Sumbang mahram: Abang dipenjara 15 tahun, 3 sebatan – Bernama


Sumbang mahram: Abang dipenjara 15 tahun, 3 sebatan

28 Mac 2013

PETALING JAYA – Seorang abang dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan sumbang mahram terhadap adik kandung perempuannya yang berusia 15 tahun ketika itu, tujuh tahun lepas.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki yang berusia 24 tahun itu, setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan sumbang mahram dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 19 Mac lepas.

Lelaki tersebut yang bekerja di sebuah pasar raya, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di sini, antara Oktober 2006 hingga November tahun sama, dan didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, pada waktu kejadian, mangsa telah dirogol oleh tertuduh dan hasil hubungan sumbang mahram tersebut, adiknya telah mengandung dan melahirkan seorang bayi lelaki.

Hasil pemeriksaan oleh Jabatan Kimia mendapati tertuduh adalah bapa kandung kepada bayi yang dilahirkan mangsa.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia menanggung keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh sebagai abang sepatutnya bertanggungjawab melindungi dan menjaga darah dagingnya sendiri tetapi telah mengambil kesempatan.

Zhafran berkata ini bukan kesalahan pertama tertuduh kerana sebelum ini pernah melakukan kesalahan sama pada mangsa sehingga melahirkan anak tetapi telah meninggal dunia dan ini menunjukkan tertuduh tidak insaf. – Bernama

Pekerja Bangladesh perkosa remaja dijel 10 tahun, 3 sebatan – Metro


Pekerja Bangladesh perkosa remaja dijel 10 tahun, 3 sebatan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah merogol remaja tempatan berusia 16 tahun, di stor sebuah kedai borong di Batang Kali, dekat sini, dua tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman itu terhadap Jasim Kuddus, 26 selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Slamat dalam penghakimannya berkata, mahkamah tidak dapat menerima keterangan tertuduh bahawa dia tidak melakukan perbuatan rogol itu.

 

Katanya, pihak pembelaan juga tidak dapat mengemukakan alibi untuk menyokong penafiannya.
Sepanjang perbicaraan, sembilan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan tampil memberi keterangan.
Jasim didakwa merogol mangsa yang juga pembantu kedai di Bandar Utama, Batang Kali, Hulu Selangor kira-kira 1.30 tengah hari, pada 19 November 2010.

 

 

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Gurmit Singh Hullon yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan anak guamnya ditahan reman sejak ditangkap pada 25 November 2010.

 

Beliau berkata, tertuduh sedar, insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.
Katanya, anak guamnya memohon peluang untuk menerima hukuman ringan supaya dapat menjalani hidup baru bersama keluarga di negara asalnya.
“Tertuduh juga sudah memohon maaf terhadap mangsa dan keluarganya atas perbuatannya,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim bagaimanapun memohon hukuman berat dengan mengambil kira kekerasan dialami mangsa pada masa kejadian.
Selain itu katanya, ia bagi melindungi kepentingan awam terutama dengan peningkatan kes rogol yang kerap dilaporkan menerusi media.
“Sebagai warga Bangladesh, tertuduh datang ke negara ini untuk mencari rezeki, sebaliknya mencabuli undang-undang dengan merogol mangsa,” katanya.