Dua pelajar dituduh pukul guru disiplin – Berita Harian


Dua pelajar dituduh pukul guru disiplin

Alor Setar: Dua remaja lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memukul seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Jalan Gunung, dekat sini, bulan lalu.

Kedua-dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih menuntut di tingkatan lima sekolah berkenaan, yang dituduh secara berasingan didakwa melakukan perbuatan itu dalam satu kejadian di sekolah itu, jam 8.10 pagi pada 11 September lalu.

Bagaimanapun, hanya seorang daripada mereka mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala rakannya yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 324 kanun sama, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyaf Falina Abdullah di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam mereka, Rafidi Mohamed.

Sebelum ini, media melaporkan seorang guru disiplin dibelasah selepas menegur tindakan sekumpulan pelajar di sekolah terbabit tidak menghadiri perhimpunan, sebaliknya membuat bising di kelas mereka.

Serang guru hingga cedera

Dalam kejadian berkenaan, guru berusia 40-an itu dikatakan menegur sekumpulan pelajar terbabit sebelum mereka bertindak menyerang guru itu sehingga mengakibatkan kecederaan.
Sementara itu, dalam prosiding semalam, majistret menetapkan nilai jaminan RM1,500 kepada salah seorang remaja itu yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Bagaimanapun, bagi seorang lagi tertuduh yang mengaku salah mengikut Seksyen 323 kanun sama, majistret tetapkan 28 November depan untuk sebutan hukuman, sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Kedua-dua remaja terbabit, semalam hadir ke mahkamah dengan berpakaian seragam sekolah sambil ditemani keluarga mereka.

Kanak-kanak maut, bapa parah selepas kenderaan terbabas – Bernama


Kanak-kanak maut, bapa parah selepas kenderaan terbabas

4 Oktober 2012

KUANTAN – Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut manakala bapanya cedera parah apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas sebelum terhumban ke dalam kawasan bercuram di Km 48.4 Jalan Ibam – Rompin dekat Rompin semalam.

Tan Beng Wen, 10, dari Perkampungan Orang Asli Kerpal, Rompin mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala bapanya, Tan Beng Hai, 32, cedera parah di muka dan badan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian pada pukul 6.10 petang itu, kedua beranak berkenaan dari arah Ibam menuju ke bandar Rompin.

“Jip yang dipandu Beng Hai hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan sebelum terhumban ke kawasan bercuram di kiri jalan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata bapa kanak-kanak itu dirawat di Hospital Muadzam Shah.

Mohamed Fauzi berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu yang memandu laju. – Bernama

Kanak-kanak maut, bapa parah selepas kenderaan terbabas – Bernama


Kanak-kanak maut, bapa parah selepas kenderaan terbabas

4 Oktober 2012

KUANTAN – Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut manakala bapanya cedera parah apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas sebelum terhumban ke dalam kawasan bercuram di Km 48.4 Jalan Ibam – Rompin dekat Rompin semalam.

Tan Beng Wen, 10, dari Perkampungan Orang Asli Kerpal, Rompin mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala bapanya, Tan Beng Hai, 32, cedera parah di muka dan badan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian pada pukul 6.10 petang itu, kedua beranak berkenaan dari arah Ibam menuju ke bandar Rompin.

“Jip yang dipandu Beng Hai hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan sebelum terhumban ke kawasan bercuram di kiri jalan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata bapa kanak-kanak itu dirawat di Hospital Muadzam Shah.

Mohamed Fauzi berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu yang memandu laju. – Bernama

Remaja maut dirempuh kereta – Sinar Harian


Remaja maut dirempuh kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 September 2012

KUANTAN – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangi bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum dirempuh kereta di Jalan Tanjung Pasir- Bukit Goh berhampiran Pasar Raya Jaya Gading, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.55 malam itu, mangsa, Muhamad Firdaus Razali, 16 dari Kampung Datuk Abdul Aziz, Bukit Goh mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi penunggang cedera ringan manakala pemandu kereta, seorang wanita  berusia 26 tahun yang juga penyelia sebuah asrama tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Tanjung Pasir menghala ke Bukit Goh.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego ditunggangi seorang lelaki.

“Akibat pergeseran itu, motosikal mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu dirempuh kereta yang berada di laluan tersebut,” katanya di sini, semalam.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat manakala penunggang yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

Warga emas, remaja maut kemalangan – Utusan


Warga emas, remaja maut kemalangan

KUANTAN 24 Ogos – Seorang wanita warga emas dan seorang pelajar tingkatan empat maut dalam dua kemalangan jalan raya di Pahang, semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata dalam kejadian pertama di Kilometer (KM) 45, Jalan Simpang Kerayong-Mayam, dekat Bera, Khadijah Tan, 60, mati selepas motosikal yang dibonceng melanggar seekor lembu.

“Kejadian berlaku pukul 3.20 petang ketika mangsa dalam perjalanan ke arah Jalan Kumai menuju ke Simpang Kerayong,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika tiba di tempat kejadian, seekor lembu tiba-tiba melintas jalan menyebabkan penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak dan akibat rempuhan tersebut mangsa tercampak ke atas jalan.

Katanya, mangsa cedera parah di dada dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan, sementara penunggang pula hanya cedera ringan.

Menurut Mohamed Fauzi, kemalangan kedua berlaku pukul 4 petang di Jalan Kuantan-Kemaman dekat Balok di sini, membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.

“Motosikal yang ditunggang Ahmad Raziman Ab. Razak, 16, dipercayai merempuh bahagian belakang kenderaan itu menyebabkan remaja berkenaan tercampak ke atas jalan dan mengalami cedera parah pada bahagian badan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu yang sah. – BERNAMA

Pelajar tingkatan 5 maut dalam nahas tiga kenderaan di Lipis – Bernama


Pelajar tingkatan 5 maut dalam nahas tiga kenderaan di Lipis

17 Ogos 2012

KUANTAN – Seorang pelajar Tingkatan Lima terbunuh manakala adiknya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Km22, Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kuala Lipis, hari ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kemalangan kira-kira 10.45 pagi ini, Amir Shariff Suhaimi, 17, mati di tempat kejadian manakala adiknya, Azwani Wan Shazarina, 13, hanya cedera ringan.

Katanya kejadian berlaku apabila motosikal yang dinaiki dua beradik itu dipercayai bergesel dengan sebuah lagi motosikal menyebabkannya terbabas ke laluan bertentangan dan dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda telah melarikan diri dan setakat  ini belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

“Saksi kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya Azwani Wan Shazarina dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Lipis manakala penunggang sebuah lagi motosikal tidak cedera. – Bernama

Belasah anak, bakar rumah – Berita Harian


Belasah anak, bakar rumah
06:01:56 AM Nor Fazlina Abdul Rahim dan Fitri Nizam | nfazlina@bharian.com.my Cetak Emel Kawan

Rumah suspek di Taman Serdang Utama hangus dibakar.
Suspek dipercayai ada masalah mental

Serdang: Seorang lelaki, dipercayai mengalami masalah kesihatan mental, memukul anak lelakinya berusia 15 tahun sebelum membakar rumahnya dua jam kemudian di Taman Serdang Utama, di sini, semalam. Bapa berusia 53 tahun itu, bagaimanapun, tidak melarikan diri malah berada di kawasan rumahnya yang hangus sebelum ditangkap polis di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei, berkata lelaki itu menyerang dan memukul anaknya pada jam 4 pagi, sebelum isterinya membawa mangsa bersama anak yang lain ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai tukang jahit hampir setiap malam mabuk dan akan memukul isteri serta dua anaknya tanpa belas kasihan, namun tidak pernah bertindak sehingga membakar rumah mereka.

Jiran yang enggan dikenali berkata, sebaik suspek pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, lelaki itu terus mengamuk dan memukul anak lelakinya yang ketika itu sedang tidur sehingga cedera.

Katanya, seorang lagi anak perempuan suspek yang menyaksikan ibu serta adiknya dipukul tampil membantu sebelum turut menjadi mangsa lelaki itu.
“Ketiga-tiga mangsa yang cedera itu dibawa ke Hospital Serdang dengan bantuan jiran. Suspek yang berada di rumah itu terus mengamuk dan membakar kediaman mereka sehingga merebak ke rumah jiran.

“Jiran yang melihat kejadian itu menghubungi bomba dan penyelamat. Api marak begitu cepat menyebabkan rumah suspek terbakar,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Murid tahun 6 maut, motosikal ditunggang langgar pokok – Bernama


Murid tahun 6 maut, motosikal ditunggang langgar pokok

9 Julai 2012
KUANTAN – Seorang murid Tahun Enam yang menunggang motosikal maut selepas kenderaan itu terbabas dan melanggar sebatang pokok kelapa sawit dalam kejadian di Felda Bukit Goh, di sini semalam.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, Muhammad Alif Idham Mohd Adahar, 12 dari Kampung Pak Ngah Aziz disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata kejadian itu bagaimanapun hanya menyebabkan rakannya yang membonceng, Muhammad Shahfiq Tuhashim, 12, cedera ringan.

“Kejadian berlaku ketika dua rakan tersebut dalam perjalanan ke sebuah ladang. Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ketika keluar dari simpang empat di jalan berkenaan, menyebabkannya terbabas dan melanggar pokok kelapa sawit,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Keselamatan pelajar tugas teras polis: KPN – Bernama


Keselamatan pelajar tugas teras polis: KPN
2012/06/08

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, hari ini menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat termasuk pelajar sekolah adalah tugas dan tanggungjawab teras Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan terus membantu pihak sekolah meningkatkan kawalan dan rondaan di sekolah di sekitar Lembah Klang terutama pada waktu puncak persekolahan.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, semalam bahawa kementerian akan memperluaskan skop rondaan bersama antara PDRM dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di sekolah termasuk sekolah antarabangsa di Lembah Klang.
PDRM menyambut baik kenyataan itu, kata Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahim turut berkata, langkah itu sebagai meneruskan inisiatif ‘omnipresence’ di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara.

‘Omnipresence’ merujuk kepada kehadiran polis yang dapat mengurangkan perasaan takut menjadi mangsa jenayah dalam kalangan orang ramai, meluaskan pembabitan antara rakyat dan pasukan keselamatan serta menjadi penghalang kepada bakal penjenayah. – BERNAMA

Pelajar kena buang disuruh wakili sekolah – Berita Harian


Pelajar kena buang disuruh wakili sekolah

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2012/04/15

Didakwa ceroboh bilik guru tanpa usul periksa, turut kena rotan selepas 5 hari berlaku insiden

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat mendakwa dibuang sekolah kerana kesalahan menceroboh bilik guru tanpa sempat menjelaskan perkara sebenar, malah turut dirotan selepas lima hari dibuang sekolah.

Selain itu, Muhamad Bukhori Abdullah Sani yang bersekolah di Sungai Kertas itu diminta hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut hanya untuk mewakili pertandingan ragbi di peringkat daerah, sedangkan beliau sudah dibuang sekolah.

Bapa mangsa, Abdullah Sani Abdul Ghani, 51, berkata beliau kecewa dengan pihak sekolah yang membuang anaknya serta- merta tanpa mendengar penjelasannya terlebih dulu, malah usaha untuk berbincang secara baik juga tidak dilayan.

“Anak saya dituduh menceroboh bilik guru pada 28 Mac lalu, namun dibuang sekolah berkuat kuasa 5 April iaitu Khamis dua minggu lalu, tetapi masih diminta ke sekolah selepas itu untuk mewakili pertandingan ragbi selama lima hari sebelum dirotan atas kesalahannya pada Selasa lalu.

“Kejadian menceroboh bilik guru itu hanya salah faham, mengikut penjelasan Muhamad Bukhori, pada hari kejadian iaitu jam 1.30 tengah hari, beliau kebetulan lalu di bilik guru dan pada masa sama melihat pintu bilik terbuka serta terdapat beg tangan dan komputer riba milik guru kelasnya.

“Anak saya yang bimbang keselamatan beg gurunya itu bertindak mengambil dan membawa pulang kerana gurunya sedang bermesyuarat, namun memaklumkan perkara itu keesokannya kepada pihak sekolah. Bagaimanapun, dua hari selepas kejadian, anak saya dibuang sekolah,” katanya ketika dihubungi, semalam.