10,715 cikgu baru – Berita Harian


10,715 cikgu baru

2012/10/06 – 05:18:58 AM Oleh Syuhada Choo AbdullahCetakEmel Kawan
pix_gal0

Kumpulan pertama siswazah lulusan IPGM, IPTA akan diberi penempatan mulai tahun depan

Kuala Lumpur: Seramai 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan diberi penempatan, tahun depan.

Mereka adalah kumpulan pelajar yang sudah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini di IPGM serta IPTA, dan akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

“Kepada mereka yang akan dilantik sebagai pendidik, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi,” Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri

Kerajaan menetapkan keputusan itu selepas mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka panjang yang digariskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelantikan itu tertakluk kepada graduan yang memenuhi syarat skim perkhidmatan PPPS, sudah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan berjaya dalam temu duga dikendalikan SPP.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, seramai 2,960 graduan terbabit dikenal pasti sudah menamatkan pengajian mereka sebelum 1 Julai lalu dan dijadualkan menjalani temu duga oleh SPP.

Penempatan interim
“Mereka adalah 2,478 graduan program J-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain), 368 dari program TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua), 90 dari program KPLI (Kursus Perguruan Lepas Ijazah) IPGM dan IPTA termasuk mereka dari Program Pelajar Cemerlang (PPC), 14 dari program Bahasa Perancis, dan 10 calon mengulang temu duga berdasarkan keperluan opsyen.

“Sementara SPP menyelesaikan urusan temu duga, Kementerian Pelajaran akan membuat penempatan secara interim bagi kumpulan ini mulai 16 Oktober ini. Pelantikan tetap adalah tertakluk kepada keputusan temu duga oleh SPP,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu bagi baki 7,755 pelajar yang menamatkan pengajian selepas Jun lalu, Muhyiddin berkata, mereka perlu mengemukakan permohonan kepada SPP untuk pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 supaya penjadualan temu duga dapat disegerakan.

“Penempatan mereka yang lulus temu duga SPP akan dibuat tahun depan. Kepada mereka yang berjaya dan akan dilantik sebagai pendidik, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi,” katanya.

10,715 graduan guru diberi penempatan – Utusan


10,715 graduan guru diberi penempatan

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Sebanyak 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan yang telah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini, boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memutuskan akan memberi mereka penempatan pada tahun depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka masa panjang seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelantikan itu tertakluk pada mereka yang memenuhi syarat skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS), telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan berjaya dalam temu duga dikendalikan suruhanjaya itu.

“Sehubungan itu, graduan pendidikan keluaran IPG dan IPTA yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang menamatkan pengajian pada 2012 akan dilantik ke jawatan PPPS.

“Mengikut rekod Kementerian Pelajaran, seramai 10,715 penuntut program pendidikan telah dan akan menamatkan pengajian mereka pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121005/dn_35/10715-graduan-guru-diberi-penempatan#ixzz28QmR8bqf
© Utusan Melayu (M) Bhd

10,816 tabika Kemas dibuka tahun depan – Utusan


10,816 tabika Kemas dibuka tahun depan

Hasan Malek bersalaman dengan pasukan futsal Tabika Kemas Johor di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Ledang, Johor, semalam.

 

LEDANG 2 Nov. – Pembukaan tabika Kemas di seluruh negara menerusi program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bakal memberi peluang pekerjaan kepada 5,000 orang di kawasan luar bandar untuk menjadi tenaga pengajar di pusat bimbingan berkenaan.

Tenaga pengajar tersebut diperlukan bagi memenuhi hasrat kerajaan memperluaskan pendidikan prasekolah dengan mewujudkan sebanyak 10,816 kelas tabika Kemas pada tahun 2012.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pada tahun 2012, sebanyak 10,816 buah kelas tabika akan memberi faedah kepada 240,000 kanak-kanak di kawasan luar bandar.

“Pembukaan kelas ini juga akan membuka peluang pekerjaan kepada seramai 5,000 orang anak-anak muda kita dari kawasan luar bandar, perkampungan Orang Asli dan kawasan pedalaman, yang mempunyai kelayakan dan berminat dalam pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalannya, Datuk Hasan Malek pada Majlis Perasmian Penutup Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini, malam tadi.

Program empat hari bermula kelmarin menghimpunkan 854 kanak- kanak tabika dari seluruh negara bagi acara sukan, 14 orang kanak- kanak bagi Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang manakala 28 guru tabika telah disenarai pendek sebagai Anugerah Pemaju Masyarakat.

Menurut Shafie, beliau berharap peluang pekerjaan di tabika Kemas itu dapat dimanfaatkan anak tempatan supaya dapat berkhidmat di tempat mereka sendiri tanpa perlu berhijrah ke tempat lain.

Kata beliau, usaha berterusan juga dilaksanakan bagi memastikan tenaga pengajar tabika Kemas mempunyai kelayakan akademik di peringkat diploma dengan peluang melanjutkan pelajaran diberikan.

“Sehingga kini, seramai 2,330 guru tabika Kemas berkelulusan diploma dan sebanyak 1,902 orang sedang mengikuti pengajian itu. Seramai 3,741 orang akan mengikuti pengajian peringkat diploma mula tahun 2011 dan berakhir tahun 2015,” katanya.