10 topik popular – Metro


10 topik popular
Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.coom.my

ASPEK profesionalisme perguruan, kebajikan dan kemahiran pengajaran guru adalah topik popular dibincangkan dalam lapan siri Dialog Nasional Pendidikan dan tujuh perbincangan meja bulat yang dilakukan setakat ini.

Ini kerana Kementerian Pelajaran Malaysia mendapati 27 peratus responden menyentuh mengenai isu berkenaan, diikuti aspirasi sistem pendidikan dan pembangunan modal insan yang lebih menyeluruh (14 peratus), kualiti sekolah (12 peratus) serta kepimpinan sekolah (11 peratus). Kurikulum dan pentaksiran (10 peratus), peranan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (sembilan peratus), kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian (tujuh peratus), kecekapan dan keberkesanan penggunaan sumber (lima peratus), profesional pelbagai bahasa (tiga peratus) dan peluang lepasan menengah (satu peratus).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lapan siri dialog itu membabitkan 8,415 orang dan masih terdapat lima lagi siri dialog sehingga pertengahan Julai ini, manakala perbincangan meja bulat dilaksanakan mulai April lalu dan masih ada lapan perbincangan yang dijangka diselesaikan pertengahan Julai ini.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak dapat memanfaatkan peluang yang masih ada ini.
“Ini penting bagi mereka untuk sama memberi input dan pandangan demi masa depan sistem pendidikan negara,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) yang bertanyakan hala tuju dalam usaha mentransformasikan dasar pelajaran negara dan apakah sebab transformasi diperlukan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, fasa pertama Kajian Penilaian Pendidikan merumuskan sistem pendidikan sekarang masih relevan dari segi akses, ekuiti dan kualiti pendidikan.