15,000 guru berijazah belum naik gred G41 – Berita Harian


15,000 guru berijazah belum naik gred G41
Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2012/02/13

Terpaksa tanggung beban bayaran pinjaman pendidikan

SEREMBAN: Kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan gred G41 walaupun sebahagian mereka sudah melepasi proses temu duga sejak dua tahun lalu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.

Beliau berkata, perkara itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang sanggup membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan sendiri bagi menampung kos menyambung pelajaran sebelum ini.

Dengan jaminan kenaikan gred itu, mereka membuat keputusan berkenaan (menyambung pelajaran) dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan. – Lok Yim Pheng, Setiausaha Agung NUTP

Katanya, berikutan penangguhan itu, sebahagian guru terbabit kini menanggung masalah kewangan termasuk untuk membayar semula pinjaman pendidikan kerana gaji diterima masih di takuk lama.

“Mereka membuat perancangan rapi terutama membabitkan soal kewangan sebelum mengambil keputusan menyambung pelajaran kerana kebanyakannya sudah berkeluarga dan mempunyai banyak komitmen.

“Dengan jaminan kenaikan gred itu, mereka membuat keputusan berkenaan (menyambung pelajaran) dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan.

“Namun, proses kenaikan gred itu kini digantung dan kami tidak tahu sampai bila,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Yim Pheng berkata, sebelum ini, proses kenaikan gred selepas seseorang calon melepasi temu duga biasanya mengambil masa kurang setahun untuk berkuat kuasa tetapi penangguhan itu turut menjejaskan tempoh perkhidmatan bagi kenaikan pangkat.

Justeru, beliau berkata, pihaknya meminta Kementerian Pelajaran menyegerakan proses berkenaan kerana jumlah guru yang tamat pengajian ijazah semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Yim Pheng meminta Kementerian Pelajaran memberi peluang kepada guru yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras tiga dan empat yang layak menikmati anjakan gaji menikmatinya, walaupun tempoh sah penilaian itu tamat tahun ini berikutan pemansuhannya.

Beliau berkata, kebanyakan guru terbabit belum cukup syarat tempoh perkhidmatan dan hak mereka dinafikan kerana tempoh sah penilaian itu tamat sebelum mereka mencukupkan syarat berkenaan.

“Tidak adil bagi guru terbabit yang berusaha lulus PTK dan ketika menunggu masa untuk menikmati anjakan gaji, tiba-tiba kelulusan PTK mereka tidak boleh digunakan dan terpaksa menduduki penilaian baru,” katanya.

15,000 guru berijazah masih tunggu naik gred – Utusan


15,000 guru berijazah masih tunggu naik gred

SEREMBAN 12 Feb. – Hampir 15,000 guru berijazah masih belum ditawarkan kenaikan gred DG41 walaupun sebahagian besar daripada mereka telah ditemuduga untuk tujuan itu.

Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, ada antara mereka telah menunggu tawaran tersebut selama dua tahun dan jumlahnya pasti akan bertambah tahun ini.

Beliau berkata, sekiranya situasi itu tidak ditangani segera, keadaan akan bertambah buruk kerana semakin ramai guru yang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah akan menamatkan pengajian setiap tahun.

“Kita tidak mahu mereka berasa tidak puas hati selepas tertunggu-tunggu kerana tidak ada maklum balas daripada kerajaan mengenai perkara ini.

“Mereka patut ditawarkan gred itu kerana sudah menjalani temuduga tetapi sehingga kini kami tidak tahu mengapa ia tidak dapat dilakukan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurutnya, peruntukan bagi menawarkan para guru berkenaan gred lebih tinggi telah ada dan NUTP amat berharap tindakan segera diambil bagi menangani masalah tersebut.

Yim Pheng berkata, NUTP merayu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kelonggaran kepada guru yang lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk menikmati kenaikan pangkat walaupun sistem penilaian itu telah dihapuskan awal tahun lalu.

Beliau berkata, ia penting kerana mereka telah berhempas pulas untuk lulus dalam peperiksaan tersebut dan berhak ditawarkan kenaikan gaji seperti yang dilakukan sebelum ini.

Katanya, kelulusan mereka dalam peperiksaan itu tidak sepatutnya terhapus begitu saja dengan pemansuhan PTK sebaliknya, satu tempoh yang lebih munasabah perlu diberikan bagi mengelakkan penganiayaan.

“Ribuan lulusan PTK dalam kalangan guru yang belum menikmati kenaikan gaji kini menagih simpati kerajaan bagi menyelesaikannya,” ujar beliau.

Menjawab satu pertanyaan, Yim Pheng memberitahu, NUTP telah mengumpul semua maklum balas daripada para guru mengenai Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Katanya, ia telah dibahaskan oleh ahli majlis NUTP dan akan diserahkan kepada pasukan petugas khas SBPA tidak lama lagi.

Jelasnya, NUTP juga sudah membuat pendirian mengenai skim saraan baru itu tetapi enggan mendedahkannya kepada umum pada masa ini.

15,000 guru lepasan siswazah belum terima kenaikan gred GD41 – Berita Harian


15,000 guru lepasan siswazah belum terima kenaikan gred GD41

2012/02/12

SEREMBAN: Kira-kira 15,000 guru lepasan siswazah belum menerima kenaikan gred GD41 dengan sebahagian mereka sudah melepasi temu duga lebih dua tahun lalu.

Kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng kepada pemberita dalam sebuah majlis di sini, sebentar tadi.

15,400 penjawat awam berprestasi rendah disiasat – Utusan


15,400 penjawat awam berprestasi rendah disiasat

2011/12/09

PUTRAJAYA: Kira-kira 15,400 kakitangan awam yang mencatatkan prestasi rendah iaitu mendapat markah penilaian 69 peratus ke bawah, tidak akan sewenang-wenangnya diminta bersara awal, sebaliknya kelemahan itu akan disiasat panel khusus bagi mengelakkan penganiayaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata panel itu diberi tempoh enam bulan untuk melakukan siasatan berkenaan yang membabitkan 1.1 peratus daripada 1.4 juta kakitangan awam di seluruh negara.

Katanya, siasatan itu turut membabitkan kemungkinan kakitangan terbabit mempunyai sebab tertentu mendapat prestasi rendah.

“Siasatan panel khas itu akan menyeluruh… kita melihat semua perkara termasuk bakat dan kemampuan kakitangan terbabit dan hanya selepas itu, panel akan memberi cadangan sama ada mungkin memindahkan mereka ke jabatan lebih sesuai dengan bakatnya.

“Mereka mungkin hanya diminta bersara awal sekiranya didapati mempunyai rekod prestasi buruk bagi tempoh yang lama dengan mengambil kira rekod tahun terdahulu secara berturut-turut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, katanya, fenomena itu bukan isu besar bagi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana sebahagian besar kakitangan awam memiliki rekod prestasi baik iaitu melebihi 70 peratus berdasarkan kepada sampel laporan prestasi tahun lalu yang dibuat ke atas 131,196 penjawat awam atau kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan awam.

Daripada laporan itu, katanya, 39 peratus (546,000) penjawat awam mendapat markah prestasi 90 peratus; 55.6 peratus (778,400) mendapat markah antara 80 hingga 89 dan 4.3 peratus (60,200) mendapat antara 70 hingga 79 markah.
Beliau mengulas laporan akhbar berkaitan isu penjawat awam yang berprestasi rendah dengan markah 70 peratus ke bawah, akan diminta bersara awal apabila skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dilaksanakan mulai 1 Januari depan.