Tunggu untuk raba, dua remaja ditahan – Sinar Harian


Tunggu untuk raba, dua remaja ditahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 April 2012
Tunggu untuk raba, dua remaja ditahan

KUALA KANGSAR – Demi melampias nafsu, dua remaja belasan tahun sanggup menunggu sebelum mencabul dan meraba beberapa mangsa di sekitar kawasan berhampiran lintasan kereta api di Taman Indah, di sini.

Sejak seminggu lalu dua remaja ini termasuk pelajar tingkatan dua dari sebuah sekolah di Pekan Kuala Kangsar, di sini, menunggu mangsa yang kebanyakan rakan perempuan dari sekolah jenis kebangsaan Cina, semata-mata mencari peluang untuk meraba dan mencabul mereka.

Bagaimanapun, perbuatan tidak bermoral itu akhirnya terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis dan kedua-dua mereka berjaya diberkas dalam satu serbuan di sekitar Taman Indah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, sejak 12 April lalu beberapa laporan polis mengenai kes cabul melibatkan pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina telah dibuat.

“Dua remaja ini kebiasaannya menunggu mangsa selepas tamat waktu persekolahan dan menyasarkan pelajar perempuan yang berjalan bersendirian.

“Bagi laporan pertama dan kedua, kedua-dua mangsa mendakwa dua remaja ini telah menyentuh buah dada dan perut mereka ketika melintas di landasan kereta api,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.

Abdul Gaffar berkata, dalam kejadian pada 14 April (kelmarin), seorang pengadu yang juga pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina mendakwa telah ditolak sehingga terjatuh dan tercedera.

“Kedua-dua remaja ini bertindak mengambil kesempatan memegang buah dada, perut serta alat sulit mangsa. Mangsa kemudiannya membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, pada 12 April sahaja, tiga kes cabul melibatkan pelajar sekolah berkenaan telah dibuat.

“Antara mangsa yang membuat laporan polis ialah pelajar berusia 14, 15 dan 16 tahun,” katanya.

Katanya, susulan laporan yang dibuat dua remaja Melayu telah diberkas pada 14 April lalu dan kedua-dua mereka mengaku melakukan aksi cabul berkenaan.

“Kira-kira jam 1 petang, dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kes ini termasuk seorang pelajar tingkatan dua dari sebuah sekolah lelaki di sini, telah ditahan, manakala seorang lagi remaja tidak bersekolah.

“Hasil siasatan awal, kedua-dua remaja ini mengaku telah melakukan kegiatan itu sejak seminggu lalu dan kes ini masih lagi dalam siasatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, tangkapan kedua-dua suspek turut dibantu penduduk dan pengawal keselamatan di sekitar taman itu yang sudah membuat intipan terlebih dahulu.

Pelajar dicabul waktu tidur – Sinar Harian


Pelajar dicabul waktu tidur

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Februari 2012

KUALA KANGSAR – Tiga pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di sini, berasa hairan apabila alat sulit dan buah dada mereka berasa sakit sebaik sahaja tersedar daripada tidur, ketika bermalam di asrama sekolah itu kelmarin.

Bimbang sesuatu tidak diingini berlaku ke atas diri mereka, salah seorang daripada pelajar berkenaan membuat laporan polis mendakwa dicabul ketika sedang tidur.

Ketua Polis Daeah Kuala Kangsar, Superitendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, pelajar terbabit turut mendakwa dipukau sehingga tidak sedar diperlakukan sedemikian.

Menurutnya, pelajar itu mengesyaki ada beberapa orang lelaki lelaki menceroboh bilik mereka kerana salah seorang rakannya ternampak kelibat lelaki itu beberapa jam sebelum kejadian.

“Pada jam 3 pagi salah seorang pelajar melihat kelibat lelaki masuk ke asrama terbabit kemudiannya melarikan diri.

“Dua daripada pelajar berkenaan mengalami rasa sakit di bahagian alat sulit, manaka seorang lagi sakit di bahagian payu dara.

“Salah seorang mangsa bersama ibu bapanya yang juga mewakili dua rakan lain telah membuat laporan polis pada jam 2 petang.

“Selain mengadu rasa sakit, telefon bimbit milik ketiga-tiga mangsa juga turut lesap,”katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tambahnya, susulan laporan itu, empat lelaki berusia 16 hingga 23 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Empat lelaki itu yang bekerja di kantin asrama berkenaan telah ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

“Mereka disyaki terlibat apabila rakan mangsa terlihat ada lelaki melarikan diri ke arah kantin asrama.

“Kesemua pelajar terbabit dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk pemeriksaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.