Kafe Siber jalankan aktiviti judi diserbu, 16 set komputer dirampas – Bernama


Kafe Siber jalankan aktiviti judi diserbu, 16 set komputer dirampas

25 September 2012

KUANTAN – Sebanyak 16 set komputer bernilai kira-kira RM32,000 dirampas polis dalam serbuan di sebuah kafe siber di Jalan Beserah di sini, dipercayai menjalankan kegiatan perjudian tanpa lesen, awal hari ini.

Dalam serbuan 12.15 pagi itu, polis turut menahan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun yang merupakan penjaga premis itu dan seorang pelanggan lelaki berusia 29 tahun.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata premis terbabit didapati tidak memiliki lesen sebagai kafe siber serta dipercayai menjalankan aktiviti perjudian internet secara haram.

“Semua barang rampasan dan suspek terbabit¬† dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Kuantan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita. – Bernama