150 kanak-kanak berkhatan secara percuma di Hospital Kuala Nerang – Bernama


150 kanak-kanak berkhatan secara percuma di Hospital Kuala Nerang

2010/11/21

KUALA NERANG: Seramai 150 kanak-kanak dari daerah Padang Terap menyertai program Khatan Perdana 2010 anjuran Hospital Kuala Nerang dengan kerjasama Ahli Lembaga Pelawat hospital itu selama 10 hari bermula hari ini.

Pengarah Hospital Kuala Nerang, Dr Abdul Malik Osman, berkata perkhidmatan berkhatan secara percuma membabitkan lima pegawai perubatan dan tiga penolong pegawai perubatan kanan diadakan bagi membantu masyarakat setempat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Oleh kerana kita kekurangan tenaga kerja, kita bahagikan pegawai perubatan kepada tiga kumpulan untuk melakukan proses berkhatan 15 kanak-kanak dalam sehari sepanjang 10 hari berturut-turut.”Saya melihat program ini berjaya berikutan sambutan menggalakkan daripada masyarakat dan kita akan menganjurkan program seperti ini dan program lain dari semasa ke semasa dalam usaha merakyatkan hospital agar dekat di hati masyarakat,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian program Khatan Perdana 2010 di hospital itu hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Badrul Hisham Hashim yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kuala Nerang

Dr Abdul Malik berkata, program itu bertujuan memasyarakatkan orang ramai dengan hospital sesuai dengan slogan Kementerian Kesihatan “Kami Sedia Membantu” untuk membantu masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan.

Sementara itu, seorang kanak-kanak, Zahid Mohamad Atan, 8, berkata pada mulanya dia agak takut untuk berkhatan tetapi perasaan itu hilang apabila ibu bapanya sentiasa memberikan semangat.
“Rasa gementar untuk berkhatan tetapi bila sampai di hospital saya rasa gembira sebab dapat berkhatan bersama rakan-rakan sekolah,” kata Mohd Dhiaya Khadri, 6.

Terdahulu kanak-kanak itu dimandikan beramai-ramai dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum mereka dikhatankan. – BERNAMA