20,000 Guru Bahasa Inggeris Akan Dilatih Semula Tahun Ini – Idris Jusoh – Bernama


20,000 Guru Bahasa Inggeris Akan Dilatih Semula Tahun Ini – Idris Jusoh

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) — Sebanyak 20,000 guru bahasa Inggeris sedia ada akan dilatih semula tahun ini untuk meningkatkan penguasaan bahasa mereka, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata untuk permulaan pada Februari ini 9,000 guru akan dilatih manakala selebihnya akan dilakukan dari semasa ke semasa.

“Jumlah ini meningkat berbanding 5,000 pada tahun lepas, ini supaya pendedahan yang diberikan oleh guru mudah difahami pelajar dan seterusnya penggunaan bahasa itu dapat dicapai dengan baik.

“Ia juga bagi menyahut seruan kerajaan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang ingin meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Program Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright kepada 100 siswazah dari universiti terkemuka di Amerika Syarikat di kementerian itu di sini Isnin.

Idris berkata perancangan tahun depan pula kementerian juga menjangkakan jumlah yang sama iaitu 20,000 guru akan dilatih.

Terdahulu mengenai program berkenaan, bakal guru dari Amerika itu akan ditugaskan selama 10 bulan di sekolah menengah dan rendah di enam negeri iaitu Terengganu, Johor, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.

Selain membantu guru bahasa Inggeris di dalam kelas, mereka juga akan menjalankan aktiviti luar kurikulum yang dijalankan dalam bahasa Inggeris seperti program perkhemahan.

— BERNAMA

 

20,000 murid tahun 4 di Terengganu bakal terima E-Book – Bernama


20,000 murid tahun 4 di Terengganu bakal terima E-Book

19 Mac 2013
Ahmad Said
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said

KUALA TERENGGANU – Kira-kira 20,000 murid Tahun 4 di seluruh Terengganu akan memerima seunit E-Book pada tahun ini yang diagihkan secara berperingkat mulai hari ini.

E-Book sebuah komputer mini yang dilengkapi perisian akademik mengikut sukatan Kementerian Pelajaran itu mula diberi sejak tahun 2009 bertujuan
memudahkan proses pembelajaran di dalam kelas, sekaligus mengurangkan beban murid untuk membawa buku ke sekolah.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata sejak diperkenalkan lima tahun lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan RM114 juta bagi memastikan
proses pembelajaran menggunakan E-Book berjalan lancar.

“Bermula tahun ini juga, kita akan mengagihkan komputer riba kepada 4,000 guru yang mengajar murid Tahun 4 supaya melancarkan lagi proses pembelajaran dua hala antara guru dan murid di dalam kelas.

“Sebelum ini, kita hanya beri kepada guru murid Tahun 5 dan 6 sahaja, namun guru Tahun 4 juga akan menikmati kemudahan sama kerana penggunaan komputer riba itu lebih sesuai untuk mengajar murid yang dibekalkan E-Book,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan program pengagihan E-Book kepada 7,546 murid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di sini hari ini.

Kerajaan negeri turut menempatkan 456 Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) di setiap sekolah seluruh Terengganu untuk tujuan membaiki dan menyelenggara kerosakan E-Book.

Ahmad berkata walaupun pendapatan yang diperoleh Terengganu bukanlah yang tertinggi dalam negara, namun peruntukan untuk sektor pendidikan sebanyak RM340 juta setiap tahun membuktikan keprihatinan barisan kepimpinannya dalam melahirkan generasi muda yang berilmu untuk menjadi aset bangsa dan negara.

“Selain E-Book, banyak bantuan dan program khas diadakan untuk memastikan hasrat Terengganu menjadi negeri anjung ilmu tercapai sedikit masa lagi.

“Justeru, saya sangat berharap agar ibu bapa dapat memantau dan membimbing anak mereka supaya menggunakan E-Book untuk tujuan akademik sahaja,” katanya. – Bernama

20,000 murid tak sekolah agama – Sinar Harian


20,000 murid tak sekolah agama

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 November 2012
 Datuk Yaakub Amin
Datuk Yaakub Amin

JASIN – Ibu bapa digesa menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) berikutan jumlah murid yang belajar di sekolah itu masih berkurangan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Yaakub Amin berkata, daripada 60,000 murid sekolah rendah yang berbangsa Melayu di negeri ini, hanya kira-kira 41,000 sahaja yang dihantar ke sekolah itu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 20,000 murid tidak menghadiri sekolah agama.

“Perkara ini tidak seharusnya timbul kerana majoriti ibu bapa mampu menghantar anak-anaknya ke sekolah kebangsaan, namun sekolah agama sering kali dipandang sepi sedangkan ia penting dalam melahirkan generasi cemerlang.

“Satu kerugian kerana kebanyakan sekolah agama berada berdekatan rumah penduduk dan kosnya juga tidak mahal,” katanya.

Katanya, oleh itu, ibu bapa perlu mengambil peluang menghantar anak-anak mereka menimba ilmu agama di sekolah agama ini.

“Saya harap ibu bapa akan lebih peka dan memandang positif sekolah agama Jaim ini dengan mendaftarkan anak-anak mereka sama ada pada sesi pagi ataupun petang,” katanya.

20,133 murid khatam al-Quran cipta rekod MBR – Utusan


20,133 murid khatam al-Quran cipta rekod MBR

Para pelajar KAFA seluruh daerah Terengganu membaca al-Quran di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam. – MINGGUAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR

 

KUALA TERENGGANU 29 Okt. – Seramai 20,133 murid sekolah rendah di seluruh negeri ini hari ini melakar sejarah tersendiri apabila berjaya khatam al-Quran beramai-ramai sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR).

Lebih unik, sebahagian daripada mereka yang mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu turut menggunakan buku elektronik, e-book untuk khatam al-Quran pada majlis berasingan yang diadakan serentak di setiap Parlimen di negeri ini.

Bagi Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, seramai 6,325 murid telah khatam dan diraikan pada majlis Khatam Al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Kelas KAFA (UPKK) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, dekat sini.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat sebagai mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Serentak dengan itu, seramai 3,149 murid turut menjayakan majlis serupa bertempat di Masjid Nasiruddin, Besut, diikuti 2,311 murid di Masjid Permaisuri, Setiu dan 2,744 murid di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang.

Lain-lain ialah 1,910 murid di Masjid Sultan Mahmud, Hulu Terengganu; 2,024 murid (Dataran Padang Merdeka Dungun) dan 1,670 murid (Masjid Sultan Ahmad, Kemaman).

Program itu merupakan anjuran bersama Yayasan Islam Terengganu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita, Khazan berkata, jumlah murid yang berjaya khatam al-Quran tahun ini lebih ramai berbanding 16,929 murid pada tahun lalu.

“Lebih istimewa, mereka berkesempatan menggunakan 3,200 unit e-book pemberian kerajaan negeri bagi menjayakan majlis khatam al-Quran tahun ini berbanding hanya 400 unit bagi setiap Parlimen pada tahun lalu,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri menyerahkan tanggungjawab kepada YIT untuk menyasarkan 30,000 murid yang khatam al-Quran di negeri ini pada setiap tahun.

“Pada masa akan datang, kerajaan negeri sasarkan tiada ada lagi pelajar yang memasuki sekolah menengah di Terengganu tidak khatam al-Quran, selain melaksanakan objektif KAFA iaitu semua murid tahun 6 fasih al-Quran,” ujarnya.