50 kakitangan Samsung, murid bersih sekolah banjir – Harian Metro


50 kakitangan Samsung, murid bersih sekolah banjir

E-mel ArtikelCetak ArtikelTanda ArtikelBesarkan Saiz TeksKecilkan Saiz TeksKomen Artikel

GEMAS: Sekolah Kebangsaan (SK) Gemas, di sini, yang terjejas akibat banjir bulan lalu mendapat perhatian syarikat Samsung Corning (M) Sdn Bhd, yang menjayakan aktiviti gotong-royong membersih dan mengecat bangunan sekolah itu, baru-baru ini.

Program kemasyarakatan itu dijayakan  seramai 50 kakitangan syarikat itu bersama 50 murid tahun enam.
Pengurus Jabatan Sumber Manusia Samsung Corning, S K Seah berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai keadaan bangunan sekolah itu yang terjejas akibat bencana alam itu sekali gus mendorong pihaknya menjayakan aktiviti berkenaan.

 

Menurutnya, usaha yang dilakukan bertujuan memulihkan keadaan dan memastikan keceriaan persekitaran sekolah berada pada tahap seperti asal bagi membolehkan warga sekolah berkenaan meneruskan pengajaran serta pembelajaran dengan selesa.
“Usaha yang kami lakukan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang tidak mengutamakan keuntungan.
“Selain dapat meringankan beban pihak pengurusan sekolah, aktiviti ini juga mampu merapatkan hubungan antara syarikat dengan warga sekolah ini,” katanya selepas menyampaikan bantuan kewangan RM2,000 kepada Guru Besar sekolah itu, Zaharah Sarbini.

Sementara itu, Zaharah berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan usaha serta keprihatinan Samsung Corning yang menghulurkan bantuan dan menjayakan aktiviti berkenaan.
Beliau berkata, kejadian banjir yang melanda  baru-baru ini adalah  yang terbesar hingga menyebabkan banyak peralatan sekolah seperti komputer, peralatan pejabat dan alat bantuan mengajar yang  bernilai kira-kira RM500,000, rosak selain sekolah terpaksa ditutup selama satu minggu.