481,424 calon duduki PMR seluruh negara – Bernama


481,424 calon duduki PMR seluruh negara

9 Oktober 2012
PMR 2012
Pengawas memeriksa slip calon Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda, Johor Bharu. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Seramai 23,733 pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah antara 481,424 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di seluruh negara bermula hari ini hingga 16 Okt.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus berkata sebanyak 209 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negeri itu dengan 1,797 orang petugas mengendalikan perjalanan peperiksaan.

“Daripada jumlah itu, sebuah adalah pusat peperiksaan persedirian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam,  Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyatakan seramai 448,436 calon  dari sekolah bantuan penuh kerajaan dan 5,846 calon sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengambil peperiksaan itu.

Selain itu, seramai 10,051 calon adalah dari sekolah agama tadbiran negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian perseorangan dan 2,212 calon dari Sekolah Agama Rakyat.

Sebanyak 3,560 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negara dengan 33,898 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

Di ALOR SETAR, seramai 39,405 calon mengambil peperiksaan PMR di 296 pusat peperiksaan di seluruh Kedah, seorang daripadanya menduduki peperiksaan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Pengarah Pelajaran Kedah Mansor Lat berkata daripada jumlah itu, seramai 35,426 calon adalah dari sekolah kerajaan manakala selebihnya calon dari sekolah swasta, Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Agama Rakyat, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Integriti dan Pusat Pemulihan Akhlak.

Seramai 44 orang penyelia kawasan, 296 ketua pengawas dan 2,140 pengawas peperiksaan dilantik bagi memantau peperiksaan berlangsung.

Di KOTA BAHARU, seramai 35,525 calon menduduki PMR di Kelantan tahun ini dengan 110 calon terdiri daripada calon kurang upaya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Husin Awang berkata daripada 35,525 calon itu, seramai  28,542 calon adalah dari sekolah kerajaan, 5,454 calon dari sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK), 745 calon dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), MARA (628) calon dan swasta/persendirian (156) calon.

Di MELAKA, Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka Kasim Mohamad berkata seramai 15,015 calon menduduki peperiksaan PMR di negeri itu hari ini dengan 12 daripadanya menduduki peperiksaan di hospital akibat kemalangan jalan raya dan sakit.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 209 calon merupakan murid Sekolah Asrama Penuh, 455 calon Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan 489 calon Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam  Melaka (JAIM).

Selain itu, 257 ialah pelajar  MRSM, 108 calon sekolah swasta dan 13,754 calon Sekolah Menengah Kebangsaan termasuk calon tumpang.

Beliau berkata kesemua calon menduduki peperiksaan di 103 pusat peperiksaan di negeri itu dengan bilangan petugas peperiksaan seramai 1,000 orang.

Di TERENGGANU, seramai 23,025 calon menduduki PMR di 177 pusat peperiksaan di seluruh negeri itu.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Zakaria Husein berkata daripada jumlah itu seramai 22,229 merupakan calon sekolah bantuan penuh kerajaan.

Zakaria berkata terdapat 124 orang calon Orang Kurang Upaya iaitu lapan orang yang mengalami masalah terencat akal, buta dan bisu masing-masing seorang, pekak (26 orang), rabun (10 orang) dan spastik (tiga orang) manakala seramai 75 calon pula mengalami kecacatan anggota. – Bernama

481,424 calon PMR duduki peperiksaan pada 9 Oktober ini – Kosmo


481,424 calon PMR duduki peperiksaan pada 9 Oktober ini

KUALA LUMPUR – Seramai 481,424 calon di seluruh negara akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula 9 Oktober ini.

Menurut Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran, sebanyak 3,560 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara dengan 33,898 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

481,147 calon duduki PMR 2011 – Kosmo


481,147 calon duduki PMR 2011

PELAJAR rabun, Mohd. Ruzaini Mohd. Daud menjawab soalan peperiksaan PMR menggunakan mesin braille di SMK Alma, Bukit Mertajam semalam.

 

KUALA LUMPUR – Seramai 481,147 calon menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 di seluruh negara semalam.

Ia berlangsung selama lima hari sehingga 11 Oktober ini dan melibatkan 3,521 pusat peperiksaan.

Selain pusat peperiksaan, terdapat juga calon yang menduduki PMR di wad hospital kerana masih dalam rawatan.

Di Alor Setar, lima calon PMR menduduki peperiksaan itu di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana masih menjalani rawatan akibat kemalangan jalan raya dan menghidap penyakit.

Mereka ialah Muzammil Azizan, Nor Amira Muhamad Fisol, Mohd. Syamil Abdul Hamid, Noraini Abdul Razak dan Nurul Anis Zakaria.

Ketua Pengawas Peperiksaan, Jauhari Din berkata, Muzammil dan Nor Amira cedera akibat kemalangan manakala tiga lagi mengalami jangkitan pada paru-paru, masalah buah pinggang dan radang paru-paru.

Katanya, semua calon PMR menjawab tiga kertas peperiksaan iaitu Bahasa Melayu 1, Bahasa Melayu 2 dan Pendidikan Islam.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat berkata, seramai 39,143 orang pelajar di negeri itu menduduki PMR di 281 pusat peperiksaan.

Di Kuala Terengganu, pelajar autisme, Mohammad Danial Zainuddin, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek disenaraikan sebagai calon sasaran untuk mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan PMR.

MUZAMMIL AZIZAN (kiri) yang patah kaki akibat kemalangan menjawab soalan peperiksaan PMR di wad Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar semalam.

 

Ini kerana anak sulung kepada pasangan Zainuddin Mohammad, 46, dan Rozinah Mohd. Ikram, 46, itu berjaya meraih keputusan 9A pada peperiksaan percubaan PMR.

Ketua Sektor Pendidikan Khas dan Swasta, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Ngah Bidin berkata, Mohammad Danial bakal mencipta sejarah menjadi pelajar pendidikan khas pertama di Malaysia meraih keputusan 9A.

Sindrom autisme merupakan kecacatan perkembangan tegar yang melibatkan fungsi otak dan kanak-kanak yang menghidap sindrom itu akan berada dalam dunianya sendiri dan sukar menyesuaikan diri secara normal.

Ujarnya, Mohammad Danial yang mendapat keputusan 5A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mula dikesan menghidap sindrom autisme pada usia dua tahun dan memasuki sekolah pendidikan khas pada usia sembilan tahun.

Di Besut, seorang pelajar, Mohamad Firdaus Mohamad Rozmi, 15, yang kini bergantung sepenuhnya kepada mesin pernafasan akibat penyakit paru-paru dan abdomen kronik menduduki PMR di wad Hospital Besut.

MOHAMAD FIRDAUS tekun menjawab soalan peperiksaan PMR dengan dibantu mesin pernafasan di wad Hospital Besut, Besut semalam.

 

Menurut bapanya, Mohamad Rozmi Ghazali, 49, anak bongsu daripada tiga beradik itu dilihat bersemangat menjawab soalan peperiksaan walaupun dia tidak dapat hadir ke sekolah tahun ini ekoran penyakitnya itu.

Jelasnya, anaknya belajar sendiri di wad biarpun bergantung dengan mesin pernafasan Bilevel Positive Airway Pressure (BIPAP) kerana penyakit yang dihidapinya sejak berusia dua tahun.

Di Bukit Mertajam, meskipun menghadapi masalah rabun sejak dilahirkan, Mohd. Ruzaini Mohd. Daud, 15, bersama lima rakannya tenang menjawab soalan peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Alma.

Katanya, walaupun terpaksa membaca soalan dan menjawab dalam tulisan braille, ia tidak menjadi masalah kepadanya.

Rakannya, A. Mahavithia, 15, yang buta kedua-dua mata yakin akan mendapat keputusan cemerlang pada PMR.

Dia yang bercita-cita menjadi guru mengambil tujuh mata pelajaran dalam PMR.