Kerajaan Negeri tanggung kos rawatan Nur Fatihah – Sinar Harian


Kerajaan Negeri tanggung kos rawatan Nur Fatihah
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Jun 2012

Ahmad (kanan) melihat Nur Fatihah yang masih mampu menulis dengan baik
walaupun menghidap penyakit sendi lembik ketika melawat kanak-kanak itu di
Gong Kiat, semalam.
ALOR LIMBAT – Kerajaan Negeri akan menanggung kos rawatan kanak- kanak istimewa, Nur Fatihah Abdul Karim, 11, dari Gong Kiat dekat sini, yang mengalami penyakit Arthrogyroposis Multiplex Congenita With Bilateral Ctev sejak dilahirkan.

Perkara itu dinyatakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengadakan lawatan ke rumah sewa keluarga Nur Fatihah di Kampung Gong Kiat di sini, semalam. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Alias Abdullah.

Terdahulu, pada Khamis lalu, Sinar Harian menyiarkan kisah kanakkanak malang yang tabah menjalani kehidupannya walaupun menghidap penyakit yang juga dikenali sebagai penyakit sendi lembik. Akibat penyakit itu, kedua belah tangan dan kedua belah kaki Nur Fatihah seperti ketiadaan sendi serta tidak dapat dibengkokkan namun dia masih mampu menulis dengan baik menggunakan jari tangan selain menaip papan kekunci e-Book menggunakan jari kakinya.

Nur Fatihah yang belajar di kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payong itu akan menjalani pemeriksaan dan rawatan rapi di bawah penyeliaan pakar saraf di sebuah hospital di Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat ini.

Ahmad berkata, sekiranya ada cara untuk memulihkan Nur Fatihah pihaknya akan meneruskan usaha bagi merawat dan memulihkan anak kepada pasangan Mahani Mat Leha, 33, dan Abdul Karim Abdullah, 39, itu dan kos perubatan ditanggung Kerajaan Negeri.

‘Saya pun mampu berjaya’ – Metro


‘Saya pun mampu berjaya’
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Tidak dapat bergerak selincah kanak-kanak seusianya kerana menghidap penyakit sendi lembik atau Arthrogyroposis Multiplex Congenita With Bilateral Ctev tidak mematahkan semangat murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Bukit Payong, Marang untuk mengejar cita-citanya menjadi pendidik.

Kesungguhan Nur Fatihah Abdul Karim, 11, mengejar cita-citanya dapat dilihat dengan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan apabila memperoleh 5A dalam peperiksaan akhir tahun lalu.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, penyakit yang dihidapinya sejak kecil membataskan pergerakannya apabila tidak mampu menggerakkan tangan dan kaki seperti orang lain.

“Sebelum ini, saya sering menangis apabila mengenangkan kekurangan diri apatah lagi apabila melihat rakan boleh bermain dan berlari membuatkan saya rasa kerdil.
“Namun, dorongan ibu bapa, keluarga, guru dan rakan menjadikan saya kuat dan menerimanya sebagai ujian.
“Saya sedar tidak sepatutnya menjadikan penyakit ini alasan untuk kelihatan lemah dan perlu membuktikan saya mampu berjaya seperti individu normal,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud di Kampung Gong Kiat, di sini, semalam.

Nur Fatihah yang lebih dikenali Along dalam keluarganya berkata, sebelum ini dia langsung tidak dapat menulis atau makan sehingga terpaksa bergantung kepada ibunya, Mahani Mat Leha, 32, dan ayahnya, Abdul Karim Abdullah, 39.
“Namun, dengan kesabaran dan tunjuk ajar ibu bapa serta guru di sekolah, saya boleh menulis menggunakan jari tangan dan mengulang kaji pelajaran dengan e-Book walaupun menggunakan jari kaki,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mencari penyelesaian bagi membantu Nur Fatihah dan sudah menghubungi doktor pakar saraf di Kuala Lumpur bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dijalankan.
“Kami akan menghantar Nur Fatihah mendapatkan rawatan secepat mungkin dan kos ditanggung kerajaan negeri. “Kami juga akan membantu keluarga ini memberi keperluan harian Nur Fatihah seperti lampin pakai buang dan ubat.
Sementara itu, Mahani melahirkan rasa terharu dan terima kasih dengan kunjungan Menteri Besar serta isteri.
“Sebagai ibu, saya mahu melihatnya membesar seperti rakan seusianya dan berharap kunjungan Menteri Besar memberi sinar baru kepada Nur Fatihah.
“Dengan pendapatan suami RM1,000 sebagai penjual ikan, bantuan mendapatkan rawatan pakar dan keperluan harian sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.