85 kantin sekolah diarah tutup kerana kurang bersih – Dr. Subramaniam – Bernama


85 kantin sekolah diarah tutup kerana kurang bersih – Dr. Subramaniam

 

24/07/2013 8:34pm

 

PUTRAJAYA – Sebanyak 85 buah kantin sekolah telah diarahkan ditutup dari Januari hingga Mei tahun ini kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan dan tidak menepati peraturan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan hasil pemeriksaan dan pengauditan yang dilakukan terhadap 6,168 kantin sekolah di seluruh negara oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan.

“Pada tahun 2012, sebanyak 8,288 kantin sekolah telah diperiksa dan hasil daripadanya, sejumlah 112 kantin sekolah telah diarah tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, kementerian itu bersama Kementerian Pendidikan telah mewujudkan Jawatankuasa Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan (3K) yang antara lain bagi memantau kebersihan kantin sekolah di bawah Program Pemeriksaan Sendiri (KENDIRI) Kantin Sekolah sebagai salah satu kaedah mengurangkan keracunan makanan dan meningkatkan tahap kebersihan kantin sekolah. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0724&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_33.htm#ixzz2Zxyi1UXD
Hakcipta terpelihara