8,000 guru sandaran bimbang tidak dapat gaji bulan ini – Utusan


8,000 guru sandaran bimbang tidak dapat gaji bulan ini

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Kira-kira 8,000 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) berdepan tindakan tidak mendapat gaji bulan ini jika gagal menandatangani surat akur janji membayar balik lebihan bayaran gaji yang diterima sejak Oktober lalu.

Utusan Malaysia difahamkan masalah lebihan bayaran gaji tersebut berlaku berikutan penukaran status kontrak mereka daripada kontrak perkhidmatan (COS) kepada kontrak untuk perkhidmatan (COF) berkuat kuasa 17 Oktober lalu.

Ekoran itu ada di antara guru terbabit yang diarah membayar balik lebihan gaji berkenaan sehingga lebih RM3,000.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak GSTT, Mohd. Shamil Mohd. Nor berkata, mereka sedia mematuhi sebarang arahan dan keputusan kerajaan.

‘‘Bagaimanapun kami cuma berharap kerajaan dapat menilai semula perkara tersebut untuk keselesaan guru-guru GSTT di seluruh negara.

“Kami hanya tuntut pembelaan kepada gaji kami kerana arahan itu seolah-olah menjadikan kami tidak bergaji pada bulan Disember ini,’’ katanya pada sidang akhbar selepas merujuk masalah tersebut kepada Pergerakan Pemuda UMNO di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata, pihaknya berharap kerajaan akan mengeluarkan satu garis panduan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya diberitahu mereka perlu tanda tangan surat akur janji bayaran balik itu esok (15 Disember).

“Bahkan saya difahamkan ada sekolah yang telah sedia untuk menahan gaji-gaji mereka pada bulan Disember (jika tidak menandatangani surat akur janji bayaran balik),’’ katanya.

Bagi mencari penyelesaian, Pemuda UMNO mengemukakan tiga tuntutan kepada kementerian iaitu penangguhan arahan pembayaran, pengecualian terus bayaran semula gaji dan penyelerasan semula gaji.

“Harap bayaran itu dapat dikecualikan kerana mereka berkhidmat secara kontrak dan tanpa caruman,’’ katanya.

8,812 unit kuarters guru masih kosong – Bernama


8,812 unit kuarters guru masih kosong

2011/07/04

KUALA LUMPUR: Sejumlah 8,812 unit kuarters guru masih kosong dan tidak diduduki berikutan pelbagai faktor, termasuk kekangan peruntukan untuk menaik taraf kuarters berkenaan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata antara faktor lain ialah lokasi kurang sesuai, bayaran elaun Imbuhan Tetap Perumahan (IPT) serta elaun Sara Hidup (COLA), pemotongan keseluruhan ITP dan 50 peratus COLA bagi yang menduduki kuarters serta keadaan fizikal yang tidak diselenggara.

“Terdapat juga berlaku pengurangan pelajar di satu-satu sekolah, menyebabkan bilangan guru-guru di sekolah terbabit berkurangan, akibatnya berlaku kekosongan unit kuarters guru.

“Setakat ini kekosongan kuarters guru berjumlah 8,812 bukan 3,000 seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan. Sekiranya peruntukan dapat diberikan oleh Kementerian Kewangan, sebahagian besar pusat latihan akan diubah suai untuk kegunaan pendidikan,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman mengenai rancangan kementerian terhadap kuarters yang terbiar dan digelar sebagai “kuarters hantu” seperti dilaporkan Berita Harian baru-baru ini.

Pada Mei lalu, akhbar itu melaporkan kira-kira 3,000 unit kuarters guru, khususnya di luar bandar di seluruh negara dikatakan terbiar begitu saja kerana tidak didiami guru yang bertugas di kawasan berkenaan atas pelbagai faktor, termasuk lokasinya yang tidak sesuai dan tidak diselenggara dengan sempurna.

Wee berkata, beberapa cadangan sudah dikenal pasti bagi membantu mengatasi masalah pengisian kuarters untuk kakitangan mereka, seperti menawarkan kepada agensi dan kementerian lain yang memerlukan kuarters untuk kakitangan mereka dan semakan semula pemotongan IPT serta COLA. – BERNAMA