16, 17 Ogos cuti berganti persekolahan sempena Aidilfitri – Bernama


16, 17 Ogos cuti berganti persekolahan sempena Aidilfitri
10:07:21 AM Cetak Emel Kawan

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju supaya 16 dan 17 Ogos ditetapkan sebagai cuti berganti persekolahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 19 Ogos ini.

Perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet Rabu lalu, kata Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan hari ini. “Dengan ini, semua pihak mempunyai tempoh masa mencukupi bagi merancang perjalanan pulang dan seterusnya dapat mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah untuk memohon cuti berganti melalui pendaftar masing-masing untuk kelulusan.

Bagi tujuan penyelarasan, kementerian itu mencadangkan supaya cuti berganti persekolahan 16 Ogos diganti pada Sabtu, 8 September manakala cuti berganti 17 Ogos diganti pada Sabtu, 22 September.

“Pihak sekolah hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya pada hari Sabtu berkenaan sebagai hari ganti persekolahan mengikut jadual waktu hari yang terlibat dengan hari cuti berganti tersebut,” kata kenyataan itu. – BERNAMA

16,500 netbook 1Malaysia untuk masyarakat, pelajar – Berita Harian


16,500 netbook 1Malaysia untuk masyarakat, pelajar
Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
2011/04/24

RAIS memukul Geduk Besar Wat Chonprachumthat sambil diperhatikan Datin Seri Maznah Rais (tengah) ketika merasmikan seminar di Kampung Dalam, Tumpat,  semalam.

RAIS memukul Geduk Besar Wat Chonprachumthat sambil diperhatikan Datin Seri Maznah Rais (tengah) ketika merasmikan seminar di Kampung Dalam, Tumpat, semalam.

Cadangan wujud kampung WiFi rapat jurang ICT penduduk bandar, luar bandar 

TUMPAT: Sebanyak 16,500 netbook 1Malaysia akan diagihkan kepada pelajar dan pemimpin masyarakat di daerah ini melalui fasa kedua tahun 2011 dalam usaha kerajaan merapatkan jurang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di antara masyarakat luar bandar dan bandar.

Usaha berkenaan akan disokong dengan inisiatif Kampung Tanpa Wayar (Kampung WiFi) yang akan diwujudkan di Kampung Dalam, dekat sini sebelum diperluaskan ke kawasan perkampungan lain di seluruh Kelantan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata usaha berkenaan dijayakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)

“Kita anggarkan 16,000 hingga 16,500 unit netbook diedarkan kepada pelajar dan pemimpin masyarakat di Tumpat melalui fasa kedua tahun ini. Bagi perkampungan tanpa wayar pula, kita mulakan di sini kerana kecerdasan pelajar dan pemimpin masyarakatnya yang memerlukan hubungan segera seperti itu.

“Selepas ini, kita akan wujudkan lebih banyak kampung tanpa wayar di sini,” katanya selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya, Pelancaran Kampung Tanpa Wayar dan Komuniti 1Malaysia berhampiran Wat Chonpraachumthat Chanaram, Kampung Dalam, di sini semalam.

Rais turut mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk kerja pemuliharaan beberapa artifak dan bangunan tradisi berkaitan masyarakat Siam di kampung itu selain meminta pengurus seni budaya dan seni kreatif memanfaatkan dana yang masih berbaki RM140 juta daripada jumlah keseluruhan RM200 juta untuk tujuan itu.
“Pinjaman boleh dibuat mana-mana pihak asalkan ia berkaitan industri kreatif. Setakat ini, RM60 juta digunakan, jadi ada lagi baki RM140 juta. Saya harap pengurus seni budaya dan seni kreatif boleh memanfaatkan kemudahan itu.
“Kegiatan seni terutama membabitkan industri kreatif sepatutnya perlu digalakkan, banyak yang boleh diasah.

“Jadi saya minta SKMM beri peluang lebih luas kepada anak Kelantan dan Terengganu mencerna kreativiti seni yang kemudian dapat dipasarkan sama ada dalam bentuk animasi atau cerita tempatan,” katanya.