3 disyaki minum racun elak tindakan disiplin – Berita Harian


3 disyaki minum racun elak tindakan disiplin
Oleh Magendran Rajagopal dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
bhnews@bharian.com.my
2012/06/30

PELAJAR disyaki cuba membunuh diri dengan meminum racun menerima rawatan di hospital, semalam.
Dua pelajar belum sedar, seorang stabil

SEPANG: Tiga pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai, Sepang Putra di Sungai Pelek, dekat sini dimasukkan ke hospital selepas disyaki minum racun.
Semua mangsa yang belajar di Tingkatan Empat, dikatakan bertindak demikian selepas mengetahui pihak sekolah mahu mengambil tindakan disiplin terhadap mereka.
Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman, berkata ketiga-tiga mangsa berusia 16 tahun dan dipercayai cuba membunuh diri selepas pihak sekolah dikatakan mahu mengambil tindakan itu.

Beliau berkata, polis dimaklumkan pihak hospital kira-kira jam 2 petang apabila ketiga-tiga mangsa dibawa untuk rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Negeri Sembilan.

“Tiga pelajar itu didakwa minum racun kerana takut dikenakan tindakan disiplin. Mereka ditemui tidak sedarkan diri dalam kawasan sekolah sebelum dihantar ke hospital. Setakat ini, kita belum tahu jenis racun diminum dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mad Yunus, ketika dihubungi, berkata pihaknya belum mendapat maklumat mengenai kejadian itu, tetapi akan menyiasatnya secepat mungkin.
Di SEREMBAN, dua daripada tiga pelajar terbabit masih belum sedarkan diri dengan seorang daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Pelajar yang stabil bagaimanapun menafikan dakwaan dia minum racun rumpai.

Ketika ditemui wartawan, pelajar itu mendakwa tidak tahu mengapa guru mengarahkannya mengikut dua lagi rakannya yang ketika itu tidak sedarkan diri ke hospital.

“Saya akui dua lagi rakan mempunyai masalah disiplin di sekolah. Mungkin mereka tidak dapat menerima hakikat dibuang sekolah hingga mengambil tindakan sedemikian,” katanya yang kesal dengan perbuatan dua rakan karibnya itu.