3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah – Sinar Harian


3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Januari 2013
3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah
Kawasan rendah di sepanjang Sungai Golok masih digenangi air.

RANTAU PANJANG – Seramai 3,918 pelajar di lapan sekolah di Kelantan tidak dapat meneruskan persekolahan, apabila lapan sekolah masih ditutup setelah dinaiki air serta jalan ke sekolah terputus hubungan.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, empat sekolah terlibat di Tumpat sementara empat lagi di Pasir Mas.

Menurutnya, sekolah di daerah Pasir Mas yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah, Bonggor, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Al-Falah Siram, Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang.

“Di Tumpat pula SK Simpangan, SK Bendag Pak Yong, SK Teluk Jering dan SABK Nurul Huda.

“Sekolah lain beroperasi seperti biasa dan pihak kami sedang memantau keadaan untuk melihat sekolah yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, petang semalam.

Kelmarin, SK Sri Rantau Panjang 1 dan  SK Sri Rantau Panjang 2 yang turut dinaiki air telah dibuka semula hari ini.

Sementara itu, jalan di Kubang Rambutan yang dinaiki air serta tidak dapat dilalui kenderaan ringan sudah boleh dilalui semua kenderaan.

Paras Air Sungai Golok sehingga jam 5 petang 9.52 meter dan masih melebihi paras bahaya 9 meter.

3,996 lulus 10 subjek STAM – Berita Harian


3,996 lulus 10 subjek STAM
Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2012/01/27

MOHAMMAD Azrul  (kiri) meraih keputusan 10A+ (Mumtaz Sofi) dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 bersama rakannya, Muhammad Irfansyah Mahdi Farid  berkongsi kejayaan  ketika ditemui di Maahad Johor, semalam. Untuk berita lanjut, dapatkan akhbar Berita Harian hari ini. - Foto Dazar Suarman

MOHAMMAD Azrul (kiri) meraih keputusan 10A+ (Mumtaz Sofi) dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 bersama rakannya, Muhammad Irfansyah Mahdi Farid berkongsi kejayaan ketika ditemui di Maahad Johor, semalam. Untuk berita lanjut, dapatkan akhbar Berita Harian hari ini. – Foto Dazar Suarman

Kelulusan 60.7 peratus melayakkan calon lanjut pelajaran di universiti

PUTRAJAYA: Seramai 3,996 atau 60.7 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 memperoleh sijil dengan sekurang-kurangnya pangkat Maqbul (Lulus) dalam semua 10 mata pelajaran yang diambil pada peperiksaan itu, tahun lalu.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Na’imah Ishak, berkata daripada jumlah itu, 326 calon mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang), 529 pula Jayyid Jiddan (Sangat Baik), 1,602 Jayyid (Baik) dan selebihnya, Maqbul.

Lembaga akan cari mekanisme terbaik untuk menambah baik penguasaan bahasa Arab calon. – Dr Na’imah Ishak, Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia

“Seramai 6,584 calon menduduki peperiksaan itu pada tahun lalu di 108 pusat peperiksaan berbanding 6,537 orang pada tahun sebelumnya, ” katanya ketika mengumumkan keputusan STAM 2011, di Kementerian Pelajaran, di sini, semalam.
Na’imah berkata, Gred Purata Nasional (GPN) bagi STAM 2011 turut menunjukkan peningkatan 0.04 peratus berbanding 3.23 pada 2010.

Peperiksaan STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000 melayakkan pelajar yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Mengenai prestasi mata pelajaran, Na’imah berkata, enam mata pelajaran iaitu Fiqh, Balaghah, Hadith dan Mustolah, Insya’ dan Mutala’ah, Tafsir dan Ulumuhu serta ‘Arudh dan Qafiyah mencatatkan peningkatan calon lulus (Mumtaz hingga Maqbul) lebih tinggi berbanding 2010.
Selain itu, katanya, empat mata pelajaran lagi mencatatkan penurunan peratusan kelulusan calon iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus serta Tauhid dan Mantiq.

Sehubungan itu, katanya, satu kajian terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan peratusan calon lulus pada semua mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.

“Antara yang boleh dikaji mungkin aspek pengajaran dan pembelajaran, lokasi atau faktor calon sendiri yang menjadi punca penurunan empat subjek itu dan peningkatan jumlah calon yang mencatat semua Rasib (gagal).

“Lembaga akan cari mekanisme terbaik untuk menangani perkara ini, termasuk menambah baik penguasaan bahasa Arab dalam kalangan calon.

“Calon yang kurang berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian mata pelajaran yang kurang memuaskan dalam tempoh tiga tahun sebelum melanjutkan pengajian mereka ke universiti,” katanya.

3,996 calon STAM 2011 lulus – Bernama


3,996 calon STAM 2011 lulus

2012/01/26

PUTRAJAYA: Seramai 3,996 atau 60.7 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 berjaya memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (Lulus) dalam kesemua 10 mata pelajaran.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Na’imah Ishak, berkata daripada jumlah itu, 326 calon memperoleh pangkat Mumtaz (Cemerlang), 529 mendapat Jayyid Jiddan (Sangat Baik), 1,602 Jayyid (Baik) dan selebihnya Maqbul.

Seramai 6,584 calon menduduki peperiksaan itu pada tahun lepas di 108 pusat peperiksaan berbanding 6,537 orang pada tahun sebelumnya, katanya semasa mengumumkan keputusan STAM 2011 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Daripada segi nilai Gred Purata Nasional, Na’imah berkata pencapaian keseluruhan calon menunjukkan peningkatan daripada 3.23 pada 2010 kepada 3.19 pada 2011.

STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000, melayakkan pelajar yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Mengenai prestasi mata pelajaran, Na’imah berkata enam mata pelajaran iaitu Fiqh, Balaghah, Hadith dan Mustolah, Insya’ dan Mutala’ah, Tafsir dan Ulumuhu serta ‘Arudh dan Qafiyah mencatatkan peratusan peningkatan calon lulus (Mumtaz hingga Maqbul) berbanding tahun 2010.

Empat mata pelajaran lagi mencatatkan penurunan peratusan kelulusan calon iaitu Hifz Al-Quran dan Tajwid, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus serta Tauhid dan Mantiq, katanya.
Beliau berkata satu kajian terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan peratusan calon yang lulus pada semua mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.

“Antara yang boleh dikaji mungkin aspek pengajaran dan pembelajaran serta teknik yang sesuai untuk pelajar. Kita akan cari mekanisme terbaik,” katanya.

Na’imah berkata calon-calon yang tidak berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian mana-mana mata pelajaran yang kurang memuaskan dalam tempoh tiga tahun. – BERNAMA

3,000 penjawat awam diisytihar bankrap tahun lalu – Bernama


3,000 penjawat awam diisytihar bankrap tahun lalu

2011/05/04

KOTA KINABALU: Kira-kira 3,000 penjawat awam diisytiharkan bankrap pada tahun lalu, meningkat dari 2009 yang mencatat jumlah 1,086 orang, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman hari ini.
Beliau berkata paling ramai dari kumpulan ini datang dari kategori Gred 1 hingga Gred 40, dimana hampir 80 peratus terlibat adalah lelaki.
“Kebanyakannya sebab mereka buat pinjaman kenderaan…Mungkin gaji dah kecil dan sudahpun buat banyak pinjaman, tetapi pinjam lagi untuk beli kenderaan lepas tu tak boleh bayar, timbul masalah dan berhutang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena Hari Pekerja anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

erdahulu Omar dalam ucapannya berkata, walaupun pihaknya terus berusaha membuat tuntutan baru untuk memastikan kebajikan dan keselesaan penjawat awam terjaga, tabiat sesetengah warga penjawat awam yang berbelanja melebihi kemampuan juga perlu ditegur. Jelasnya, jika keadaan sebegini berlarutan, penjawat awam tersebut tidak akan berpuas hati dengan apa-apa pun penambahan atau kenaikan kerana ini sentiasa tidak akan cukup bagi mereka. Namun beliau turut menegaskan bahawa kenaikan harga barangan pada masa ini semakin membebankan penjawat awam, sebab itu Cuepacs memohon kerajaan untuk melakukan pelarasan gaji pada tahun ini, termasuk penambahbaikan faedah-faedah lain.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak juga mengalami perkara yang sama, dimana harga barang dan kos hidup di sini turut meningkat seperti di Semenanjung. – BERNAMA