529 pelajar terima sumbangan Aidilfitri
KUALA LUMPUR 12 Ogos – Seramai 529 pelajar dari 36 sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) menerima sumbangan Aidilfitri yang disampaikan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman hari ini.
Penerima sumbangan terdiri daripada anak yatim, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak istimewa dan golongan kurang berkemampuan.
Sumbangan yang diberikan adalah wang tunai RM100, beras, kain dan baucar membeli-belah di Jusco.
Pengerusi YPC yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, sumbangan itu bertujuan membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan membuat persediaan menyambut kedatangan Syawal.
“Sumbangan ini adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh pihak berkemampuan supaya golongan kurang bernasib baik mendapat perhatian sewajarnya.
”Bantuan ini juga bukan hanya kepada umat Islam yang akan menyambut Aidilfitri tetapi juga kepada kaum lain,” katanya ketika berucap pada majlis itu di sini.
Hadir sama Timbalan Pengarah Pejabat Pelajaran Daerah Pudu- Bangsar, Jamaluddin Abdullah dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abdul Shukor.