.

“Sumbangan ini bermakna bagi kami, keprihatinan­ yang ditunjukkan wajar dihargai guru SAR.

“Kami berharap kerajaan terus menghulurkan sumbangan kepada semua sekolah agama demi kebajikan generasi masa depan,” katanya.

Bagi Anita Mustafa, 43, dari Kafa Bukit Sentosa 3, pula, bantuan diterima dapat digunakan untuk membaiki pagar sekolah yang rosak bagi tujuan keselamatan murid.

Menurutnya, mereka sentiasa berharap Kerajaan Pusat mengambil berat kebajikan SAR demi memastikan nasib terbela sama seperti guru sekolah bantuan kerajaan lain.

Perlu RM500,000 – Metro


Perlu RM500,000

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak, Annur Mohd Affendi, 9, yang menderita Cerebral Palsy (lumpuh otak) dan Mitochondrial Disease sejak dalam kandungan, memerlukan bantuan RM500,000 untuk rawatan di Beijing, China.

Dalam usaha mengumpulkan dana membantu kanak-kanak itu, Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Radio IKIM.fm dan Jabatan Muzium Malaysia menganjurkan program ‘Bonanza Amal Hope2walk’ yang berlangsung di Muzium Negara, di sini, semalam.
Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, pada program itu, jualan amal barangan terpakai akan dilaksanakan dengan hasilnya disalurkan ke dalam tabung dana perubatan buat Annur.

 

“Pelbagai barangan teseperti pakaian, barang perhiasan, buku akan dijual pada harga serendah RM2.
“Kami mengalukan sumbangan orang ramai bagi membantu Annur yang akan berangkat ke Beijing pada 14 Februari ini bagi program perubatan dan pemulihan di Hospital Erkang selama dua tahun,” katanya ketika ditemui media selepas majlis itu.
ibu Annur, Raja Rohaisham Raja Muhaiddin, 39, berkata, sebelum ini program itu diadakan untuk dua anaknya Annur dan Annisa, namun Annisa meninggal dunia pada 22 Disember tahun lalu akibat masalah sama.

 

 

“Selepas ke Beijing, kami akan ke United Kingdom (UK) bagi mengikuti kelas intensif di sana sehingga Annur boleh bergerak dan sihat.
“Kelas diadakan enam hari seminggu selama lapan jam tanpa henti. Diharap usaha membantu Annur menjalani kehidupan seperti insan lain,” katanya.

 

Turut hadir, Pengarah Radio IKIM.fm, Nik Roskiman Abdul Samad.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan layari laman web IAM http://www.iam.org.my atau akaun Maybank nombor 564070002424, CIMB No: 12470000477108, atau hubungi 03-89485939.

Bekas pengetua didakwa tipu lebih RM230,000 – Utusan


Bekas pengetua didakwa tipu lebih RM230,000

18/11/2011 7:23pm

 

 

Oleh MOHD. AZRAIE MD. YUSOF

 

PETALING JAYA 18 Nov. – Seorang bekas pengetua sebuah institut bahasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memperdaya seorang lelaki warga Nigeria supaya menyerahkan wang melebihi RM230,000 kepadanya, dua bulan lalu.

Tertuduh, R. Vemaladavi, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membenarkan nombor akuan milik Syarikat Bold Trading Hub yang didaftarkan atas namanya untuk menerima wang hasil penipuan RM234,735.76 daripada Lehman Neil Bayden.

Kejadian didakwa berlaku di CIMB Bank Bhd., No 31-1, Jalan USJ 9/58 UEP Subang Jaya di sini pada 27 September lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd. Rawi mencadangkan wang jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta pasport perlu diserah kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Peguam bela Francis Pereira yang mewakili Vemaladavi, merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh baru sahaja digantung kerja akibat kes tersebut, selain telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis semasa disoal siasat.

Ahmad Solihin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes. – Utusan

Pelajar Gua Musang cemerlang terima wang ehsan RM240,000 – Bernama


Pelajar Gua Musang cemerlang terima wang ehsan RM240,000 

2011/08/29

GUA MUSANG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi penghargaan kepada seramai 303 pelajar cemerlang dari seluruh Parlimen Gua Musang menerusi sumbangan wang ehsan membabitkan peruntukan RM240,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mat Yusoff Ab Ghani berkata, sumbangan pertama kali diberikan itu bagi memberi galakan kepada mereka untuk terus berjaya termasuk yang melangkah ke pusat pengajian tinggi.

Beliau berkata, pelajar di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menerima RM100, Penilaian Menengah Rendah (PMR) RM150, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) RM200 dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) RM250.

“Pelajar yang berjaya memasuki pusat pengajian tinggi peringkat diploma pula menerima RM500 menakala peringkat ijazah RM800,” katanya pada perasmian majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar cemerlang dan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 2011 di Dewan Bukit Chekati, di sini, pagi ini.

Mat Yusoff yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Gua Musang berkata, kejayaan cemerlang pelajar seluruh parlimen itu yang paling tinggi tahun ini berbanding beberapa tahun lepas.

Katanya, ini membuktikan kesungguhan pelajar luar bandar memberikan tumpuan kepada pelajaran hingga boleh memberi persaingan hebat dengan pelajar kawasan bandar besar. – BERNAMA

Dua warga Nigeria dan wanita tempatan dituduh tipu guru RM46,000 – Bernama


Dua warga Nigeria dan wanita tempatan dituduh tipu guru RM46,000

2011/08/25

MELAKA: Dua lelaki warga negara Nigeria dan seorang wanita rakyat tempatan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini kerana dituduh menipu seorang guru RM146,600 dengan menawarkan kertas hitam yang kononnya boleh ditukar menjadi dolar Amerika Syarikat dengan menggunakan sejenis cecair kimia.

Obi Uzoma, 28; Nwabudike Emmanual Chukwuma, 28, dan Azlinda Hussain, 38, didakwa bersama-bersama dua lagi yang masih bebas melakukan kesalahan itu di Public Bank cawangan Masjid Tanah dan CIMB Bank cawangan Masjid Tanah dekat sini pada 29 Jun lalu.

Mereka dituduh menipu Mashitoh Hassan, 36, dengan menawarkan kertas hitam yang boleh ditukar kepada wang dolar Amerika Syarikat dengan cara menggunakan sejenis cecair kimia sehingga Mashitoh percaya dan mendorong beliau memasukkan wang berjumlah RM53,600 ke akaun CIMB Bank dan RM93,000 ke akaun Public Bank milik Azlinda bagi membeli cecair kimia itu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Dua warga negara Nigeria itu memasuki negara ini menggunakan pas pelajar sejak tiga tahun lalu manakala Azlinda dari Bandar Baru Bangi adalah kerani di sebuah kedai tayar.

Hakim Zaharah Hussain menetapkan 6 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Azlinda diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin serta melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan.
Beliau tidak membenarkan dua warga Nigeria itu diikat jamin selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, yang bimbang mereka akan melarikan diri dari Malaysia. – BERNAMA

Jaga ugut guru tegur anak didenda RM2,000 – Harian Metro


Jaga ugut guru tegur anak didenda RM2,000

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Berang selepas mengetahui anak perempuannya ditegur, seorang bapa sanggup mengugut seorang guru dengan kata-kata ‘boleh menggunakan pistol bila-bila masa dan tidak kisah masuk penjara.’

Bagaimanapun, perbuatan Ibrahim Matering, 37, itu menerima padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan mengugut secara jenayah Mohd Norizi Mohamad, 31, yang dibacakan di hadapan Majistret Hafizza Sauni.
Perbuatan itu dilakukan di Bengkel Kemahiran Hidup, Sekolah Kebangsaan Bangsar, Jalan Pantai Baharu, Bangsar di sini, pada jam 9.30 pagi, 14 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, Ibrahim yang bekerja sebagai pengawal keselamatan singgah ke sekolah berkenaan untuk menghantar barang yang ditinggalkan anaknya.
Kebetulan, tertuduh yang turut membawa sepucuk pistol kerana akan terus pergi bertugas selepas itu dimaklumkan bahawa seorang guru menegur anaknya.

Tertuduh kemudian bertindak melakukan ugutan jenayah dengan mendatangkan ketakutan terhadap guru berkenaan.
Terdahulu, Ibrahim yang tidak diwakili peguam merayu supaya hanya dikenakan hukuman ringan atas alasan tidak mempunyai taraf pendidikan tinggi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd Halim memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh untuk mencegah kesalahan sama.

Kegiatan luar bentuk keperibadian pelajar – Harian Metro


Kegiatan luar bentuk keperibadian pelajar

Oleh ROSELAN ABD MALEK
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LIPIS: Pembabitan pelajar dalam kegiatan luar perlu digalakkan kerana ia dapat membentuk keperibadian tinggi selain mewujudkan semangat kekitaan ketika berpersatuan.

Justeru, pembabitan aktif pelajar dalam badan beruniform seperti pengakap tidak sia-sia apabila Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Muhammad Shahrum Osman menyerahkan basikal kepada mereka sebagai rangsangan untuk terus aktif dalam persatuan itu dalam satu majlis di sini, semalam.
Beliau yang juga Bendahari Pengakap Malaysia berkata, 115 ahli pengakap daerah Lipis menerima basikal sebagai hadiah istimewa kerana bergiat aktif dalam persatuan itu.

 

Katanya, basikal itu boleh dijadikan sebagai aktiviti riadah untuk ahli pengakap selain menyihatkan badan dengan aktiviti berfaedah.
Turut hadir dalam majlis berkenaan, Pesuruhjaya Latihan Pengakap Negara, Shukor Muslim dan Pegawai Pelajaran Daerah Lipis, Basiron Abdullah Hasyim.
Dr Muhammad Shahrum juga berkata, sebagai orang muda, ahli pengakap perlu menghindari gejala tidak sihat atau boleh merosakkan diri.

 

 

“Ahli pengakap perlu menunjukkan teladan baik dan menjadi contoh kepada remaja lain.
“Justeru, mereka perlu sentiasa menjaga disiplin dan mematuhi segala undang-undang Negara, sekali gus menjaga nama baik pertubuhan pengakap,” katanya.

 

Sementara itu, pengakap Halim Ismail, 16, berkata pemberian basikal itu memberi satu suntikan semangat baru untuk dia bergiat aktif dalam pengakap dan melakukan kerja-kerja kebajikan.