45,054 calon dapat 5A UPSR 2012 – Bernama


45,054 calon dapat 5A UPSR 2012

2012/11/19 – 10:18:19 AMCetakEmel Kawan
PENGARAH Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran, Dr Na'imah Ishak menunjukkan Laporan Pengumuman Keputusan Peperiksaan Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 di Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi IsmailPENGARAH Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran, Dr Na’imah Ishak menunjukkan Laporan Pengumuman Keputusan Peperiksaan Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 di Putrajaya, hari ini. – Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Seramai 45,054 calon UPSR (8.94 peratus) berjaya memperoleh 5A, penurunan sebanyak 0.54 peratus berbanding tahun lalu.

Jumlah itu merangkumi 27,681 (10.61 peratus) calon bandar dan 17,329 (7.51 peratus) calon luar bandar.

Perkara itu diumumkan Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran, Dr Na’imah Ishak di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, pencapaian keseluruhan calon UPSR juga menurun sebanyak 0.01 mata Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 2.30 pada 2011 kepada 2.31 pada tahun ini.

45,000 pelajar SRA dan KAFA JAWI nikmati pendidikan percuma – Bernama


45,000 pelajar SRA dan KAFA JAWI nikmati pendidikan percuma

2012/04/23

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membiayai yuran bulanan 45,000 pelajar Sekolah Rendah Agama(SRA) serta Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi tahun ini, dengan peruntukan RM5.3 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata inisiatif itu seiring dengan tindakan kerajaan yang menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), baucar buku dan bantuan persekolahan.

“Di MAIWP kita melihat usaha yang dilakukan pihak kerajaan ini wajar diguna pakai dan kami merasa dengan memansuhkan yuran bulanan persekolah SRA dan KAFA sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa.

“Inisiatif ini juga dilihat sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan agama di SRA dan KAFA. Bagi ibu bapa yang membayar yuran bulan, mereka akan mendapat pulangan bayaran tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Jawi 2012, di sini hari ini.

Yuran bulanan pembelajaran di SRA dan KAFA, JAWI berjumlah RM10 sebulan.

Jamil Khir berkata, bagi memastikan kualiti agensi agama di negara ini menjelang tahun 2020 di peringkat terbaik, sebanyak enam sekolah agama akan dibina di sekitar Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“InsyaAllah enam buah sekolah agama baru akan didirikan di sekitar Segambut berdekatan Projek Perumahan Rakyat Kampung Batu Muda, Setapak dan sekitar Putrajaya dan buat masa sekarang ia dalam proses untuk ditenderkan.
“Seperti di Segambut, jika kita lihat kawasan perumahan dah banyak tetapi institusi pendidikan rendah agama tiada dan kebanyakan ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah agama yang lebih jauh dan sampaikan ada ibu bapa terpaksa memberhentikan anak-anak dari terus bersekolah disebabkan faktor jarak sekolah yang terlalu jauh,” katanya.

Kesemua enam sekolah itu dijangka siap menjelang 2014 dengan anggaran kos pembinaan RM39 juta dan dapat menampung hampir 5,000 pelajar.

Mengenai penubuhan panel khas bagi memantau calon pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang bebas dari unsur ilmu hitam dan syirik, beliau berkata, ia merupakan satu cadangan yang bagus tetapi sehingga kini pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi.

“Ia tidak membabitkan parti Barisan Nasional (BN) sahaja dan pihak pembangkang juga wajar mengambil pendekatan yang serupa…jika Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ada maklumat berhubung calon yang terbabit dengan kes ini kami akan melaporkannya.

“Ini adalah satu pandangan yang baik dalam memastikan perjalanan PRU-13 akan datang lebih adil dan berjalan lancar,” katanya.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO, Fathul Bari Mat Jahaya, menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya, parti politik, JAKIM dan majlis agama Islam negeri (MAIN) untuk menubuhkan satu panel khas bagi memastikan tiada calon yang bertanding dalam PRU-13 akan datang terbabit dengan ilmu hitam dan unsur syirik. – BERNAMA

45,000 budak hidap Disleksia – Berita Harian


45,000 budak hidap Disleksia

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

2012/03/24

JOHOR BAHRU: Kira-kira 50 peratus daripada lebih 90,000 kanak-kanak negara ini yang menghidapi masalah pembelajaran sejak usia lima hingga enam tahun berpunca daripada masalah Disleksia.

Perangkaan diterima Persatuan Disleksia Malaysia daripada Kementerian Pelajaran mendapati nisbah menunjukkan lima daripada 100 orang kanak-kanak berpotensi mengalami keadaan itu dan ia amat membimbangkan

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata pihaknya kini dalam usaha merancang bersama kementerian bagi mewujudkan satu program khusus untuk kanak-kanak yang menghidap Disleksia supaya ditempatkan dalam kelas khas dan diajar guru khas.

Katanya, kebanyakan sekolah tidak dapat mengesan penghidap Disleksia selagi kanak-kanak itu belum menjalani pemeriksaan, justeru mereka cenderung meletakkan mereka dalam kelas pendidikan khas dengan alasan mengalami kesukaran dalam pembelajaran.

“Program dalam pendidikan khas kurang sesuai untuk penghidap Disleksia, sebaliknya mereka memerlukan program dan kaedah pembelajaran khusus bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika merasmikan Pusat Persatuan Dyslexia Malaysia kesembilan di Taman Melodies, dekat sini, semalam.

Difahamkan, ada sesetengah sekolah memberi kad Orang Kurang Upaya (OKU) kepada pelajar Disleksia, sedangkan mereka bukan mengalami penyakit yang kronik, tetapi hanya keadaan mereka yang sukar mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bertutur.

45,000 murid cemerlang UPSR gagal ke asrama penuh – Harian Metro


45,000 murid cemerlang UPSR gagal ke asrama penuh

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh negara menjadikan sekolah berhampiran kawasan masing-masing sebagai anak angkat bagi menyelesaikan masalah murid cemerlang yang tidak mendapat tempat di sekolah berasrama penuh.

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, ketika ini terdapat kira-kira 45,000 murid cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), namun malangnya mereka tidak dapat memasuki sekolah berasrama penuh berikutan tempat terhad.
Beliau berkata, keadaan itu sudah pasti tidak adil kepada pelajar berkenaan yang tidak dapat memasuki asrama penuh sedangkan rakan mereka yang sama cemerlang diterima ke sekolah berasrama.

Katanya, sebagai alternatif, PPD boleh mengambil langkah dengan menjadikan sekolah sedia ada di daerah mereka sebagai sekolah angkat dan menyediakan kualiti pendidikan setaraf asrama penuh kepada pelajar cemerlang UPSR, tanpa pelajar terbabit perlu tinggal di asrama, sebaliknya duduk bersama keluarga masing-masing.
“Cadangan terbaik bagi memberi tempat kepada semua pelajar cemerlang ini adalah setiap PPD di seluruh negara perlu mengambil pendekatan mengambil sekolah sedia ada sebagai sekolah angkat dan menjadikan kualiti pendidikannya sama seperti asrama penuh,” katanya.
Hashim berkata, sekiranya di sesuatu daerah terdapat jumlah pelajar cemerlang yang ramai, pihak kementerian boleh menyediakan blok khas menempatkan kumpulan pelajar berkenaan di sekolah yang dipilih manakala bagi jumlah yang kecil, hanya kelas di blok sedia ada boleh disediakan.

Beliau berkata, langkah yang diambil itu bukan saja memberi peluang kepada semua pelajar cemerlang menerima kualiti pendidikan berasrama penuh, malah ia dapat menjimatkan kos kementerian kerana tidak perlu menyediakan bajet bagi membangunkan sekolah baru atau memproses semula pengambilan guru.
“Ia juga boleh diwujudkan dalam tempoh singkat kerana bangunan baru tidak perlu dibina sebaliknya hanya menggunakan prasarana sedia ada termasuk guru yang sama di sekolah angkat berkenaan.

“Secara tidak langsung, penempatan pelajar cemerlang di sekolah biasa terbabit akan mewujudkan persaingan sihat serta menjadi model kepada pelajar lain untuk turut sama berjaya,” katanya.
Keputusan UPSR pada November 2010 adalah yang terbaik dalam sejarah peperiksaan kerana pertama kali melebihi 10 peratus apabila 48,327 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.
Daripada jumlah itu, calon memperoleh keputusan cemerlang semua A meningkat kepada 10.02 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.
Seramai 482,334 calon menduduki peperiksaan UPSR tahun ini di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara dari 21 September hingga 23 September tahun lalu.
Sebelum ini, Kementerian Pelajaran tidak bercadang menambah tempat di 54 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) walaupun 48,400 calon UPSR mendapat keputusan 5A, sebaliknya Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata, jumlah 6,000 tempat di SBP kekal dan pihaknya mahu ibu bapa dan murid menukar tanggapan pencapaian cemerlang dalam UPSR adalah tiket ke SBP.