14,224 Calon Daftar Untuk Duduki SPM Ulangan 2012 – Bernama


14,224 Calon Daftar Untuk Duduki SPM Ulangan 2012
KUALA LUMPUR: Seramai 14,224 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2012 yang akan diadakan pada Selasa dan Rabu ini.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran Malaysia, daripada jumlah itu, 7,389 calon telah mendaftar untuk mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu (kod kertas 1103) dan 3,909 lagi mendaftar untuk mata pelajaran Matematik (kod kertas 1449).

“Bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki kedua-dua mata pelajaran ialah seramai 2,926 orang. Sebanyak 239 pusat peperiksaan akan dibuka untuk peperiksaan ini di seluruh negara,” kata kenyataan itu.

Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa, arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar. – BERNAMA

14,000 guru terima Bayaran Insentif Tawaran Baru – Utusan


14,000 guru terima Bayaran Insentif Tawaran Baru

MUHYIDDIN Yassin diapit Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed (kanan beliau) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud (kiri beliau) ceria menunjukkan isyarat 1Malaysia bersama 403 guru besar yang menerima anugerah BITB dan TBGB 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 15 Mac – Kira-kira 14,000 warga pendidik daripada 403 buah sekolah rendah pelbagai aliran di seluruh negara menerima Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB) 2011 bernilai hampir RM15 juta, hasil kecemerlangan prestasi sekolah masing-masing sepanjang tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia terdiri daripada 300 sekolah kebangsaan, 46 sekolah jenis kebangsaan Cina, 51 sekolah jenis kebangsaan Tamil, lima sekolah agama bantuan kerajaan dan sebuah sekolah Orang Asli.