20,133 murid khatam al-Quran cipta rekod MBR – Utusan


20,133 murid khatam al-Quran cipta rekod MBR

Para pelajar KAFA seluruh daerah Terengganu membaca al-Quran di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam. – MINGGUAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR

 

KUALA TERENGGANU 29 Okt. РSeramai 20,133 murid sekolah rendah di seluruh negeri ini hari ini melakar sejarah tersendiri apabila berjaya khatam al-Quran beramai-ramai sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR).

Lebih unik, sebahagian daripada mereka yang mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu turut menggunakan buku elektronik, e-book untuk khatam al-Quran pada majlis berasingan yang diadakan serentak di setiap Parlimen di negeri ini.

Bagi Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, seramai 6,325 murid telah khatam dan diraikan pada majlis Khatam Al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Kelas KAFA (UPKK) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, dekat sini.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat sebagai mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Serentak dengan itu, seramai 3,149 murid turut menjayakan majlis serupa bertempat di Masjid Nasiruddin, Besut, diikuti 2,311 murid di Masjid Permaisuri, Setiu dan 2,744 murid di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang.

Lain-lain ialah 1,910 murid di Masjid Sultan Mahmud, Hulu Terengganu; 2,024 murid (Dataran Padang Merdeka Dungun) dan 1,670 murid (Masjid Sultan Ahmad, Kemaman).

Program itu merupakan anjuran bersama Yayasan Islam Terengganu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita, Khazan berkata, jumlah murid yang berjaya khatam al-Quran tahun ini lebih ramai berbanding 16,929 murid pada tahun lalu.

“Lebih istimewa, mereka berkesempatan menggunakan 3,200 unit e-book pemberian kerajaan negeri bagi menjayakan majlis khatam al-Quran tahun ini berbanding hanya 400 unit bagi setiap Parlimen pada tahun lalu,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri menyerahkan tanggungjawab kepada YIT untuk menyasarkan 30,000 murid yang khatam al-Quran di negeri ini pada setiap tahun.

“Pada masa akan datang, kerajaan negeri sasarkan tiada ada lagi pelajar yang memasuki sekolah menengah di Terengganu tidak khatam al-Quran, selain melaksanakan objektif KAFA iaitu semua murid tahun 6 fasih al-Quran,” ujarnya.