
Muhammad Shahrizan di samping ibu dan ayah serta adiknya menunjukkan anugerah pelajar cemerlang yang diterima.

Nurul Athira dicium ibunya selepas menerima anugerah pelajar cemerlang kategori calon Orang Asli.
KOTA TINGGI – “Walaupun dinobatkan murid cemerlang, saya masih tak puas hati,” kata Muhammad Shahrizan Salim, 12, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang UPSR kategori calon Orang Asli peringkat Johor.
Jelasnya, dia sedikit terkilan dengan keputusan 3A 2B yang diperoleh dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu.
Tambahnya, dia berjanji akan menebus kekecewaan itu pada masa akan datang.
“Saya sasarkan keputusan 4A 1B, walaupun sedikit terkilan tapi saya akan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk berjaya dan mendapatkan keputusan lebih baik pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) nanti,” kata anak sulung daripada tiga beradik yang
bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sungai Layar itu kepada Sinar Harian, semalam.
Bagi ibunya, Shahriza Norazman, 30, berkata, walaupun dia dan suami Salim Abdul Karim, 32, hanya dapat belajar sehingga darjah dua dan enam dia tidak mahu anaknya mengikut jejak sama.
Menurutnya, apa yang diharapkan anaknya dapat membesar dengan pendidikan yang cukup kerana hanya dengan ilmu sahaja yang dapat merubah nasib keluarga.
Bagi rakannya, Nurul Athira Norazman, 12, yang turut menerima anugerah sama berkata, usaha membuat nota kaki selama ini membuahkan hasil apabila dia mendapat keputusan 2A dan 3B dalam peperiksaan tersebut.
“Sebelum ini, setiap kali peperiksaan saya tidak pernah mendapat A dalam sebarang mata pelajaran. Tak sangka, saya mampu memperoleh keputusan ini dan dinobatkan murid cemerlang,” katanya.
Manakala, ibunya, Masnah Mdtap, 49, berkata, dia amat terkejut apabila diberitahu guru bahawa anaknya dianugerahkan pelajar cemerlang.
Menurutnya, dia jarang melihat anaknya itu belajar, tetapi suka membuat nota mengulang kaji pelajaran.
“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan keputusan yang baik kepada Nurul Athira, walaupun seakan tidak percaya anugerah diperolehnya,” katanya.