1,011 calon PMR di Melaka dapat semua A – Berita Harian


1,011 calon PMR di Melaka dapat semua A

2013/12/19 – 11:34:13 AMCetakEmel Kawan
AYER KEROH: Seramai 1,011 daripada 13,661 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Melaka pada tahun ini memperoleh A dalam semua matapelajaran diambil.

Dalam masa sama, seramai 9,882 pelajar pula memperoleh minimum D bagi semua matapelajaran diduduki sekaligus menyumbang kepada pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 2.60 bagi keseluruhan keputusan peperiksaan itu tahun ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Kasim Mohamad berkata jumlah calon cemerlang iaitu yang memperoleh A bagi semua matapelajaran meningkat 0.56 peratus daripada 6.84 peratus pada tahun lalu.

Katanya, peratus calon menguasai minimum D bagi semua matapelajaran juga menunjukkan peningkatan apabila ia merekodkan sebanyak 72.3 peratus berbanding 70.8 peratus tahun lalu.

“Secara keseluruhannya keputusan PMR di negeri ini kali ini adalah yang terbaik dalam tempoh 10 tahun apabila kita berjaya memperoleh nilai GPN 2.60 berbanding 2.64 tahun lalu dan 2.72 pada 2004,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan keputusan PMR 2013 peringkat negeri ini di sini.