SERDANG: Bermodalkan tiga pistol automatik palsu, empat pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Shah Alam nekad melakukan rompakan terhadap sebuah kafe Internet di Seri Kembangan, di sini.
Rancangan semua suspek berusia awal 20-an itu bagaimanapun gagal apabila dua daripada mereka ditahan sebaik keluar dari kafe terbabit. Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi Rabu lalu apabila suspek bersenjatakan pistol tiruan, parang panjang dan buku lima menyerbu masuk kafe itu.
Difahamkan, tiga daripada mereka ditugaskan melakukan rompakan manakala seorang lagi yang bertindak sebagai pemandu kereta dan menunggu di luar premis. Katanya, suspek masuk ke dalam premis dengan memakai topi keledar untuk mengelak identiti mereka dikesan sebelum mengacukan parang dan pistol palsu ke arah penjaga kafe berusia 23 tahun dan beberapa pelanggan.
“Penjaga itu yang cuba melawan dihentak dengan belakang pistol pada kepalanya hingga cedera.
“Mereka kemudian mengugut pelanggan supaya menyerahkan barangan berharga jika tidak mahu dicederakan,” katanya.
Menurutnya, polis yang mendapat maklumat kejadian mengepung kafe itu sebelum mencekup dua daripada mereka sebaik keluar.
Katanya, ketika kejadian berlaku sedikit pergelutan antara polis dan suspek sebelum seorang daripada mereka lari ke kereta yang sedia menanti sebelum meloloskan diri.
“Polis yang menahan dua suspek itu kemudian melakukan pemeriksaan sebelum menemui dua pistol berwarna perak dan parang yang digunakan untuk menyamun,” katanya.