30,335 guru lepasan diploma dilantik ke PPPS – Ka Siong – Bernama


30,335 guru lepasan diploma dilantik ke PPPS – Ka Siong

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Seramai 30,335 guru dalam skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) telah dilantik ke skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dari 2005 hingga 11 Sept lepas.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penambahbaikan gaji dan memendekkan tempoh kenaikan pangkat untuk guru telah menggalakkan PPPLD melanjutkan pelajaran mereka ke universiti supaya mendapat kelayakan ijazah bagi kenaikan pangkat ke PPPS.

“Memang cara ini fleksibel untuk (bergerak) dari PPPLD ke PPPS. Pengalaman mengajar sebagai PPPLD tidak dihapuskan, dengan cara ini kita menggalakkan kenaikan pangkat ke PPPS,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) mengenai perkembangan pelantikan guru bukan siswazah kepada bersiswazah pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Wee menjelaskan kelayakan bagi PPPLD gred DG32 Khas Untuk Penyandang (KUP) telah dipertimbangkan dan diluluskan kenaikannya oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP).

“Jika guru PPPLD bergred DG32 telah dilantik ke PPPS bergred DG41 pada tarikh lebih awal daripada layak dinaikkan secara time-based gred DGA32 KUP, maka guru itu tidak layak untuk dipertimbangkan kenaikan pangkatnya.

“Sebaliknya jika tarikh pelantikan sebagai PPPS DG41 adalah lewat daripada tarikh layak untuk kenaikan secara time-based gred DGA32 KUP, guru itu layak untuk dipertimbangkan oleh LKPP untuk kenaikan ke DGA32 secara time-based,” katanya. – BERNAMA