5 pelajar Malaysia cemerlang di Perancis – Berita Harian


5 pelajar Malaysia cemerlang di Perancis
Daripada Mohd Feroz di Perancis ((Yang mengikuti kunjungan ke Paris, tajaan Kedutaan Perancis))
feroz@bharian.com.my
2011/12/21

Jun Yen (kiri), Hakim, Marshella, Hannamalai dan Md Nazri berbincang di Institut Universitaire de Technologie (IUT), Nice, Cote d'Azur, Perancis.

Jun Yen (kiri), Hakim, Marshella, Hannamalai dan Md Nazri berbincang di Institut Universitaire de Technologie (IUT), Nice, Cote d’Azur, Perancis.

LIMA pelajar Malaysia mencatat sejarah dengan menduduki 10 tempat teratas daripada 96 pelajar dalam peperiksaan peringkat diploma lanjutan di Institut Universitaire de Technologie (IUT), Nice, Cote d’Azur, Perancis.

Tan Jun Yen, 21, Md Nazri Md Minawar, 23, Hannamalai Caruppaiya, 21, Marshella Jamdin, 21, dan Hakim Luqman, 20, masing-masing menduduki tempat pertama, ketiga, keenam, kelapan dan kesembilan dalam peperiksaan akhir semester ketiga.

Semua mereka bersaing dengan pelajar yang kebanyakannya warganegara Perancis dengan Jun Yen merekodkan purata 18.4 dari 20 mata, manakala Md Nazri dengan 16.6 mata.

Pencapaian itu dianggap luar biasa kerana menurut pensyarah IUT, pencapaian 19 mata hanya untuk ‘pelajar bertaraf profesor’ dan tiada pelajar mendapat 20 mata dalam tradisi pendidikan di Perancis.

Jun Yen, bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA Serting, Negeri Sembilan, berkata beliau menumpukan perhatian sepenuh masa sejak mula melanjutkan pengajian di universiti itu pada 2010.

“Purata kedudukan ini dikira pada setiap semester dengan mengambil kira pencapaian akademik terutama Matematik dan elektronik, kebolehan melakukan ujian amali Fizik dan kemahiran komunikasi dalam bahasa Perancis,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Semua pelajar berkenaan mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan elektronik, elektrik teknik dan telekomunikasi pada peringkat Diplome Universitaire de Technologie (DUT) selama dua tahun dan akan meneruskan pengajian peringkat ijazah sarjana muda (licence) selama setahun lagi.
Sementara itu, Md Nazri berkata, beliau melakukan yang terbaik dan tidak menyangka akan mencatat rekod antara pelajar terbaik peringkat DUT dan menewaskan pelajar tempatan.

Bekas pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA Petaling Jaya itu berkata, beliau terhutang budi kepada penajanya MARA yang membiayai kos pengajian dan sara hidup untuk mengikuti pengajian di IUT Nice.

“Kami mengikuti pengajian persediaan pra-Perancis di Universiti Kuala Lumpur-Malaysia France Institute yang memberi pendedahan lengkap selama 20 bulan,” katanya yang berasal dari Johor Bharu.

Pelajar tajaan Jabatan 16 Rabu 21 Disember 2011 Perkhidmatan Awam (JPA), Hannamalai pula berkata, beliau bercadang meneruskan pengajian ke grande ecole dalam bidang kejuruteraan selepas menamatkan pengajian Jun tahun depan.

“Kebanyakan pelajar yang ditaja oleh JPA atau MARA mencatat keputusan yang baik kerana kami dilatih untuk mengikuti pengajian yang agak sukar di negara ini,” katanya.

Anak kelahiran Kota Belud, Sabah dari keturunan Dusun, Marshella berkata, beliau memang berminat dengan pendidikan tinggi di Perancis dan tidak pernah ponteng kelas.

“Kuliah dan tutorial bermula dari jam 7.45 pagi hingga 6 petang,” katanya yang mencatat 10A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada 2007 ketika di Sekolah Menengah Sains Sabah, Kota Kinabalu.

Hakim pula pernah muncul pelajar terbaik SPM di Sabah pada 2007 ketika menamatkan persekolahan di Maktab Sabah, iaitu sekolah harian di Kota Kinabalu.

“Saya bersyukur kerana mencatat keputusan yang baik dan tidak mengecewakan penaja JPA,” katanya.