4 beradik keciciran pelajaran – Sinar Harian


4 beradik keciciran pelajaran

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Februari 2012
4 beradik xsekolah

BUKIT BERUNTUNG – Akibat kesempitan hidup, empat daripada tujuh beradik yang tinggal di Apartmen Anggerik, Taman Bunga Raya (TBR) di sini, terpaksa melupakan hasrat untuk bersekolah.

Bapa kepada empat beradik itu, Mohd Ridzuan Mohd Suhaimi, 42, berkata, anaknya, Abdul Aziz, 12, Siti Hajar, 10, Abdullah, 8, dan Siti Hawa, 7, tidak dapat meneruskan persekolahan kerana kekangan kewangan.

“Keempat-empat anak saya ini pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung, tetapi terpaksa berhenti kerana saya tidak mampu menampung kos persekolahan mereka memandangkan jarak sekolah yang jauh dari rumah.

“Saya berusaha memindahkan mereka ke sekolah lebih dekat di taman ini tetapi masalah kewangan menyebabkan proses pemindahan itu tertangguh hingga sekarang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Blok C, Apartmen Anggerik di sini semalam.

Mohd Ridzuan berkata, anak sulungnya, Abdul Rahman, 14, kini belajar di Sekolah Kebangsaan TBR dan terpaksa berjalan kaki kira-kira tiga kilometer setiap hari.

Katanya, anak keenamnya, Abdul Latif, 5, tidak dapat memasuki prasekolah kerana masalah sama dan anak bongsunya, Muhamad Hakim, tujuh bulan dalam jagaannya bersama isteri, Zainatul Asiah Mohamed Isa, 39, masih tidak mempunyai sijil kelahiran.

Mohd Ridzuan berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai penyelenggara audio dan juru hebah karaoke di sebuah restoran tetapi terpaksa berhenti kerana restoran tersebut sudah tidak beroperasi.

Menurutnya, usaha mendapatkan pekerjaan baru tidak berhasil namun tetapi bersyukur kerana ada sebuah restoran di Serendah yang mahu menawarkannya kerja.

“Gaji sebagai juruhebah karaoke sebelum ini antara RM30 hingga RM40 satu malam dan pendapatan itulah saya gunakan menampung keperluan hidup sekeluarga.

“Sewa rumah bulan ini juga masih belum dijelaskan bulan ini,” katanya.

Mohd Ridzuan berkata, dia pernah bekerja di sebuah syarikat swasta tetapi diberhentikan atas alasan kesihatan yang dikaitkan dengan masalah kemurungan, namun dia menolak dakwaan menghidap penyakit itu.

Nasib keluarga Mohd Ridzuan Mohd Suhaimi, 42, mendapat perhatian wakil rakyat yang berjanji membela kehidupan mereka.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan berkata, beliau akan berusaha membantu keluarga terbabit terutama memastikan empat anak mereka yang tidak bersekolah dapat meneruskan semula persekolahan.

“Saya akan menanggung keseluruhan kos yang diperlukan dalam proses pendaftaran sekolah empat beradik itu.

“Semakan permohonan bantuan untuk keluarga ini juga akan saya lakukan dan memastikan Mohd Ridzuan dapat bekerja semula,” katanya ketika mengunjungi keluarga terbabit di sini semalam.

Kunjungan itu turut disertai Adun Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim, Ketua Umno Cawangan Apartmen Anggerik, Samsul Ismail dan Ketua Wanita Umno Cawangan Apartment Anggerik, Miskiah Badawi.

Kamalanathan berkata, beliau akan menguruskan proses pendaftaran anak bongsu Mohd Ridzuan selain memastikan dia memperolehi pekerjaan supaya mempunyai sumber pendapatan tetap untuk menampung keluarga.