1.3 juta pelajar layak terima baucar buku RM260 juta – Utusan


1.3 juta pelajar layak terima baucar buku RM260 juta

SEBAHAGIAN pelajar IPTA gembira sambil melaungkan slogan 1Malaysia selepas menerima replika cek Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM260,000,000 yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN

 

PUTRAJAYA 16 Dis. – Seramai 1.3 juta penuntut yang mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi tempatan dan pelajar sekolah menengah di tingkatan enam layak menerima baucar buku bernilai RM200 seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012, baru-baru ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM260 juta untuk diagihkan kepada penuntut-penuntut tersebut yang dikategorikan sebagai aktif.

Katanya, pemberian baucar tersebut diberikan tanpa mengira penuntut itu mengikuti pengajian pada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan pun Doktor Falsafah (PhD) secara sepenuh masa atau pun sebaliknya.

“Semua pelajar warga Malayasia yang aktif dan berdaftar dalam tempoh Januari hingga Mac tahun depan di institusi pengajian awam dan swasta (IPTA/S), politeknik, matrikulasi/asasi mahu pun di peringkat pengajian persediaan layak menerima dengan syarat daftar sebelum hujung Mac.

“Seorang penuntut akan mendapat empat baucar bernilai RM50 sekeping dan mereka hanya dibenarkan membeli buku akademik, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan IPT masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Kecemerlangan (CoE) Berpotensi kementerian tersebut di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, tempoh sah laku baucar tersebut hanya selama tiga bulan iaitu bermula pada 1 Januari hingga 31 Mac tahun depan.

Sehubungan itu, katanya, penuntut boleh menebus baucar itu di mana-mana kedai buku yang menyertai program tersebut namun dilarang menebus dengan wang tunai.