17 pelajar dakwa dihukum tanggal seluar – Berita Harian


17 pelajar dakwa dihukum tanggal seluar

2012/11/19 – 05:02:38 AMCetakEmel Kawan
Johor Bahru: Seramai 17 pelajar sebuah sekolah menengah di sini mendakwa dihukum menanggalkan seluar dan tekan tubi 700 kali oleh guru selepas memuat naik rakaman video ke portal Youtube.

Pelajar terbabit yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendakwa turut ditendang pada paha dan muka, ditumbuk di perut, muka dan paha, sambil disaksikan 26 pelajar asrama lelaki sekolah itu ketika hukuman dilaksanakan.

Hukuman itu diketuai tiga guru termasuk seorang guru penolong kanan, yang dipercayai tidak berpuas hati kerana mereka memuat naik video selama tiga minit dua saat, berkaitan luahan perasaan selepas menamatkan kertas Matematik.

Bapa seorang pelajar terbabit mendakwa kejadian berlaku pada 5 November lalu antara jam 5.30 petang dan berlarutan hingga 9 malam dalam dewan makan sekolah itu.

Perkara itu dimaklumkan anak saya ketika melawatnya pada 17 November lalu. Apa yang mengaibkan, dalam kejadian itu, ada pelajar terbabit memaklumkan guru berkenaan dia tidak memakai seluar dalam.

Namun, pelajar berkenaan tetap diarah menanggalkan seluar sehingga terpaksa menjalani hukuman dalam keadaan bogel, berbanding rakan lain yang masih berseluar dalam, katanya di sini semalam.

Saya sendiri melihat rakaman asli video terbabit. Bagaimanapun, video yang dimuat naik ke dalam portal Youtube itu sudah dikeluarkan oleh pelajar selepas diarahkan berbuat demikian oleh guru terbabit.
Semua pelajar itu termasuk anak saya diugut guru terbabit, akan berdepan tindakan Sijil SPM dan Sijil Berhenti Persekolahan mereka akan disenarai hitam jika perkara itu didedahkan, katanya yang membuat aduan polis mengenai perkara itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zakarshi, ketika dihubungi, berkata beliau akan menyiasat kejadian terbabit sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, setakat ini beliau belum menerima maklumat mengenai kejadian itu dan hanya mengetahuinya apabila dihubungi wakil media semalam.