4,500 murid SRA khatam serentak – Sinar Harian


4,500 murid SRA khatam serentak

NORDIANA JOHARI
28 Julai 2013
4,500 murid SRA khatam serentak
Seramai 4,500 murid tahun enam melibatkan 164 Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka terlibat dalam Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Al-Azim, semalam.
4,500 murid SRA khatam serentak
Mohd Khalil menyampaikan cenderamata kepada murid cemerlang Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka, semalam.

BANDARAYA MELAKA – Seramai 4,500 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) seluruh negeri melakar kejayaan apabila khatam Al-Quran secara serentak di Masjid Al-Azim, semalam.

Majlis melibatkan murid tahun enam dari 164 SRA Jaim itu disempurnakan Yang Dipertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Idris Haron; Speaker Dun, Datuk Othman Muhammad dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Datuk Yaakub Md Amin.

Idris berkata, beliau melahirkan rasa syukur terhadap penganjuran program yang dilihat mampu melahirkan lebih ramai generasi celik al-Quran dan mengamalkannya sebagai panduan kehidupan.

“Jika semua umat Islam dapat mengamalkan inti pati kitab ini, saya yakin kita akan bertemu dengan kehidupan lebih sempurna,” katanya sempena Majlis Khatam Al-Quran Perdana Pelajar SRA Jaim peringkat negeri, semalam.

Menurutnya, menjadi kewajipan ibu bapa mengajar al-Quran kepada anak-anak sejak kecil bagi melahirkan modal insan berkualiti pada masa depan.

Bagaimanapun, Idris menyifatkan segelintir pihak sebagai bankrap idea dan kaedah selepas menimbulkan kekacauan di negara ini seharusnya tidak perlu ada lagi dalam masyarakat Islam hari ini.

Sebaliknya, tanpa mengira fahaman politik, umat Islam harus bersatu membina kehidupan lebih baik dan sempurna.

“Datang dengan pelbagai wajah dalam bentuk demonstrasi jalanan, protes dan ugutan, saya kira kaedah ini tidak perlu lagi ada dalam masyarakat,” katanya.

4,300 murid dari tiga sekolah terima bantuan RM100 – Utusan


4,300 murid dari tiga sekolah terima bantuan RM100

SEBAHAGIAN daripada murid SK Taman Sungai Besi Indah, SK Taman Universiti Indah dan SJKC Kum Man, Serdang melaungkan slogan Satu Malaysia sambil memegang duit RM100 pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan RM100 di SK Taman Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Sebanyak 4,300 murid daripada tiga sekolah rendah di sini, berkongsi kegembiraan bersama ibu bapa masing-masing berikutan menerima sumbangan RM100 setiap seorang menerusi program Bantuan Awal Persekolahan Sesi 2013 hari ini.

Bantuan itu merupakan kali kedua dijalankan di bawah Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan membantu perbelanjaan persekolahan pada awal tahun.

Bermula semalam, bantuan itu diagihkan dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM540 juta untuk disalurkan kepada semua pelajar sekolah di seluruh negara.

Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat 1Malaysia Seri Kembangan, Datuk Liew Yuen Keong berkata, bantuan itu diberikan kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah tanpa mengira latar belakang kaum.

“Kerajaan Pusat tidak putus-putus berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang keluarga.

“Bantuan ini diharap dapat mencapai objektif kerajaan meringankan beban ibu bapa yang perlu menampung perbelanjaan anak-anak untuk sesi persekolahan tahun ini,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan RM100 Tahun 2013 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sungai Besi Indah di sini.

Selain sekolah itu, turut menerima bantuan dalam majlis tersebut ialah pelajar SK Taman Universiti dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Min.

Sementara itu, suri rumah, Norazila Mohamad, 42, berkata, bantuan persekolahan tersebut dapat membantu meringankan beban kewangan keluarganya terutama dalam menyediakan kelengkapan persekolahan.

“Ini merupakan rezeki kepada ibu bapa dan anak-anak terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Nor Hafizah, 38, pula berkata, dia akan menggunakan bantuan itu untuk keperluan persekolahan anak-anaknya.

“Walaupun jumlahnya tidak banyak, namun sumbangan ini amat besar kepada para pelajar dan ibu bapa,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130117/dn_07/4300-murid-dari-tiga-sekolah-terima-bantuan-RM100#ixzz2IBdTH0F1
© Utusan Melayu (M) Bhd

4,000 guru Kemas bakal terima gaji taraf diploma – Bernama


4,000 guru Kemas bakal terima gaji taraf diploma

POKOK SENA 9 Okt. – Kira-kira 4,000 guru tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan menerima faedah termasuk gaji setaraf lulusan diploma mulai tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada Kemas dalam Belanjawan 2013 untuk tujuan tersebut.

“Kenaikan ini memberi kebaikan kepada kanak-kanak yang dihantar mendapat bimbingan di Tabika Kemas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tabika Kemas Taman Bandar Baru Pokok Sena, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata sebanyak RM15 juta lagi akan diguna bagi melaksanakan projek pembangunan dan menyediakan prasarana lebih baik untuk Tabika Kemas.

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata perkara yang perlu dihayati dan difahami dalam pendidikan berkualiti bermula dengan penyediaan ramuan awal kanak-kanak.

“Satu ramuan yang dititikberatkan Kemas dalam pendidikannya ialah peranan institusi kekeluargaan bagi membentuk modal insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi untuk kejayaan masa depan.

“Bagaimanapun kejayaan ini hanya boleh dicapai dengan sokongan dan kerjasama ibu bapa, masyarakat dan juga pihak swasta selaras dengan halatuju negara berlandaskan perancangan Strategi Lautan Biru,” katanya.

Beliau berkata kejayaan Tabika Kemas diukur melalui tahap kemampuan anak didiknya menguasai kemahiran asas iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul dan dianggap gagal jika tidak dapat menguasai kemahiran asas tersebut. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121009/dn_29/4000-guru-Kemas-bakal-terima-gaji-taraf-diploma#ixzz28o4X4cxN
© Utusan Melayu (M) Bhd

4,374 sekolah terima peruntukan RM987.1 juta – Bernama


4,374 sekolah terima peruntukan RM987.1 juta

KUALA LUMPUR 18 Mei – Sebanyak 4,374 buah sekolah di seluruh negara akan menerima peruntukan RM987.1 juta secara berperingkat bermula bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daripada jumlah itu, RM900 juta merupakan Tabung Khas bagi pembinaan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah.

Beliau berkata daripada peruntukan tabung khas, RM500 juta akan diberi kepada sekolah kerajaan iaitu Sekolah Kebangsaan/Sekolah Menengah Kebangsaan dan masing-masing RM100 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) untuk dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata RM87.1 juta lagi adalah bagi Projek Insentif Luar Bandar untuk pembinaan dan menaik taraf surau sekolah di seluruh negara yang akan dibelanjakan pada tahun ini juga.

“Peruntukan ini melibatkan proses mengganti surau lama yang berjumlah 24 buah dan bagi projek menaik taraf 565 buah surau. Ia diharap dapat membantu pihak sekolah menyediakan ruang lebih selesa bagi menjalankan pelbagai program keagamaan selain aktiviti akademik untuk pelajar,” katanya ketika merasmikan majlis penyerahan bantuan khas di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) kepada sekolah-sekolah di seluruh negara di sini hari ini.

Muhyiddin berkata keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan peruntukan besar itu untuk Kementerian Pelajaran pada Bajet 2012 membuktikan bahawa kepimpinan negara sentiasa prihatin terhadap soal pendidikan.

Beliau berkata adalah penting untuk memiliki infrastruktur dan kemudahan-kemudahan yang lengkap dan baik serta berkualiti agar proses pembelajaran dapat dijalankan dengan selesa.

“Untuk itu, dua tahun yang lepas saya telah mengambil inisiatif membuat auditan fizikal di sekolah seluruh negara, ia telahpun siap. Daripada lebih 10,000 buah sekolah (yang diaudit), sebanyak 600 buah sekolah dilaporkan berada dalam keadaan yang cukup parah.

“Disebabkan itu projek-projek penambahbaikan khususnya di Sabah dan Sarawak kita perlu tentukan mereka dapat sejumlah peruntukan yang mencukupi”.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata daripada jumlah bajet yang diperuntukkan untuk kementerian, ia tidak dapat menampung kesemua sekolah-sekolah itu dan usaha mengadakan peruntukan dilakukan pada tahun-tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian untuk memperuntukkan sebahagian daripada peruntukan yang diterima khusus untuk penyelenggaraan agar bangunan-bangunan sekolah kekal dalam keadaan yang baik, sempurna dan selamat untuk proses pembelajaran.

“Jumlahnya (peruntukan untuk penyelenggaraan) saya belum tahu tetapi boleh dikatakan agak besar. Dengan menambah kualiti infrastruktur di sekolah maka mutu pendidikan juga akan dapat ditingkatkan,” katanya. – BERNAMA

4,138 calon STAM peroleh sijil pangkat Maqbul – Utusan Malaysia


4,138 calon STAM peroleh sijil pangkat Maqbul

31/01/2011 12:43pm

 

PUTRAJAYA, 31 Jan — Seramai 4,138 atau 63.3 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lepas memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (lulus).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata daripada jumlah itu, 413 calon memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) dengan 50 daripadanya mendapat gred cemerlang dalam kesemua 10 mata pelajaran, 804 mendapat Jayyid Jiddan (sangat baik) dan 1,961 Jayyid (baik) dan selebihnya Maqbul.

Meskipun terdapat penurunan jumlah calon yang memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang), terdapat peningkatan jumlah calon yang mendapat pangkat Jayyid Jiddan iaitu pertambahan sebanyak 196 orang, Jayyid (554 orang) dan Maqbul(259) berbanding 2009, katanya ketika mengumumkan analisis keputusan STAM 2010 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Abdul Ghafar berkata kesemua calon yang memperoleh sijil layak memohon untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan atau ke Universiti Al-Azhar di Mesir. — Bernama