Budak kerdil masuk tingkatan satu – Utusan


Budak kerdil masuk tingkatan satu

Oleh Shahrinnahar Latib
nahar.latib@utusan.com.my

PEKAN 3 Jan. – Mungkin ramai tidak mengingati ‘budak kerdil’ yang pernah menggamit hati rakyat di seluruh negara menerusi kisah istimewanya yang menghiasi akhbar-akhbar utama pada 2007.

Keunikan fizikal Muhd. Zull Hanif Abd. Halim, 13, yang hanya memiliki ketinggian 80 sentimeter dan berat kira-kira 15 kilogram ketika itu turut menarik perhatian Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada waktu itu merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Kanak-kanak itu semalam memasuki fasa baharu dalam hidupnya iaitu memasuki tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan di sini.

Walaupun dengan saiz fizikal yang dua kali ganda lebih kecil daripada pelajar lain, keadaan itu tidak menghalang Muhd. Zull Hanif belajar bersama rakan-rakan lain.

Ditanya perasaannya berada di sekolah tersebut, Muhd. Zull Hanif hanya tersipu-sipu dan menganggukkan kepala sahaja.

Menurut Pengetua SMK Pekan, Norhasimah Abd. Ghaffar, pelajar itu ditempatkan di dalam kelas pendidikan khas bersama tiga pelajar lain.

“Ini kali pertama sekolah ini menerima pelajar istimewa dan kita akan mengajarnya cara berdikari tanpa memerlukan bantuan orang lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Norhasimah berkata, buat masa ini, Muhd. Zull Hanif yang mesra dengan panggilan ‘abang’ akan dipantau seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) setiap masa.

Keadaan itu katanya, berikutan kesukaran pelajar berkenaan bergerak di sekitar kawasan sekolah termasuk untuk ke kantin dan tandas.

“Selain itu, PPM juga akan memantau aktiviti sepanjang dia berada di sekolah tidak kira di mana sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Guru Penyelaras Kelas Pendidikan Khas, Norshahida Mohd. Salleh berkata, Muhd. Zull Hanif merupakan seorang pelajar bijak dan mampu memberi maklum balas dengan baik setiap kali diajukan soalan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130104/dn_10/Budak-kerdil-masuk-tingkatan-satu#ixzz2GzYcB7HG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Lari menyorok nama tercicir – Metro


Lari menyorok nama tercicir

Oleh Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
LEGA...Hafeq Shakirin tenang bersama ibunya selepas hilang dua jam.
LEGA…Hafeq Shakirin tenang bersama ibunya selepas hilang dua jam.

JOHOR BAHRU: Menyangka dia gagal memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 apabila namanya tidak dipanggil guru, seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bandar Uda (2), di sini, melarikan diri sebelum bersembunyi dalam dewan kira-kira satu kilometer dari sekolah itu, semalam.

Hafeq Shakirin Abd Halim, 12, bersembunyi di dewan itu dua jam sebelum ditemui menangis oleh bapanya, Abdul Halim Abdul Manaf, 40, dan ibunya, Norlida Mohd Yusof, 37, yang sebelum itu menghubungi polis apabila mendapati anaknya hilang.

Ketika ditemui, Hafeq Shakirin berkata, dia nekad melarikan diri dari kawasan sekolah pada jam 1 tengah hari ketika menunggu giliran mengambil slip keputusan UPSR selepas mendapati namanya tidak disebut dalam senarai calon yang memperoleh 5A.

“Saya sangka gagal memperoleh 5A. Ketika itu, saya cukup tertekan dan berasa seperti anak tidak berguna kerana menghampakan harapan ibu bapa.

 
“Tambahan pula rakan asyik bertanyakan mengapa saya tidak mendapat 5A seperti mereka. Saya sedih kerana sudah melakukan yang terbaik,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20

Pekerja mesin cetak dipenjara dua tahun cabul kanak-kanak – Bernama


Pekerja mesin cetak dipenjara dua tahun cabul kanak-kanak

25 September 2012

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja membaik pulih mesin cetak dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, minggu lepas.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin memerintahkan Rikki Azaraai Khan Agha Khan, 20, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 September lepas.

Rikki Azaraai Khan didakwa mencabul kehormatan kanak-kanak itu di tangga tengah tingkat 3, Blok B, Teratak Muhibbah 2, Taman Desa, Brickfields, di sini pada 4.15 petang, 19 September lepas.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, seorang suri rumah berusia 32 tahun menerima aduan daripada kawan anaknya bahawa anak perempuannya diganggu seorang lelaki lalu dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anaknya berdiri dalam keadaan menangis dan seluar dalam anaknya berada di lantai.

Suri rumah itu kemudian ternampak seorang lelaki berlari menuruni tangga, lalu mengejarnya dengan bantuan penduduk sekitar sehingga tertangkapnya lelaki berkenaan sebelum membawa anaknya ke balai polis untuk membuat laporan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abd Halim memohon mahkamah menjatuhi hukuman yang dapat memberi keinsafan, amaran dan pengajaran terhadap tertuduh.

“Tertuduh berusia 20 tahun tergamak melakukan perbuatan sedemikian (mencabul) kepada kanak-kanak berumur enam tahun. Perbuatan itu mengakibatkan kanak-kanak itu mengalami trauma,” katanya. – Bernama

Jaga ugut guru tegur anak didenda RM2,000 – Harian Metro


Jaga ugut guru tegur anak didenda RM2,000

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Berang selepas mengetahui anak perempuannya ditegur, seorang bapa sanggup mengugut seorang guru dengan kata-kata ‘boleh menggunakan pistol bila-bila masa dan tidak kisah masuk penjara.’

Bagaimanapun, perbuatan Ibrahim Matering, 37, itu menerima padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan mengugut secara jenayah Mohd Norizi Mohamad, 31, yang dibacakan di hadapan Majistret Hafizza Sauni.
Perbuatan itu dilakukan di Bengkel Kemahiran Hidup, Sekolah Kebangsaan Bangsar, Jalan Pantai Baharu, Bangsar di sini, pada jam 9.30 pagi, 14 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, Ibrahim yang bekerja sebagai pengawal keselamatan singgah ke sekolah berkenaan untuk menghantar barang yang ditinggalkan anaknya.
Kebetulan, tertuduh yang turut membawa sepucuk pistol kerana akan terus pergi bertugas selepas itu dimaklumkan bahawa seorang guru menegur anaknya.

Tertuduh kemudian bertindak melakukan ugutan jenayah dengan mendatangkan ketakutan terhadap guru berkenaan.
Terdahulu, Ibrahim yang tidak diwakili peguam merayu supaya hanya dikenakan hukuman ringan atas alasan tidak mempunyai taraf pendidikan tinggi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd Halim memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh untuk mencegah kesalahan sama.