TPM bimbang trend hubungan antara kaum – Bernama


TPM bimbang trend hubungan antara kaum
29 Julai 2013
  • Muhyiddin YassinMuhyiddin Yassin.
< 1 / 1 >

IPOH – Trend mutakhir dalam masyarakat hari ini semakin membimbangkan terutama dalam konteks hubungan antara kaum sehingga menimbulkan isu polarisasi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata masyarakat hari ini dilihat mudah sensitif sehingga usaha baik yang dirancang oleh kerajaan dianggap negatif dan dijadikan isu yang menyentuh perkauman seperti apa yang berlaku terhadap Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP).

“Saya dimaklumkan perhimpunan konvensyen yang dibuat oleh Dong Zhong semalam membuat resolusi untuk menghalang apa yang kita buat dalam PIPP, yang dibentuk untuk memajukan sektor pendidikan.

“Ia (PIPP) dirancang dengan niat yang baik, bagaimanapun ia dilihat berbaur perkauman…13 tahun (pelaksanaan PIPP) dilihat sebagai usaha menghapuskan bahasa ibunda mereka,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir di sini, malam ini.

Beliau berkata Dong Zhong melihat niat baik kerajaan itu sebagai perkara perkauman walaupun kerajaan mengambil masa hampir dua tahun untuk mengumpul input PIPP, supaya sejajar dengan Akta Pendidikan serta Falsafah Pendidkan Negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata trend itu tidak membantu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan semua kaum.

Dalam pada itu, beliau meminta umat Islam mementingkan perpaduan, hubungan mesra serta persefahaman berikutan sentiasa berdepan cabaran hebat.

“Dalam suasana begini, masyarakat Islam perlu kukuhkan jemaah…kerana adanya anggapan bahawa masyarakat Islam tidak kukuh berikutan pelbagai puak Melayu, ramai yang lantang sehingga berani mempersoalkan hak-hak dalam Perlembagaan, agama dan raja,” katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan berupa kurma, air zam-zam, kain pelikat dan jubah kepada pengerusi dan anggota jawatankuasa masjid daerah dari seluruh negeri.

Selepas berbuka puasa, beliau dan Zambry, Pengerusi Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, exco kerajaan negeri serta umat Islam menunaikan solat Maghrib, Isyak serta tarawih berjemaah yang diimamkan guru Al-Quran Masjidil Haram, Makkah, Sheikh Osama Mohammad Iqbal. – Bernama

46 MRSM cari dana bantu rakyat Somalia – Berita Harian


46 MRSM cari dana bantu rakyat Somalia
Oleh Shamsul Kamal Amarudin
shaka@bharian.com.my
2012/06/12
RAJA NAzRiN beramah mesra dengan pelajar selepas merasmikan Program inovasi ideapreneur MRSM di ipoh.
Sekolah raih pungutan terbanyak terima Anugerah Inovasi 2012

SERAMAI 10,000 pelajar daripada 46 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dari seluruh negara terbabit menjayakan pertandingan mencari dana untuk membantu rakyat Somalia.
Program Inovasi Ideapreneur MRSM, masuk kali ketiga itu akan memilih MRSM yang melakukan kaedah mencari dana yang paling berinovasi serta jumlah pungutan terbanyak, sebagai pemenang dan diberikan anugerah ‘Anugerah Inovasi Perdana 2012’.
Program membolehkan pelajar mempraktikkan kemahiran berfikir secara inovatif dan pada masa sama aktif dalam aktiviti kemanusiaan membantu rakyat Somalia yang kelaparan. – Mazlee Md Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Al Niaga Sdn Bhd,penganjur program. Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis pelancaran program berkenaan Ipoh, baru-baru ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh.

Penganjur program, Ketua Pegawai Eksekutif Al Niaga Sdn Bhd, Mazlee Md Ramli, berkata pertandingan membabitkan pelajar Tingkatan Dua dan Empat akan menjadi acara mencari dana oleh pelajar yang terbesar di negara ini.

“Tahun ini, kita berjaya mendapatkan Yayasan Inovasi Malaysia, Mercy Malaysia dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM (ANSARA) menjadi penganjur bersama.
“Program membolehkan pelajar mempraktikkan kemahiran berfikir secara inovatif dan pada masa sama aktif dalam aktiviti kemanusiaan membantu rakyat Somalia yang kelaparan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program berkenaan.

Mazlee yang juga bekas pelajar MRSM Kota Bharu, berkata ketika ini seramai 50 guru MRSM dilatih berfikir secara inovasi.

“Guru berkenaan yang sudah selesai menjalani latihan kemudian akan melatih lima guru di sekolah masing-masing, kemudian melatih pula lima guru lagi sebelum berkongsi pengetahuan itu dengan pelajar yang menyertai pertandingan ini,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri dijangka akan menyampaikan Anugerah Inovasi Perdana 2012 untuk pemenang program itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada November ini.

Mazlee berkata, sejak program tahunan itu bermula dua tahun lalu, lebih 1,000 guru dan 25,000 pelajar MRSM menjalani latihan menerusi kaedah menyuburkan pemikiran mereka dengan inovasi dan kreativiti.