18 pelajar dapat anugerah Berita Harian – Berita Harian


18 pelajar dapat anugerah Berita Harian
Oleh Nor Azma Laila

2011/06/10

Penuntut cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM terima RM1,000, trofi dan sijil penghargaan

KUALA LUMPUR: Seramai 18 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari seluruh negara terpilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Berita Harian (APC-BH) 2010, di Balai Berita, semalam.

Semua mereka menerima wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Mohd Puad berkata, usaha Berita Harian dalam menghargai kecemerlangan pelajar melalui APC-BH bukan saja menunjukkan komitmen dimainkan oleh pihak swasta untuk memperkasakan pendidikan negara, tetapi juga menjadi pemangkin kepada kejayaan pelajar.

“Bengkel dan seminar yang diadakan serta sisipan dalam Berita Harian seperti Didik, Minda dan Skor juga banyak membantu pelajar mencapai kejayaan dalam pelajaran,” katanya.

Hadir sama, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad, Datuk Zainul Ariffin Mohammed Isa dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Sempena program itu, dua penerima anugerah bagi setiap kategori iaitu UPSR, PMR dan SPM yang bertuah turut menerima hadiah dua tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Kuching.

Sementara itu, Mior Kamarul berkata, APC-BH 2010 bertujuan memberi penghargaan kepada pelajar yang mengikuti klinik dan seminar anjuran Berita Harian, tahun lalu.
“APC-BH yang dimulakan pada 2006 juga bertujuan mendorong dan menyuntik semangat pelajar supaya terus berusaha gigih bagi mencapai kejayaan cemerlang tanpa mengabaikan kegiatan kokurikulum,” katanya.

Penerima anugerah bagi kategori UPSR, Auvendra Jairun, 13, dari Tuaran, Sabah berkata dia amat gembira kerana terpilih sebagai seorang penerima APC-BH 2010.