2,077 taska digesa segera daftar JKM – Utusan Malaysia


2,077 taska digesa segera daftar JKM

KUALA LUMPUR 24 Julai – Kesemua 2,077 taska di seluruh negara yang belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digesa berbuat demikian sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka, termasuk menutup premis terbabit.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, gesaan itu dibuat memandangkan masih banyak taska yang gagal melakukan demikian yang merupakan satu kesalahan.

Beliau berkata, pada masa ini, hanya 548 taska di seluruh negara yang dikesan berdaftar dengan JKM.

“Pendaftaran taska amat mustahak sebab kita tidak mahu kompromi hanya melibatkan standard kokurikulum JKM, tetapi juga bagi memastikan tenaga pendidik juga adalah terbaik dalam soal keselamatan.

“Ini kerana kita mendapati banyak kes bayi meninggal dunia atau keganasan berlaku di taska yang tidak berdaftar,” katanya selepas merasmikan Karnival Jom Daftar Orang Kurang Upaya (OKU) dan Taska di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa, di Jalan Cochrane, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Shahrizat turut melancarkan sistem pengendali dalam talian, Ezi2Care yang memberi kemudahan kepada pengusaha taska memohon kursus asas asuhan kanak-kanak dan kursus asas pusat jagaan selaras dengan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.

Katanya, kementerian turut mempergiatkan usaha mengenal pasti OKU yang masih tidak berdaftar supaya mereka boleh mendapat manfaat daripada segala kemudahan yang disediakan kepada golongan itu.

“Seramai 317,000 OKU yang telah berdaftar, namun kita anggarkan masih ramai lagi di luar sana tidak berbuat demikian kerana dianggarkan kira-kira 10 peratus daripada penduduk negara adalah daripada kalangan golongan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi JKM, Zaitol Salleh berkata, mana-mana pengusaha taska yang masih berdegil dan enggan berdaftar sepanjang tempoh kempen Jom Daftar sehingga hujung tahun ini bakal dikenakan kompaun atau didakwa di bawah akta terbabit.

“Sepanjang tempoh kempen ini, kita akan memberi peringatan mesra kepada pengusaha sebanyak tiga kali sebelum taska mereka akan disita,” katanya.