481,147 calon duduki PMR 2011 – Kosmo


481,147 calon duduki PMR 2011

PELAJAR rabun, Mohd. Ruzaini Mohd. Daud menjawab soalan peperiksaan PMR menggunakan mesin braille di SMK Alma, Bukit Mertajam semalam.

 

KUALA LUMPUR – Seramai 481,147 calon menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 di seluruh negara semalam.

Ia berlangsung selama lima hari sehingga 11 Oktober ini dan melibatkan 3,521 pusat peperiksaan.

Selain pusat peperiksaan, terdapat juga calon yang menduduki PMR di wad hospital kerana masih dalam rawatan.

Di Alor Setar, lima calon PMR menduduki peperiksaan itu di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana masih menjalani rawatan akibat kemalangan jalan raya dan menghidap penyakit.

Mereka ialah Muzammil Azizan, Nor Amira Muhamad Fisol, Mohd. Syamil Abdul Hamid, Noraini Abdul Razak dan Nurul Anis Zakaria.

Ketua Pengawas Peperiksaan, Jauhari Din berkata, Muzammil dan Nor Amira cedera akibat kemalangan manakala tiga lagi mengalami jangkitan pada paru-paru, masalah buah pinggang dan radang paru-paru.

Katanya, semua calon PMR menjawab tiga kertas peperiksaan iaitu Bahasa Melayu 1, Bahasa Melayu 2 dan Pendidikan Islam.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat berkata, seramai 39,143 orang pelajar di negeri itu menduduki PMR di 281 pusat peperiksaan.

Di Kuala Terengganu, pelajar autisme, Mohammad Danial Zainuddin, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek disenaraikan sebagai calon sasaran untuk mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan PMR.

MUZAMMIL AZIZAN (kiri) yang patah kaki akibat kemalangan menjawab soalan peperiksaan PMR di wad Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar semalam.

 

Ini kerana anak sulung kepada pasangan Zainuddin Mohammad, 46, dan Rozinah Mohd. Ikram, 46, itu berjaya meraih keputusan 9A pada peperiksaan percubaan PMR.

Ketua Sektor Pendidikan Khas dan Swasta, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Ngah Bidin berkata, Mohammad Danial bakal mencipta sejarah menjadi pelajar pendidikan khas pertama di Malaysia meraih keputusan 9A.

Sindrom autisme merupakan kecacatan perkembangan tegar yang melibatkan fungsi otak dan kanak-kanak yang menghidap sindrom itu akan berada dalam dunianya sendiri dan sukar menyesuaikan diri secara normal.

Ujarnya, Mohammad Danial yang mendapat keputusan 5A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mula dikesan menghidap sindrom autisme pada usia dua tahun dan memasuki sekolah pendidikan khas pada usia sembilan tahun.

Di Besut, seorang pelajar, Mohamad Firdaus Mohamad Rozmi, 15, yang kini bergantung sepenuhnya kepada mesin pernafasan akibat penyakit paru-paru dan abdomen kronik menduduki PMR di wad Hospital Besut.

MOHAMAD FIRDAUS tekun menjawab soalan peperiksaan PMR dengan dibantu mesin pernafasan di wad Hospital Besut, Besut semalam.

 

Menurut bapanya, Mohamad Rozmi Ghazali, 49, anak bongsu daripada tiga beradik itu dilihat bersemangat menjawab soalan peperiksaan walaupun dia tidak dapat hadir ke sekolah tahun ini ekoran penyakitnya itu.

Jelasnya, anaknya belajar sendiri di wad biarpun bergantung dengan mesin pernafasan Bilevel Positive Airway Pressure (BIPAP) kerana penyakit yang dihidapinya sejak berusia dua tahun.

Di Bukit Mertajam, meskipun menghadapi masalah rabun sejak dilahirkan, Mohd. Ruzaini Mohd. Daud, 15, bersama lima rakannya tenang menjawab soalan peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Alma.

Katanya, walaupun terpaksa membaca soalan dan menjawab dalam tulisan braille, ia tidak menjadi masalah kepadanya.

Rakannya, A. Mahavithia, 15, yang buta kedua-dua mata yakin akan mendapat keputusan cemerlang pada PMR.

Dia yang bercita-cita menjadi guru mengambil tujuh mata pelajaran dalam PMR.