Sabah umum bonus untuk 19,191 penjawat awam – Bernama


Sabah umum bonus untuk 19,191 penjawat awam

2011/08/13

KOTA KINABALU: Seramai 19,191 kakitangan awam perkhidmatan awam Sabah akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Musa yang juga Menteri Kewangan Negeri Sabah berkata, kos untuk pembayaran Imbuhan Tahunan dan Bayaran Khas Prestasi ini kepada penjawat awam adalah sebanyak RM16,166,364.40.

“Ia bagi menghargai sumbangan dan dedikasi anggota perkhidmatan awam dalam menjayakan program dan agenda pembangunan negeri untuk kesejahteraan rakyat.

“Ini juga sebagai langkah untuk meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemberian bonus ini selaras dengan langkah yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan akan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri. – BERNAMA