4,138 calon STAM peroleh sijil pangkat Maqbul – Utusan Malaysia


4,138 calon STAM peroleh sijil pangkat Maqbul

31/01/2011 12:43pm

 

PUTRAJAYA, 31 Jan — Seramai 4,138 atau 63.3 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lepas memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (lulus).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata daripada jumlah itu, 413 calon memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) dengan 50 daripadanya mendapat gred cemerlang dalam kesemua 10 mata pelajaran, 804 mendapat Jayyid Jiddan (sangat baik) dan 1,961 Jayyid (baik) dan selebihnya Maqbul.

Meskipun terdapat penurunan jumlah calon yang memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang), terdapat peningkatan jumlah calon yang mendapat pangkat Jayyid Jiddan iaitu pertambahan sebanyak 196 orang, Jayyid (554 orang) dan Maqbul(259) berbanding 2009, katanya ketika mengumumkan analisis keputusan STAM 2010 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Abdul Ghafar berkata kesemua calon yang memperoleh sijil layak memohon untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan atau ke Universiti Al-Azhar di Mesir. — Bernama