97 murid sekolah rendah di Jitra keracunan makanan – Bernama


97 murid sekolah rendah di Jitra keracunan makanan

19 Julai 2012
JITRA – Seramai 97 murid sebuah sekolah rendah di sini mengalami keracunan makanan dipercayai selepas minum susu kotak pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi setelah kesemua murid terbabit mengadu sakit perut dan muntah selepas 10 minit minum susu tersebut.

Sebanyak 40 murid terpaksa dikejarkan ke Hospital Jitra oleh pihak sekolah bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas keadaan mereka bertambah teruk.

Bagaimanapun, kesemua mereka dibenarkan pulang kira-kira pukul 2 petang selepas keadaan mereka dilaporkan stabil.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat berkata berdasarkan pemeriksaan awal, susu tersebut baru tiba di sekolah berkenaan dan tidak disimpan di dalam setor.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian yang menimpa pelajar sekolah tersebut. – Bernama