Pelajar 15 tahun hilang dirayu pulang – Bernama


Pelajar 15 tahun hilang dirayu pulang

11 Julai 2013

KUALA NERANG – Seorang pelajar dari Kampung Pandang Cenderai, Padang Terap dekat sini yang meninggal rumahnya hampir tiga bulan lepas dirayu agar segera pulang ke pangkuan keluarganya.

Siti Nor Hazwani Abdul Rashid, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap keluar dari rumah pada 18 April lepas dipercayai mengikuti teman lelakinya.

Bapanya Abdul Rashid Osman, 47, berkata beliau telah membuat laporan polis berikutan kehilangan anak keempat dari lima beradik itu yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi.

“Pada mulanya anak saya dilihat sedang melakukan kerja sekolahnya di dalam bilik tidurnya kira-kira 9.30 malam.

“Saya kemudiannya mendapati anak saya sudah tidak lagi berada di dalam bilik dan mendapati pintu dapur rumah kami turut terbuka.

“Pintu dapur rumah kami tidak pernah terbuka pada waktu malam. Bila saya periksa dalam bilik anak saya, saya dapati dia telah tiada.

“Kami dapati Hazwani membawa beberapa helai pakaiannya serta tidak membawa kad pengenalan,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata mereka turut mengedarkan risalah yang mengandungi gambar anaknya.

Ibu gadis berkenaan, Zurina Senafi, 41, berkata anaknya pernah menghubunginya sebanyak tiga kali bulan lepas memaklumkan dia selamat dan sedang berada bersama sebuah keluarga yang tidak dikenali di Pahang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nor Hazwani diminta menghubungi Abdul Rashid di talian 013-491 2113/019-492 8656 atau balai polis terdekat. – Bernama

Siling sekolah agama runtuh, 18 murid selamat – Bernama


Siling sekolah agama runtuh, 18 murid selamat

19 Oktober 2012

GEORGETOWN – Sebahagian siling di sebuah kelas yang menempatkan 18 murid Sekolah Agama Rakyat Masjid Tuan Guru di Tanjung Tokong, di sini runtuh hari ini.

Kesemua murid itu terselamat daripada terkena runtuhan kerana sewaktu kejadian mereka menjalani latihan amali solat di masjid yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Mohamad Noor Ismail berkata, kejadian pada pukul 2.45 petang itu berpunca daripada kayu penyokong utama siling yang telah reput dimakan anai-anai.

“Hasil pemeriksaan kami dapati struktur bumbung sekolah ini tidak lagi selamat diduduki kerana kayu penyokong asas telah dimakan anai-anai dari dalam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohamad Noor menasihati pihak pengurusan sekolah supaya menghentikan aktiviti pembelajaran buat sementara waktu dan memusnahkan sarang pembiakan anai-anai kerana bimbang ia merebak ke bahagian kelas lain.

Beliau turut meminta para guru dan murid menjauhi kawasan runtuhan sehingga bangunan itu dibaik pulih sepenuhnya.

Sementara itu, pengerusi sekolah Abdul Rashid Khalid, 57, berkata kejadian itu pertama kali berlaku sejak sekolah itu ditubuhkan pada tahun 2005.

Beliau berkata sekolah yang mempunyai tiga kelas dan hanya memulakan operasi pada waktu petang itu baharu sahaja diubahsuai dua tahun lepas.

Aktiviti pembelajaran akan dipindah ke masjid berhampiran sehingga kerja-kerja membaik pulih selesai dilakukan, katanya. – Bernama

Asrama sekolah terbakar – Sinar Harian


Asrama sekolah terbakar
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Mei 2012
Asrama sekolah terbakar
Hampir 80 peratus bangunan asrama berkenaan musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi semalam.

MATANG – Tiga murid nyaris maut apabila asrama yang mereka diami di Madrasah Tarbiah Islamiah, di sini terbakar, awal pagi semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, tiga murid yang berumur 11 hingga 8 tahun dikatakan sedang tidur di tingkat dua bangunan asrama madrasah berkenaan.

Bagaimanapun, bencana tersebut disedari ketiga-tiga mereka apabila merasai bahang api sebelum bertindak menyelamatkan diri.

Guru besar madrasah berkenaan, Hafizul Azizi Abdul Rashid berkata, meskipun agak terkejut dengan insiden itu, pihaknya bersyukur kerana semua mangsa terselamat.

Menurutnya, bangunan asrama yang bernilai hampir RM50,000 itu siap dibina pada November 2010 untuk menempatkan murid lelaki.

“Bagaimanapun, hanya tiga murid berkenaan sahaja tinggal di asrama sementara 67 murid lagi termasuk perempuan yang belajar di madrasah itu tinggal di rumah masing-masing.

“Dua daripada murid berkenaan berusia 11 tahun dan seorang lagi 8 tahun, buat masa ini kita dimaklumkan mereka masih lagi trauma.

“Kini semua mangsa sudahpun dibawa pulang ke rumah keluarga masing-masing iaitu di Ipoh dan Bukit Gantang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penempatan baru bagi murid yang tinggal di asrama berkenaan.

Jelasnya, beliau harap selepas ini, semua kembali kepada keadaan asal dan murid berkenaan dapat belajar seperti biasa tanpa dihantui kejadian kebakaran itu.

Difahamkan, insiden itu adalah yang pertama kali berlaku sejak madrasah tersebut ditubuhkan iaitu 25 tahun lalu.

Sinar Harian juga dimaklumkan, ada individu terlihat api mula marak di bahagian dinding bangunan berkenaan sebelum menjerit meminta penghuni asrama keluar.

80 peratus bangunan terbakar

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 1.52 pagi dan sampai ke lokasi kejadian 15 minit kemudian.

Menurutnya, sebanyak tiga jentera dengan kekuatan 11 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Api berjaya dikawal dalam masa tujuh minit, bagaimanapun kebakaran tersebut memusnahkan hampir 80 peratus bangunan asrama,” katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian dan kerugian yang dialami masih lagi dalam siasatan.

Kepada sesiapa yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan kepada madrasah tersebut dengan menyalurkannya ke akaun Bank Islam 08040010007671 atas nama Madrasah Tarbiah Islamiah.

YGMB pelawa 270,000 guru jadi ahli – Berita Harian


YGMB pelawa 270,000 guru jadi ahli
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/01/26

Potongan lima peratus untuk anak ahli melanjutkan pengajian di MUCH

SERAMAI 270,000 guru di seluruh negara yang belum menganggotai Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dipelawa menyertainya bagi membolehkan anak mereka menikmati potongan lima peratus yuran melanjutkan pengajian di Masterskill University College of Health Science (MUCH).

Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kemudahan atau `produk’ baru itu adalah antara keistimewaan terkini yang ditawarkan kepada 130,000 anggota YGMB.

Dengan gabungan pengalaman dan kelayakan tenaga pengajar, suasana pengajaran di MUCH sentiasa interaktif dan berorientasikan industri. – Alimuddin Mohd Dom, Pro-Canselor MUCH

Beliau yang juga Pro-Cancelor MUCH berkata, sebagai langkah permulaan, YGMB menjalankan usaha mempromosi peluang melanjutkan pengajian ke MUCH dalam kalangan ahli.

“Kita yakin kemudahan baru itu dapat menarik minat guru bukan anggota YGMB menganggotainya,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) di antara YGMB dan MUCH di kampus kolej universiti itu di Cheras, Selangor, baru-baru ini.

YGMB diwakili Timbalan Pengerusinya, Datuk Asariah Mior Shaharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yayasan itu, Hashim Mohd Yusof. MUCH diwakili Timbalan CEO Masterskill Education Group Berhad (MEGB), Datuk Kamarudin Khalil.

Hadir sama, Naib Canselor yang juga CEO MUCH, Prof Datuk Nik Rahimah Nik Yacob; Ketua Pegawai Operasi (COO) MEGB, Datuk Alicia Nathan; Naib Presiden Kanan MEGB, Datuk Abdul Rashid Mohd Sharif dan Pengarah MEGB, Datuk Kamaruddin Md Ali.
Alimuddin berkata, hasil MoU itu, pengambilan pertama pelajar dalam kalangan anak anggota YGMB adalah pada April ini menerusi pengajian peringkat diploma dalam bidang sains kesihatan.

Katanya, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kolej universiti itu adalah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan pendidikan bertaraf dunia menggunakan teknologi canggih serta melahirkan graduan berdaya saing.

“Dengan gabungan pengalaman dan kelayakan tenaga pengajar, suasana pengajaran di MUCH adalah sentiasa interaktif dan berorientasikan industri,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin Khalil berkata, MUCH menawarkan 14 program ijazah sarjana muda, diploma (12), ijazah sarjana (enam) dan masing-masing satu program Doktor Falsafah (PhD) dan yayasan.

Asariah pula berkata, promosi YGMB bertujuan membantu anak anggota melanjutkan pengajian ke kolej universiti itu terutama yang meminati bidang sains kesihatan seperti kejururawatan, pengimejan perubatan dan fisioterapi.

“Kerjasama dalam kalangan guru menerusi organisasi seperti ini mewujudkan transformasi untuk dimanfaatkan ahli dan ahli keluarga bagi memperoleh pendidikan berkualiti,” katanya.

2,646 sekolah rendah diberikan bantuan khas RM500 juta – Bernama


2,646 sekolah rendah diberikan bantuan khas RM500 juta

13/01/2012 8:15pm

 

 

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

 

PAPAR 13 Jan. – Kerajaan telah mengenal pasti 2,646 sekolah rendah di negara ini yang akan diberikan bantuan khas menerusi peruntukan RM500 juta yang dibentangkan dalam Bajet 2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peruntukan berkenaan akan digunakan bagi menaik taraf dan menambah baik sekolah terbabit pada tahun ini.

“Kita telah memeriksa 2,254 sekolah rendah dan daripada jumlah itu sebanyak 1,859 menghadapi masalah fizikal dan 965 sekolah melibatkan masalah pendawaian.

“Masih ada 392 sekolah yang belum dapat kita lawati kerana kebanyakan di pedalaman,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pengalat Kecil di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Sempena lawatan kerja berkenaan Puad turut melawat SK Beringgis dan SK Kuala di sini.

Menurut Puad, sebanyak 1,859 sekolah dikenal pasti mengalami masalah struktur, manakala 1,203 buah mengalami masalah bukan struktur.

Katanya, sekolah yang melibatkan masalah struktur dijangka mula dibaik pulih pada Julai ini selepas pelantikan perunding selesai.

Tambahnya, sekolah yang mengalami masalah bukan struktur pula dijangka boleh dimulakan proses baik pulih Mac ini kerana tidak melibatkan pelantikan perunding.

“Bagaimanapun, sama ada masalah struktur atau bukan struktur kita kena siapkan Disember ini dan kalau peruntukan tidak cukup kita kena cari tambahan lagi,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak RM164.1 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 821 sekolah rendah di Sabah. – UTUSAN