468,808 calon mula duduki peperiksaan – Bernama


468,808 calon mula duduki peperiksaan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seramai 468,808 pelajar sekolah menengah semalam mula mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 3,533 pusat dan dijadualkan berakhir pada 14 Disember depan.

Di Kelantan, seramai 36,333 calon melaporkan diri di sekolah masing-masing dan angka itu mencatatkan kemorosotan 404 calon berbanding tahun lalu.
Pengarah Pelajaran Kelantan Hussain Awang berkata, daripada jumlah itu, 28,087 calon terdiri daripada pelajar sekolah bantuan kerajaan, 4,945 calon dari Sekolah Agama Yayasan Islam Kelantan (Yik), Maktab Rendah Sains Mara (650) dan calon swasta (110).

 

“Semua calon sekolah kerajaan menduduki peperiksaan itu di 282 pusat peperiksaan di seluruh negeri, tidak termasuk 50 pusat bagi calon sekolah di bawah YIK dan empat pusat di MRSM,” katanya.
Sementara itu di Pahang, Pengarah Pelajaran negeri Yahya Zainal Abidin berkata, 22,490 calon menduduki peperiksaan SPM dan ini termasuk 23 calon berkeperluan khas apabila tujuh daripada mereka rabun.
“Seramai 450 calon pula adalah pelajar Orang Asli dari beberapa daerah di sini seperti Kuantan, Pekan dan Rompin,” katanya.

 

 

Mengenai kemungkinan banjir ketika peperiksaan itu berlangsung, Yahya berkata, pihaknya kini bersiap sepenuhnya menghadapi kemungkinan berkenaan.
“Jika sekolah yang menjadi pusat peperiksaan itu banjir, calon terbabit akan dipindah ke pusat peperiksaan yang ada asrama,” katanya.

 

Yahya berkata, segala urusan penukaran pusat peperiksaan diuruskan dengan Majlis Peperiksaan Malaysia bagi proses pertukaran pusat peperiksaan.-Bernama