13,000 guru J-QAF diperlukan – Bernama


13,000 guru J-QAF diperlukan

MELAKA 1 Okt. — Kementerian Pelajaran memerlukan kira-kira 13,000 lagi guru bagi program Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) bagi menampung kekurangan guru program itu di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, setakat ini hanya terdapat 14,000 guru J-Qaf yang mengajar di sekolah rendah terpilih di seluruh negara.

“Cadangan untuk dilaksanakan program J-Qaf di sekolah menengah belum dapat dilaksanakan hingga hari ini kerana masalah untuk mendapatkan guru J-Qaf,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Khatam Al-Quran Sekolah Kementerian Pelajaran Peringkat Kebangsaan Keempat di Masjid Al-Azim di sini, hari ini.

Dr. Mohd Puad berkata, terdapat cadangan bagi memberi peluang kepada guru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk dilatih menjadi guru J-Qaf.

Bagaimanapun, kementerian menggalakkan mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang berkenaan terutama lepasan universiti tempatan dan negara Timur Tengah memohon jawatan guru J-Qaf.

Beliau berkata, program J-Qaf banyak mencapai kejayaan terutama peningkatan tahap penguasaan jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain kepada pelajar yang mengikuti program itu.

Mengenai laporan akhbar hari ini yang mendakwa ganjaran kewangan kepada guru besar dan sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dipercayai menjadi punca beberapa calon kurang pandai dihalang sekolah daripada menduduki peperiksaan, Dr. Mohd. Puad berkata, ganjaran bukan puncanya.

“Pada saya, ini lebih kepada masalah kemungkinan ada satu, dua guru besar yang tidak faham dasar Kementerian Pelajaran sendiri.

”Mereka ambil jalan mudah terhadap pelajar yang mungkin mereka katakan ada masalah untuk menduduki peperiksaan tersebut, sebab itulah berlaku kes seperti ini.

“Kadangkala kita (guru dan guru besar) terlalu dirasuk kepada peperiksaan untuk mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran, iaitu 5A atau 10A, itu juga yang menjadi puncanya,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Pelajaran Daerah perlu terus memperingatkan guru besar dan pengetua bahawa mereka tidak ada hak untuk menghalang seseorang pelajar daripada menduduki peperiksaan.

Baru-baru ini, beberapa calon UPSR Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Sira, Baling, Kedah dan SK Bandar Bintangor, dalam bahagian Sarikei, Sarawak dihalang menduduki peperiksaan tersebut kerana dianggap lemah dan boleh menurunkan prestasi peperiksaan sekolah. – BERNAMA

13,000 guru sandaran tidak terlatih diserap – Bernama


13,000 guru sandaran tidak terlatih diserap

2011/07/26

PUTRAJAYA: Seramai 13,000 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan diserapkan sebagai guru tetap, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata surat tawaran telah kepada semua GSTT tersebut mulai bulan lepas setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan jawatan baru kepada mereka.

“Sasaran pihak kementerian adalah mahukan semua jawatan GSTT menjadi guru tetap dan tiada lagi isu mengenai tidak sambung kontrak.

“Namun mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu pernah berkhidmat sebagai GSTT selama dua tahun berturut-turut dan umur mereka tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Akhir Rekacipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (2) di sini hari ini.

Mohd Puad berkata GSTT yang layak akan diserap mengikuti kursus sama ada di institut pendidikan guru atau program Kursus Dalam Cuti sebelum diserap sebagai guru tetap.

Mereka juga harus bersedia ditempatkan di sebarang kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara, katanya. – BERNAMA

13,000 GSTT diambil semula – Utusan Malaysia


13,000 GSTT diambil semula

KINABATANGAN 3 Mac – Nasib hampir 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang ditamatkan tugas baru-baru ini bakal terbela apabila kerajaan bersetuju mengambil semula mereka untuk berkhidmat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan berita gembira itu berkata, kerajaan telah meneliti perkara itu dengan terperinci dan meminta Ketua Pengarah Pelajaran mengambil tindakan segera.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan bersetuju untuk menarik semula tindakan memberhentikan tugas kumpulan pengajar tersebut dan berusaha menempatkan mereka di kawasan yang memerlukan.

Bagaimanapun katanya, kumpulan GSTT tersebut harus bersedia ditempatkan di mana-mana kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara.

“Mereka inginkan jawatan ini, maka mereka juga harus bersedia untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Juara Rakyat dan Majlis Penyampaian Dividen Ladang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas, Tongod dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Sebelum ini kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung semula perkhidmatan GSTT yang ditamatkan pada akhir tahun lalu dengan tiada sebarang pelantikan baru bagi tahun ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, individu yang pernah memegang jawatan GSTT sebelum ini, terutama yang berkhidmat selama dua atau tiga tahun akan diberi peluang untuk terus berkhidmat.

“Kumpulan tersebut mempunyai pengalaman mengajar dan khidmat mereka diperlukan untuk mendidik anak bangsa,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kumpulan GSTT yang diberhentikan itu juga akan diberi peluang menjadi guru terlatih dengan menyertai pelbagai kursus meningkatkan kemahiran yang disediakan kerajaan seperti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti.

Beliau berkata, penambahan kursus-kursus tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran mereka dalam mata pelajaran pilihan seperti Bahasa Inggeris dan Matematik.

Ditanya bilakah kumpulan tersebut akan berkhidmat semula, Muhyiddin berkata, arahan mengambil semula kumpulan GSTT itu telah dikeluarkan kepada pihak terbabit sejak dua bulan lalu.

“Ia kini dalam proses pengurusan logistik dan penempatan semula kumpulan GSTT tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengambilan GSTT kali ini akan dilakukan dengan lebih teliti dengan memberi keutamaan kepada mereka yang pernah berkhidmat.

Justeru, beliau meminta semua Pengarah Pelajaran Negeri dalam pemilihan nanti supaya memberi perhatian kepada individu yang telah berkhidmat sebagai GSTT sebelum ini dan hanya mengambil mereka yang benar-benar layak.