2 beradik mengaku salah – Metro


2 beradik mengaku salah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar yang baru selesai mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan abangnya berusia 21 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan menyimpan sebuah kereta Proton Wira milik seorang jururawat yang dilaporkan hilang.

Tertuduh, juvana berusia 17 tahun dan abangnya, Mohd Firdaus Azmi, 21, berasal dari Jertih, Besut mengaku bersalah atas pertuduhan secara bersama mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK) kerana memiliki barang curi.
Mengikut pertuduhan, dua beradik itu bersama tiga lagi yang masih bebas didakwa dengan curangnya menyimpan barang curi iaitu kereta Proton Wira milik Rosilawati Daud, 35, di Kampung Dusun Beliku La, Jertih, Besut jam 7.30 malam, 4 Disember lalu.

 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebaik pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh direkodkan, Noradila membenarkan pelajar berkenaan dilepaskan dengan jaminan RM2,000 sementara menunggu 29 Januari depan untuk penghakiman kes selepas mendapatkan laporan akhlak tertuduh yang masih di bawah umur.
Beliau juga menetapkan tarikh sama menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Firdaus yang tidak boleh diikat jamin kerana berdepan tuduhan lain.

 

 

Dalam pertuduhan berasingan di mahkamah sama juga, Mohd Firdaus dikenakan hukuman penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah melupuskan harta curi iaitu sebuah kereta Proton Wira milik seorang buruh, Mohd Ismail Ali, 39.
Tertuduh mengaku bersalah mengikut pertuduhan pilihan, Seksyen 414 KK iaitu melupuskan sebuah kereta Proton Wira berkenaan yang berharga RM10,000.

 

Kereta itu dikatakan hilang di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, antara jam 2 petang hingga 7 malam pada 28 Disember tahun lalu.
Noradila menjatuhkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap apabila kedua-dua beradik itu ditahan ketika meleraikan komponen kereta dicuri di belakang sebuah rumah di Kampung Dusun Beliku La, Jertih, Besut oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada 4 Disember lalu.
Akhbar semalam melaporkan, seorang bapa dipercayai merekrut dua anak lelaki bagi mengikut jejaknya menjalankan aktiviti mencuri dan menjual kenderaan secara berkumpulan meskipun seorang daripada anaknya masih di bawah umur dan baru selesai menduduki SPM.