Pemandu lori dijel setahun pukul anak dengan kerusi – Utusan


Pemandu lori dijel setahun pukul anak dengan kerusi

SHAH ALAM 10 Jan. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap seorang pemandu lori yang didapati bersalah memukul anaknya yang berusia lapan tahun dengan kerusi di kepala, tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menetapkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Nor Azlizan Jusoh, 33, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret yang hanya mengenakan denda terhadap lelaki itu.

Menurut hakim tersebut, hukuman denda RM6,000 atau penjara enam bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 2 November tahun lalu terhadap tertuduh adalah terlalu ringan.

Beliau bagaimanapun mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret itu manakala hukuman penjara setahun diperintah berkuat kuasa selepas hukuman penjara enam bulan yang sedang dijalani oleh tertuduh kerana gagal membayar denda, berakhir.

Hakim Abdul Halim turut menetapkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun selepas menjalani hukuman berserta syarat dia menjaga kebajikan anak dan isterinya. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130110/ma_03/Pemandu-lori-dijel-setahun-pukul-anak-dengan–kerusi#ixzz2HZEbRE5m
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiga rakan didakwa rogol, liwat gadis – Utusan


Tiga rakan didakwa rogol, liwat gadis

JOHOR BAHRU 13 Julai – Tiga sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol dan meliwat seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun di sebuah asrama dekat Masai, di sini bulan lalu.

Norizam Bahri, 22, didakwa atas enam pertuduhan, Mohammad Fauzi Rahmad, 20, empat pertuduhan dan Abdul Halim Rahamat, 20, dua pertuduhan.

Ketiga-tiganya yang bekerja sebagai pembantu kedai dituduh merogol dan meliwat remaja tersebut di asrama pekerja Armour Security, Nombor 59A, Jalan Sena 9, Taman Rinting, Masai antara pukul 2 petang, 29 Jun lalu dan pukul 2 petang keesokan harinya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 377C kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Siasatan kes buli, pukul murid bermula – Berita Harian


Siasatan kes buli, pukul murid bermula
Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@bharian.com.my
2012/03/07

Jabatan Pelajaran jumpa guru besar, dapatkan penjelasan lanjut JKM

SEREMBAN: Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNNS) memulakan siasatan berhubung kejadian seorang murid Tahun Satu yang dibuli dan dipukul hingga lebam seluruh badan di Sikamat di sini, Jumaat lalu.

Pengarahnya, Datuk Abdul Halim Abdul Razak, berkata pihaknya berjumpa guru besar sekolah itu di Sikamat, semalam bagi mendapatkan penjelasan.

“Saya dimaklumkan kecederaan itu bukan berlaku dalam kawasan sekolah.

“Bagaimanapun, JPN masih lagi menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melakukan siasatan di asrama anak yatim yang dihuni mangsa,” katanya di sini, semalam.

Semalam akhbar ini melaporkan, murid Tahun Satu trauma selepas dipercayai dipukul hingga menyebabkan seluruh anggota badannya lebam.

Kejadian itu hanya disedari ibunya, Suzianawati Mohamad, 33, Jumaat lalu kira-kira jam 7.30 petang selepas mengambil anaknya berusia 7 tahun dari rumah anak yatim di Sikamat.

Angkara gengster cilik – Metro


Angkara gengster cilik

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: “Saya sebak melihat anak terlantar kesakitan dan sering meracau selepas dibelasah beberapa murid,” kata Suzianawati Mohamad, 33, yang anaknya Fakhqrul Hakimi Mohd Kamarulzaman, 7, cedera serta lebam seluruh badan dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah di Sikamat di sini, Jumaat lalu.

Difahamkan, kejadian disedari kira-kira jam 7.30 malam selepas Suzianawati mengambil anak sulungnya itu dari sebuah asrama anak yatim di daerah ini.
“Saya terkejut melihat muka, perut, lengan dan belakang badannya dipenuhi lebam dan bengkak teruk.

 

“Apabila ditanya, dia memberitahu dipukul tiga murid sekolah sama yang meminta wang, malah berulang kali memberitahu dipukul dengan kayu,” katanya.
Suzianawati mendakwa selepas kejadian itu, anaknya menjadi pendiam seolah-olah trauma dengan kejadian menimpa.
“Apa salah anak saya sehingga dia dipukul sebegini. Saya tidak dapat bayangkan ketika kejadian mungkin dia meraung meminta tolong, namun tiada siapa mendengarnya.

 

 

“Saya mahukan keadilan dan berharap pihak berkenaan melakukan siasatan terperinci berhubung kes ini,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Dakwanya, dia meminta penjelasan sekolah berhubung kejadian, tetapi guru besar memaklumkan anaknya berkemungkinan dipukul ketika berada di asrama.

 

“Berulang kali saya menanyakan perkara itu, namun Hakimi (mangsa) menafikan ia berlaku di asrama anak yatim, tetapi dipukul di sekolah.
“Saya bukan mahu menghukum mereka membuta-tuli, tetapi meminta penjelasan apa yang berlaku,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sikamat pada hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan siasatan sedang dilakukan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Razak ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu dan berjanji akan menyiasat dakwaan ibu mangsa.

ILI: Belum ada sekolah ditutup – Metro


ILI: Belum ada sekolah ditutup

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: “Setakat ini, saya belum menerima sebarang maklumat mengenai penutupan sekolah di negeri ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli.

Beliau mengulas mengenai dakwaan ada beberapa sekolah di negeri ini ditutup berikutan penularan penyakit seiras influenza (ILI).
Menurut Shamsulkahar, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu, malah tiada arahan penutupan daripada Kementerian Pelajaran.

 

“Namun, kita akan sentiasa berwaspada dengan wabak berbahaya itu dengan melakukan pemantauan bersama Jabatan Kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, pengawasan tahap kesihatan pelajar sentiasa dipantau dan pihaknya berharap tiada penularan wabak ILI berlaku di negeri itu.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Razak ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang arahan penutupan sekolah.

 

 

Di Melaka, Pemangku Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Dul Hadi Mat Junid berkata, jumlah pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah (SMSMS), yang dijangkiti penyakit menyamai ILI berkurangan kepada 35 orang sehingga semalam dan keadaan dilaporkan bertambah baik.
“Tiada penutupan sekolah, di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah juga sekolah tidak ditutup, tetapi pelajar terbabit hanya dikuarantin. Keadaan bertambah baik dengan hanya dua kes dikesan semalam (kelmarin), manakala jumlah pelajar dikuarantin berbaki 35 orang,” katanya.

 

Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak mengeluarkan sebarang cadangan penutupan sekolah kepada jabatan Pelajaran Negeri (JPN).