500 kecewa – Metro


500 kecewa

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 pensyarah Institusi Perguruan Malaysia (IPGM) kesal berikutan kegagalan ditawarkan kenaikan gred DG48 berbanding 400 pensyarah lain yang sudah menerima tawaran berkenaan November lalu.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, pensyarah terbabit sepatutnya layak diberi kenaikan daripada gred DG44 kepada DG48 berdasarkan prestasi cemerlang masing-masing.
“Keadaan sedemikian tidak sepatutnya berlaku sekiranya pengurusan IPGM menguruskan perkara berkenaan secara adil dan telus. Apa yang berlaku, ramai pensyarah cemerlang tidak menerima tawaran sebaliknya beberapa pensyarah baru berkhidmat pula ditawarkan kenaikan gred.

 

“Lebih menghairankan, ada pensyarah mengambil cuti belajar, selepas habis cuti terus ditawarkan kenaikan gred manakala pensyarah berkhidmat lebih 20 tahun dan menunjukkan prestasi cemerlang tidak mendapat tawaran berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kumpulan pensyarah terbabit mengadakan pertemuan dengan NUTP mewakili semua pensyarah IPGM seluruh Semenanjung meluahkan perasaan tidak puas hati berikutan diberi layanan sedemikian pada 31 Disember lalu.
Beliau yang mewakili kumpulan pensyarah terbabit berkata, kenaikan gred berkenaan adalah berdasarkan markah prestasi dari 2007 hingga 2009 perkhidmatan mereka sebagai pensyarah di IPGM manakala pensyarah baru dinilaikan berdasarkan markah prestasi 2009 saja dan markah prestasi sekolah bagi dua tahun sebelum itu.

 

 

“Penilaian sedemikian sama sekali tidak adil kepada pensyarah yang lebih senior dan saya juga dimaklumkan maklumat yang dikemukakan IPGM kepada Jabatan Sumber Manusia seperti maklumat perkhidmatan serta gred pensyarah terbabit kebanyakannya adalah tidak tepat.
“Lebih tidak adil kerana ada pensyarah yang memegang sarjana dan berprestasi cemerlang dengan markah prestasi melebihi 90 peratus juga tidak menerima tawaran kenaikan gred,” katanya.

 

Katanya, kumpulan pensyarah terbabit sudah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Manusia bulan lalu namun hingga kini, tiada maklum balas daripada pihak terbabit.
Lok berkata, perkara berkenaan seolah-olah menjejaskan maruah mereka berikutan rata-rata pensyarah yang dinaikkan gred pernah menjadi anak didik mereka sebelum ini. “Jadi, ia perkara memalukan bagi mereka kerana mereka masih lagi dengan gred DG44 manakala pensyarah baru sudah ditawarkan gred yang lebih tinggi,” katanya.
Justeru, beliau menggesa IPGM menyelesaikan masalah membabitkan 500 pensyarah IPGM berkenaan dengan segera dan mahu mereka diberi tawaran kenaikan gred seperti pensyarah yang lain.